Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, langkah tersebut bertujuan mengheret mereka yang terlibat dengan perbuatan tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap individu yang terlibat dalam aktiviti yang boleh mendatangkan masalah keselamatan kepada negara.

“Saya sudah minta semua pegawai saya ambil maklum tentang laporan yang didedahkan Mingguan Malaysia dan kami sama sekali tidak akan bertolak ansur terutama melibatkan ancaman kepada aspek ekonomi dan keselamatan negara,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, kerajaan kerugian berbilion ringgit akibat ketirisan hasil negara berikutan amalan rasuah berkonsepkan strategi laut­an biru apabila ada anggota penguat kuasa agensi tertentu sanggup bersepakat dengan sin­diket bagi melaksanakan strategi berkenaan.

Difahamkan, amalan rasuah seumpama itu berlaku melalui kegiatan penyeludupan dan kemasukan barangan di beberapa pelabuhan utama.

Shahidan menambah, perihal kes-kes penyeludupan melibatkan anggota penguat kuasa ada dibincangkan dalam mesyuarat antara beliau dan pegawai tertinggi Ma­ritim Malaysia dan APM sebelum ini, namun tiada tindakan diambil ekoran kekurangan maklumat.

Sehubungan itu, beliau berharap mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut supaya bertemu terus dengannya agar tindakan susulan dapat diambil.

“Kita akan siasat dan jika perkara ini serius, saya akan bawa ke pengetahuan Kabinet,” katanya.