Sambil melahirkan rasa puas hati, beliau menegaskan, hubu­ngan dua buah negara itu me­ngalami evolusi dan berkembang daripada satu bidang dan satu dimensi kepada pelbagai, lebih strategik dan komprehensif.

‘‘Saya dan Perdana Menteri India, Narendra Modi mengakui hubungan Malaysia-India berada pada tahap tertinggi dalam sejarah. Kami yakin keadaan sebegini akan bertambah baik pada masa akan datang,’’ katanya dalam sidang akhbar di akhir lawatan enam hari beliau ke India sejak 30 Mac lalu.

Menurut Najib, 31 memoran­dum persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan jumlah pelaburan mencecah RM158.4 bilion menunjukkan keyakinan kerajaan India dan para pelabur dari India ke atas persekitaran pelaburan dan ekonomi Malaysia.

‘‘Saya berharap lawatan ini akan dapat memberi momentum kepada kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan India,” tegasnya.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan itu adalah hasil kegigihan Modi untuk merombak ekonomi negara itu serta dorongan kuat beliau kepada syarikat-syarikat di India yang selama ini tidak begitu agresif dan hanya bergantung kepada pasaran tempatan.

Walau bagaimanapun, kata be­liau, Malaysia juga bersedia memberi peluang kepada syarikat-syarikat negara itu turut serta dalam projek di tanah air.

‘‘Sebagai contoh, kita mahu India membeli lebih banyak kelapa sawit dari Malaysia dan kita juga akan mulakan rundingan dengan Ircon yang mahu terlibat dalam projek pintasan jalan kereta api Seremban ke Pelabuhan Klang,’’ katanya.

Pada masa yang sama, kata Najib, India juga bersetuju menambah tempat duduk sebanyak 1,861 se­minggu untuk penerbangan ke New Delhi, Kolkata, Mumbai, Chennai, Bangalore dan Hyderabad.

Perbincangan mengenainya, kata Perdana Menteri, akan diadakan tidak lama lagi bagi meningkatkan kapasiti mingguan kepada 40,000 berbanding 20,000 sekarang.

Mengenai rancangan menggalakkan penerbit-penerbit filem dari India menjadikan Malaysia sebagai lokasi penggambaran, Najib berkata, Ketua Pe­ngarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab dilantik sebagai ‘point man’ bagi memudah cara syarikat-syarikat filem India yang mahu menuntut pelepasan cukai dan insentif lain.