Melalui Siang & Malam di Alam Barzakh

KELOMPOK manusia yang terdiri daripada mereka yang berada di kalangan orang yang kufur kepada Allah, hari-hari siang dan malam yang dilalui sepanjang kehidupannya di alam kubur adalah sangat menggerunkan. Firman Allah di dalam Surah al-Ghafir, ayat 46: “Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada di alam Barzakh) dan pada hari berikutnya kiamat (diperintahkan kepada malaikat),“Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!”. Lalu ditanya daripada Huzair Ibnu Abi Syaibah menyatakan, roh Firaun berserta orang-orang yang kafir itu sentiasa berada di dalam perut burung yang berwarna hitam, berulang alik ke neraka dan diperlihatkan keadaan kepada dirinya, setiap hari pada waktu siang dan malam.

Menurut perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada Khamis jam 5.15 petang, perkara kedua yang diperlihatkan ialah amalan orang yang hidup kepada roh orang mukmin yang pada ketika itu sedang berada di Illiyeen melalui saat-saat yang indah yang dilalui pada dirinya di dalam keadaan-keadaan tertentu. Berdasarkan kepada hadis yang disampaikan oleh Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW menyebut: “Sesungguhnya amal-amal kalian itu diperlihatkan kepada kaum kerabat dan keluarga kalian yang sudah meninggal dunia. Jika amal itu baik, mereka akan berasa gembira, dan jika sebaliknya mereka akan memohon: “Ya Allah jangan kamu matikan mereka sehingga Kamu berikan petunjuk kepada mereka.” Diriwayatkan oleh Imam Tarmizi di dalam kitab Nawadir al-Usul, Abdul Ghafur Ibnu Abdul Aziz menuturkan bahawa ayahnya pernah menerima riwayat daripada datuknya dan menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Amal-amal perbuatan itu diperlihatkan pada hari Isnin dan Khamis kepada Allah, manakala amalan para nabi serta ibu bapa mereka diperlihatkan pada hari Jumaat.” Baginda juga berpesan supaya jangan sekali-kali melakukan khianat kepada orang yang telah meninggal dunia dengan amalan-amalan yang buruk dan keji. Alangkah sedih dan kecewanya orang-orang yang meninggal dunia  yang terdiri daripada keluarga kita, apabila melihat tingkah laku kita yang melanggar syariat Allah.

Selain itu antara perkara yang dapat membantu kita untuk menjaga dan menghormati mereka yang telah meninggal dunia ialah dengan menyambungkan silaturrahim. Ibnu al-Mubarak menuturkan riwayat daripada Uthman Ibn Abdillah Ibn Ash bahawa Said bin Jubir pernah berkata kepadanya: “Mintalah izin kepada puteri saudaraku, dia adalah isteri Uthman, puteri Amru bin Ash”. Kemudian dia berangkat dan meminta izin agar dapat menemuinya. Setelah dia masuk, kemudian bertanya tentang bagaimana perlakuan suaminya terhadap dirinya, sama ada baik atau tidak. Lalu dijawab : “Ya, dia sentiasa berbuat baik kepadaku”. Kemudian dia berpesan, “Uthman, berbuat baiklah kepadanya (isterinya) kerana kamu tidak berbuat sesuatu kepadanya melainkan ia akan diketahui oleh Amru bin Ash.” Pada ketika itu Amru bin Ash sudahpun meninggal dunia. Lalu menantunya bertanya, apakah orang yang meninggal dunia dapat mendengar tentang orang yang masih hidup?. Dia menjawab: “Ya. Tidaklah seorang yang sudah meninggal dan memiliki keluarga terdekat melainkan akan datang pada amalnya perbuatan keluarga yang masih hidup. Jika dia berbuat baik, dia akan merasa senang. Jika melakukan keburukan, dia akan berdukacita.”

Rasulullah SAW menceritakan keadaan roh akan datang menziarahi sahabat-sahabatnya yang telah meninggal dunia. Di dalam keadaan roh yang kesunyian ketika berada di alam kubur, pada waktu itu mula terdengar bunyi roh-roh yang berterbangan, seumpama bunyi lebah. Apabila di soal dari mana datangnya bunyi itu, malaikat menjawab itulah bunyi roh-roh yang telah meninggal dunia sebelum ini. Sayup-sayup kedengaran dari jauh, roh-roh itu berbicara sesama mereka dan menyatakan bahawa lebih baik roh yang baru meninggal dunia itu dibiarkan beristirehat dahulu kerana dia mungkin keletihan. Namun roh itu berkata dia tidak berasa letih malah dengan dengan bangganya memperlihatkan kain kapan yang dipakaikan kepadanya oleh anak-anaknya yang salih sewaktu menyempurnakan jenazahnya. Sesungguhnya setiap mayat itu bergembira dengan kain kapan yang dipakaikan kepadanya. Kemudian roh-roh yang lain akan datang bertanya tentang keadaan anak-anak mereka, sama ada mereka datang menziarahi sewaktu hidupnya. Jika roh yang baru meninggal dunia itu menjawab dia tidak pernah diziarahi oleh anak-anak dan kaum keluarga setelah ketiadaan mereka, roh-roh itu akan berasa sangat sedih kerana mungkin sahaja anak-anaknya tidak lagi menyambung silaturrahim dan dihumban ke dalam neraka Hawiyah.

Apabila timbul persoalan bagaimana ingin melakukan kebaikan kepada mereka yang telah meninggal dunia terutamanya ibu bapa, suami atau isteri, anak-anak  atau keluarga terdekat kita, sebagaimana Abu Usaid al-Saidi menuturkan bahawa ada seorang yang datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan berkata: “Ya Rasulullah, apakah masih mungkin saya berbuat baik kepada kedua orang tua saya yang telah meninggal dunia, kerana saya tidak tahu bagaimanakah keadaan yang dilalui mereka setiap hari.” Baginda menjawab: “Ya, ada empat cara yang boleh kamu terus lakukan walaupun mereka telah meninggal dunia. Pertama, jangan tinggalkan di dalam doa kamu agar sentiasa menyebut tentang mereka. Kedua, tunaikanlah janji-janji yang ingin dipenuhi oleh mereka ketika hidup dahulu, tetapi tidak berkesempatan untuk melakukannya. Pahala daripada amalan perbuatan baik yang dilakukan akan sampai pahalanya kepada mereka yang sudah meningal dunia. Ketiga, muliakanlah sahabat dan teman-teman yang baik terhadap arwah sewaktu dia hidup dahulu, kerana dengan berbuat demikian, Allah akan tunjukkan amalan itu kepada arwah. Keempat, sambung silaturrahim yang menjadikan kamu dan dia tidak mendapat kasih sayang, melainkan daripada keduanya.” Iaitu mendekatkan kembali hubungan persahabatan dan keluarga. Semoga segala kebaikan itu akan menggembirakan roh mereka yang telah meninggal dunia.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 10 Mac 2016
Scroll to Top