Mengharapkan Syafaat

SYAFAAT bererti memohon atau mengharapkan bantuan di saat memasuki syurga Allah dan umat Nabi Muhammad SAW perlu kepada syafaat Baginda yang turut dikategorikan kepada beberapa jenis agar setiap manusia tidak terlepas daripada mendapat keistimewaan syafaat daripada Rasulullah. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Mudatthir, ayat ke 48: “Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.” Rasulullah SAW juga berpesan, bahawa Baginda adalah syafaat pertama untuk memasuki syurga.  Manusia begitu memerlukan syafaat memandangkan perjalanan hidup yang dilalui tidak sempurna, banyak kelompangan dan sia-sia serta menghabiskan masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Apabila berada di Padang Mahsyar kelak, sudah tentu manusia akan membawa bersama banyak dosa dan pada ketika inilah syafaat diperlukan daripada Rasulullah SAW untuk membawa mereka ke dalam syurga.

Rasulullah SAW sendiri mendapat syafaat Allah untuk ke syurga dan ini membuktikan perlunya umat Baginda mendekatkan diri kepadanya untuk beroleh syafaat itu. Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm setiap Khamis jam 5.15 petang, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk beroleh syafaat daripada Baginda. Di antaranya ialah apabila mendengar azan, amalkan menjawab sahutan itu kerana sesungguhnya sebagaimana pesanan Rasulullah SAW, Baginda SAW menyembunyikan doa sebagai bentuk pertolongan syafaat kepada setiap umatnya, selagi mereka tidak mati di dalam keadaan menyengutukan Allah. Apabila terdengan muadzin mengumandangkan azan, maka katakanlah sebagaimana yang disebut olehnya.

Malah Rasulullah juga mengingatkan umatnya agar berselawat ke atas Baginda kerana Allah akan mengganjari mereka dengan sepuluh kali ganda pahala, lalu pohonlah kepada Allah dengan perantaraan Rasulullullah, kerana sesungguhnya selawat itu memiliki kedudukan yang tinggi di syurga yang hanya diperolehi oleh hamba Allah. Barangsiapa yang menjadi wasilah di dalam permohonannya, maka akan dikurniakan syafaat sebagai bantuan kepadanya kelak.

Selain itu untuk mendapatkan syafaat daripada Rasulullah SAW, beramallah dengan setiap ajaran yang dibawa oleh Baginda. Jangan sesekali malas untuk mengamalkan sunnah Rasulullah kerana Baginda sendiri merupakan contoh terbaik di dalam hidup manusia. Mereka akan bersedia untuk menghadapi Hari Akhirat dengan sentiasa menyebut nama Allah sebanyak mungkin.

Pada Hari Akhirat kelak akan dapat dilihat beberapa jenis syafaat dan di antaranya ialah syafaat Uzma iaitu yang paling agung. Ia secara khusus diberikan kepada Nabi Muhammad SAW di antara seluruh nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain. Berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Aku merupakan manusia yang utama pada Hari Kiamat. Tahukah kalian kenapa? Allah mengumpulkan seluruh generasi pertama sehingga terakhir sehingga kelihatan berbukit-bukit. Sebahagian manusia akan menyebut kepada manusia yang lain, “Tidakkah kalian melihat di mana tempat kalian? Kemudian tidakkah kalian melihat pada tingkatan mana kalian sampai, tidakkah kalian melihat siapakah yang memohon syafaat untuk menuju Allah di kalangan kalian ini?” Di dalam kekecohan yang berlaku di Padang Mahsyar, pada ketika itulah akan kelihatan Rasulullah SAW. Oleh itu sekiranya di dunia ini kita tidak mengenali Baginda, bagaimanakah mungkin kita akan mengenalinya di kubur nanti? Jika kini kita tidak mengamalkan sunnah Rasulullah ketika hidup di dunia, bagaimana mungkin Baginda akan memanggil nama kita di akhirat nanti.

Syafaat kedua ialah syafaat Rasulullah kepada kaum yang memiliki sifat kebaikan dan keburukan yang sama rata. Maka syafaat akan diberikan kepada golongan ini supaya mereka dapat memasuki syurga. Golongan ini turut digelar sebagai al-A’raf. Syafaat ketiga ialah bantuan yang diberikan kepada golongan yang telah diperintahkan untuk masuk ke dalam neraka agar mereka dimasukkan ke dalam syurga. Rasulullah menarik mereka ketika di dalam perjalanan menuju neraka, lalu Baginda memohon kepada Allah supaya melayakkan mereka masuk ke syurga.

Syafaat keempat ialah bagi kalangan mereka yang ditinggikan darjat oleh Rasulullah setelah mereka masuk ke dalam syurga. Syurga mempunyai darjat yang berbeza-beza dan syurga Firdaus adalah syurga yang paling tinggi kedudukannya. Selain itu syafaat kelima dikurniakan kepada kaum yang masuk ke dalam syurga tanpa dihisab dan diazab oleh Allah.

Hadis diriwayatkan oleh Uqasyah bin Muhsan, sedang Rasulullah duduk bersama para sahabat, Baginda berkata: “Aku dibentangkan umat yang ramai di hadapanku di Padang Mahsyar Allah. Aku tercari-cari di manakah umatku, sambil melihat ada seorang nabi berjalan bersama seorang pengikut, ada nabi yang berjalan bersama dua orang pengikut, ada pula seorang nabi yang berjalan tanpa seorangpun pengikut bersamanya. Lalu aku ditunjukkan satu kelompok manusia yang kehitaman dan menyangka itulah umatku. Sambil berkejaran, aku ditahan oleh malaikat Jibril dan diberitahu kelompok manusia itu adalah Musa dan kaumnya. Kemudian aku diarah untuk berpaling kebelakang, aku melihat kelompok manusia yang jauh lebih besar dan Jibril menyatakan bahawa itulah umatku.”  Baginda juga diberitakan70 ribu manusia di kalangan umatnya itu yang akan memasuki syurga tanpa dihisab.

Syafaat keenam oleh Rasulullah kepada umatnya ialah meringankan siksaan bagi mereka yang selayaknya menerima azab itu. Seterusnya Baginda juga memberi syafaat dengan memohon agar pintu syurga dibuka, kerana pintu itu hanya terbuka apabila diketuk oleh Rasulullah dan stelah diperkenalkan dirinya, barulah para bidadari berkejaran untuk menyambut ketibaan setiap ahli syurga. Syafaat Rasulullah juga diberikan kepada kaum yang yang meninggal dunia di dalam keadaan beragama Islam tetapi diringankan azab kubur untuknya. Ia berlaku sewaktu Baginda masih hidup, Baginda meletakkan pelepah kurma ke atas kubur, dan apabila ditanya, Rasulullah menjawab semoga pelepah kurma itu dapat meringankan azab penghuni kubur itu.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 Mei 2017
Scroll to Top