Melahirkan Pemuda Mursyid

KAEDAH berdakwah diterangkan sendiri oleh Al-Quran, iaitu secara berhikmah dan dengan memberikan pengajaran yang baik. Melalui kaedah ini, akhirnya mesej dakwah akan dapat disampaikan dengan berkesan.  

Ustaz Muhammad Syaari Ab. Rahman menerusi segmen ‘Ibrah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu berkongsi kisah Nabi Ibrahim AS melalui ayat-ayat daripada Surah Al-Anbiyaa’. Surah Al-Anbiyaa’ ini turun kepada Rasulullah SAW untuk mengkhabarkan kepada Baginda bahawa nabi-nabi terdahulu tetap sama seperti Baginda SAW keadaan fizikal dan sifat kemanusiaannya.

Ustaz Syaari berkongsi ayat daripada Surah Al-Anbiya’ ayat 52 – 57 yang bermaksud : Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: \”Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?\”. Mereka menjawab: \”Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya\”. Ia berkata: \”Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata\”. Mereka bertanya: \”Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar (sebagai seorang Rasul), atau engkau dari orang-orang yang bermain-main sahaja?\”. Ia menjawab: \”(Bukan bermain-main) bahkan (untuk menegaskan bahawa) Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dia lah yang menciptanya; dan aku adalah dari orang-orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian itu. \”Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala ini)\”.

Menerusi ayat-ayat ini, Allah SWT menggambarkan beberapa elemen kebijaksanaan Nabi Ibrahim AS melalui cara dakwah yang disampaikan kepada kaumnya. Nabi Ibrahim AS apabila mendapati kaumnya menyembah sesuatu yang diperbuat daripada kayu yang dipahat, maka Baginda tidak terus membuat kesimpulan dan menghukum kaumnya. Sebaliknya, Nabi Ibrahim AS bertanya kepada kaumnya, “apakah tamasil (sesuatu yang diperbuat daripada kayu yang dipahat) ini? “. Baginda ingin mendengarkan hujah kaumnya sebelum terus menghukum mereka sesat. Ini adalah pendekatan yang digunakan bagi mengajak kaumnya berfikir dan menggunakan akal mereka sendiri, tanpa beliau terlebih dahulu menghukum.

Seorang yang bijaksana seperti Nabi Ibrahim AS mengetahui kaedah dakwah yang berkesan adalah dengan mengemukakan soalan kepada kaumnya dan soalan itu sendiri mampu membuatkan kaumnya terperangkap. Persoalan yang dilontarkan oleh Nabi Ibrahim AS tentang tamasil  itu menggambarkan Baginda tidak mengiktiraf objek yang disembah oleh kaumnya itu dengan perkataan tuhan.

Kaum ini akhirnya terkasima dengan hujah dan soalan yang dilontarkan oleh Nabi Ibrahim AS. Jawapan yang diberikan oleh kaum Nabi Ibrahim kepada Baginda telah meletakkan akal mereka keluar daripada kedudukan yang atas. Mereka telah memenjarakan akal mereka kerana mereka bersandarkan kepada amalan nenek moyang mereka tanpa sebarang ilmu. Hakikatnya, inilah jawapan manusia zaman berzaman, syirik yang diwarisi tanpa hujah.

Lantas Nabi Ibrahim AS setelah mendengarkan jawapan meraka, lalu berkata “Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata\” seperti yang disebutkan di dalam Surah Al-Anbiyaa’ ayat 54. Perkara ini disebutkan oleh Nabi Ibrahim As setelah lama memerhatikan dan mengkaji kaumnya yang begitu lama menyembah kayu ukiran mereka.

Perkataan Nabi Ibrahim AS kemudiannya disendakan oleh kaumnya. Mereka menganggap Nabi Ibrahim AS sekadar bergurau dengan mereka memandangkan usianya terlalu muda untuk berkata perkara-perkara seperti itu kepada mereka. Lalu Nabi Ibrahim AS menyatakan kepada kaumnya bahawa Allah SWT adalah Tuhan sekelian alam yang menciptakan langit dan bumi dan segala isinya. Baginda juga turut sanggup menjadi saksi dengan setiap apa yang Baginda perkatakan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 31 Mei 2016
Scroll to Top