Menghayati Erti di Sebalik Tibanya Syawal

SETELAH berakhirnya Ramadan, tibanya Syawal yang merupakan bulan yang sewajarnya dilihat sebagai peningkatan mahupun kemajuan di dalam amalan kepada umat manusia yang benar-benar menghayati akan keistimewaan disebalik bulan kemenangan ini. Setelah sebulan umat Islam menjalani ibadah puasa, apa yang diharapkan daripada madrasah Ramadan agar ia mampu meraih darjat ketakwaan, dan dengan kedatangan Syawal akan menjadikan seseorang itu lebih beriman dan berlaku peningkatan di dalam kualiti kehidupannya pada bulan-bulan berikutnya.

Setidak-tidaknya apabila tibanya Syawal, ada harapan di dalam diri setiap mukmin untuk meningkatkan tahap keimanan kepada Allah SWT. Bagi mereka yang menjalani ibadah puasa sebelumnya, secara tidak langsung amalan itu mampu mendidik akhlak mereka untuk melakukan ibadah sebaik mungkin dengan menyemarakkan rumah-rumah Allah dan mengutamakan ibadah yang dilakukan secara berjemaah. Malah pada bulan Ramadan jugalah umat Islam mengambil kesempatan untuk melakukan lebih banyak sedekah, meraikan orang-orang yang berada di dalam kesusahan dan tidak ketinggalan ramai yang semakin menyedari akan pentingnya berinfaq di jalan Allah. Sehinggalah apabila tibanya Syawal, kehidupan akan menjadi lebih baik dan sejahtera kerana akhlak yang terpuji serta hubungan di antara manusia lebih sempurna, malah diri merasa lebih dekat dengan Allah SWT. Keadaan ini sudah tentunya menjadikan Syawal menjadi bulan yang sangat indah.

Namun apa yang berlaku ketika menjelangnya Syawal, hampir setiap tahun kita menghadapi permasalahan berkaitan kesesakan jalan raya, kehilangan harta benda yang meningkat yang secara tidak langsung turut menyumbang kepada peningkatan jumlah jenayah. Apa yang menyedihkan berlakunya peningkatan kecelakaan akibat kemalangan jalan raya serta meningkatnya jumlah kemalangan yang meragut nyawa dan insiden-insiden begitu menyayat hati. Selain itu Syawal juga dikaitkan dengan perbuatan pembaziran dek kerana persiapan meraikan Aidilfitri yang berlebih-lebihan dan mendorong timbulnya perasaan menunjuk-nunjuk dan riak yang sudah tentunya di larang sama sekali di dalam ajaran Islam.

Ajal dan maut  adalah sebuah kepastian yang sudah ditakdirkan oleh Allah SWT. Tetapi apabila peristiwa atau kejadian yang tidak diingini itu meningkat apabila menjelangnya Syawal, ia secara tidak langsung mengaitkan bulan ini dengan bulan yang mengundang kesedihan akibat kelalaian kita sendiri. Sedangkan meraikan Aidilfitri itu seharusnya disambut dengan penuh kegembiraan dan kebahagiaan. Sesungguhnya tidak ada satu pun kejadian di alam ini dijadikan Allah dengan sia-sia, melainkan ada hikmah di sebalik semua itu, dan sebagai orang yang beriman, kita seharusnya mengambil iktibar di atas segala yang berlaku sama ada ia sesuatu yang baik ataupun buruk.

Persoalannya, siapakah yang menyedari akan kelebihan dan beroleh keuntungan dengan tibanya bulan Syawal? Seharusnya sebagai orang yang beriman akan meningkat tahap keimanannya setelah menjalani ibadah pada bulan Ramadan. Sebagaimana yang dapat dilihat meriahnya masjid-masjid dengan peningkatan jumlah jemaah yang bepusu-pusu memburu kelebihan bulan yang penuh dengan keberkatan dan pengampunan Allah. Tetapi fenomena itu kembali sepi pada penghujung Ramadan kerana kesibukan melakukan persiapan sempena kedatangan hari raya Aidilfitri.

Malah menjelang Syawal juga keadaan di pusat-pusat membeli belah dan bazar padat dikunjungi orang ramai yang sibuk mempersiapkan kelengkapan menyambut hari raya dan ada kalanya berbelanja lebih berbanding bulan-bulan yang lain. Keadaan ini sebenarnya memberi lebih keuntungan kepada para peniaga yang mengambil kesempatan menawarkan barang-barang keperluan sempena menyambut hari lebaran yang secara majoritinya terdiri daripada usahawan yang bukan di kalangan umat Islam. Sebaliknya kepada umat Islam yang berbelanja lebih dan melakukan pembaziran walaupun pada masa yang sama sedang menjalani ibadah puasa, akhirnya hanya akan berada di dalam kerugian sama ada di dalam aspek ekonomi mahupun ganjaran pahala disisi Allah SWT.

Akhirnya, sememangnya ibadah puasa bukan untuk meningkatkan aspek ekonomi atau kekayaan tetapi ia akan dapat meningkatkan tahap keimanan kepada setiap individu yang bertakwa kepada Allah. Namun apa yang menyedihkan setelah kita berada di bulan Syawal ini  masjid-masjid kembali menjadi sepi, rasa syukur, sabar, ikhlas, dan istiqamah tidak juga meningkat, maka secara kesimpulannya boleh dikatakan, bahawa ibadah puasa yang kita lakukan pada Ramadan yang lalu hanyalah sia-sia dan kita tidak mendapatkan apa-apa pengajaran di sebalik madrasah Ramadan itu. Bukan hanya kerugian kerana melakukan pembaziran dari segi material, malah dari segi spiritual sekalipun kita tidak beroleh apa-apa ganjaran. Jangan sesekali Syawal ini hanya istimewa di sebalik gelarannya sebagai bulan kemenangan kepada umat Islam yang berusaha menjalani ibadah puasa pada bulan sebelumnya. Diharapkan semoga kita tidak tergolong di kalangan mereka yang kerugian dan tidak beroleh apa-apa manfaat di dalam bulan yang mulia ini. Sebaliknya sebagai umat Islam, kita mampu untuk meraih keuntungan dari sudut ekonomi dan dapat meningkatkan tahap keimanan kita kepada Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Julai 2016
\"2016-07-14\"
Scroll to Top