Mereka Yang Dirindui Syurga

TIADA nilainya kehidupan yang dijalani di dunia walaupun dilimpahi kemewahan mahupun dipuja dan dipandang mulia oleh manusia lain sekiranya apabila tibanya saat kematian, mereka terhumban ke dalam neraka. Bernilainya kehidupan manusia apabila diberi kemuliaan disisi Allah dan menghuni syurga pada Hari Akhirat kelak. Tetapi sayangnya ramai manusia di dalam keadaan hanyut dan terperangkap dengan tipu daya ketika hidup di dunia sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Anbiya’, ayat 1-2 bermaksud: “Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya. Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkannya.”

Menyambung kembali perkongsian mengenai golongan manusia yang dirindui syurga, menerusi slot Mau’izati bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, golongan pertama ialah mereka yang mati syahid. Mereka ini sentiasa berusaha di dalam hidupnya untuk melayakkan dirinya berada di kalangan orang yang mati syahid dan bercita-cita mencapai impian ini. Bahkan menurut Rasulullah SAW, sekiranya manusia itu hanya mempunyai niat untuk mati syahid sekalipun tetapi menemui ajal di atas katil, maka dia akan beroleh ganjaran yang sama seperti mereka yang syahid. Namun realitinya manusia sangat takut untuk mengimpikan syahid malah begitu gerun menghadapi kematian.

Selain itu manusia yang membaca al-Quran akan dirindui syurga. Mereka yang membaca, menghafal, bertadabbur dan beramal dengannya akan tergolong di kalangan manusia yang akan beroleh ganjaran yang sangat istimewa ini. Orang mukmin akan merasai nikmat apabila membaca dan beramal dengan al-Quran kerana ia merupakan petunjuk kepada jalan kehidupan manusia. Tanpa panduan dan petunjuk daripada al-Quran menyebabkan manusia berada di dalam kesesatan.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Buraidah daripada bapanya, dia menyebut, “Aku duduk dengan Nabi SAW dan mendengar Baginda menyebut: “Belajarlah surah al-Baqarah kerana sesungguhnya dengan mempelajarinya akan beroleh keberkatan di dalam hidup kalian, manakala apabila kamu meninggalkannya akan kerugianlah hidup kalian, orang yang malas tidak akan melaksanakannya”. Kemudian Baginda terdiam seketika dan berkata, “Belajarlah surah al-Baqarah dan surah al-Imran kerana keduanya adalah bunga yang menjadikan kecantikan kepada diri kamu. Kedua-duanya akan mendatangkan ketenangan kepada kamu, teduhan kepada pembacanya. Pada Hari Kiamat ia akan menjadi seakan-akan awan yang menutupi atau bagaikan sayap burung. Pembaca surah al-Baqarah dan surah al-Imran apabila berjalan pada Hari Akhirat nanti akan dinaungi dengan awan dan bagaikan sayap burung kerana al-Quran akan mendatangi pembacanya seperti seorang lelaki yang tampan, sambil bertanya “Adakah kamu mengetahui siapakah diriku?” Pembaca al-Quran akan menjawab bahawa mereka tidak mengenali siapakah lelaki yang tampan itu. Kemudian lelaki itu berkata, “Aku adalah al-Quran yang dahulunya kamu selalu bangun dan menyendiri membacaku. Setiap pedagang akan mendapat keuntungan, al-Quran memberi kerajaan di tangan kanannya dan berkekalan di tangan kirinya.” Lalu diletakkan di atas kepala si pembaca al-Quran itu dengan mahkota yang indah di Padang Mahsyar. Kedua orang tuanya akan diberi perhiasan hasil daripada anak-anak mereka yang sering membaca al-Quran. Kemudian semua ahli dunia akan menghormatinya lalu dikatakan kepadanya, “Kamu mendapat semua ini kerana anakmu membaca al-Quran” dan dikatakan kepada anaknya, “Bacalah dan naiklah ke syurga dan tempatkanlah mereka di kamar-kamarnya, ia akan sentiasa naik selagi mana dia membaca al-Quran.”

Golongan ketiga yang sering dirindui syurga ialah mereka yang sentiasa memperbaiki akhlaknya. Akhlak yang ditunjukkan seharusnya ialah akhlak al-Quran dan mengikut cara Rasulullah SAW berakhlak dengan jasadnya, dengan pasangan hidupnya, anak-anaknya, keluarganya, para sahabat dan cara Baginda bernegara.  Akhlak yang perlu dijaga adalah akhlak dalaman dan luaran yang meliputi pandangan mata yang dijaga daripada melihat perkara-perkara yang haram, tangan tidak menyentuh benda-benda yang dilarang Allah dan lain-lain perkara. Akhlak dalaman dipelihara dengan menjaga hati daripada mudah terasa hati dengan manusia lain, namun tidak pula merasakan perkara yang sama dengan Allah sedangkan peringatan dan sindiran itu datangnya daripada al-Quran. Akhlak juga perlu ada di dalam penulisan yang tidak dilakukan sembarangan kerana kesudahannya ialah di dalam neraka dan tiada kerinduan syurga untuk dirinya.

Selain itu, orang yang meletakkan cintanya hanya kepada Allah akan dirindui syurga pada Hari Akhirat kelak. Cinta bukan untuk makhluk tetapi hanya untuk al-Khaliq dan Dialah yang selayaknya untuk dicintai. Semakin meningkatnya usia orang mukmin, semakin kuat cintanya kepada Allah dan berkira-kira dengan setiap apa yang dilakukannya diredhai Allah atau tidak. Malah mereka juga tidak pernah berputus asa dengan dunia dan berusaha mendapatkan cinta Allah. Orang yang meninggalkan pertelingkahan dan perdebatan juga merupakan ciri manusia yang dirindui syurga. Rasulullah SAW menjamin sebuah rumah di dalam syurga bagi orang yang meninggalkan pertengkaran. Adalah lebih baik mendiamkan diri ketika dicabar daripada menimbulkan pertengkaran walaupun sebenarnya dia berada di pihak yang benar.

Ciri manusia yang dirindui syurga juga adalah mereka yang mempunyai sifat tawakal yang tinggi kepada Allah. Elakkan memakan rasuah, menuntut elaun palsu dan menipu kerana sesungguhnya ia akan menghilangkan tawakal kepada Allah. Orang yang suka memberi makan dan berlemah-lembut dengan orang lain serta sanggup bangun sewaktu manusia lain sedang tidur lena juga merupakan golongan istimewa yang bakal dirindui syurga di Hari Akhirat kelak.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Jun 2017
\"\"
Scroll to Top