Krisis Makna Diri

ILMU disifatkan sebagai semulia-mulia kelebihan yang dimiliki oleh seseorang manusia. Sepatutnya lebih banyak ilmu dan lebih ramai manusia yang berilmu maka lebih banyak dan meluaslah kebaikan dan manfaatnya kepada manusia. Akan tetapi yang kita lihat berlaku adalah sebaliknya. Di sebalik keghairahan para saintis mengumumkan penemuan-penemuan terbaru dalam bidang perubatan dan sains angkasalepas, jutaan manusia diancam malapetaka akibat kebuluran, penyakit, dan peperangan, manakala sebahagian lagi menanggung padah akibat pencemaran dan pemusnahan alam sekitar. Pentas politik antarabangsa pula menyaksikan bagaimana kuasa-kuasa besar meneruskan agenda penjajahan baru terhadap negara-negara kecil yang tidak sehaluan, dan keampuhan sains dan teknologi telah digunakan sepenuhnya untuk mengakibatkan kemusnahan yang dahsyat terhadap nyawa manusia dan harta benda.
Semua ini menunjukkan dunia yang sedang gawat dilanda oleh bermacam-macam krisis, pada hal setiap tahun berbilion ringgit wang negara dibelanjakan untuk pendidikan, dan berbilion lagi dirancang untuk dibelanjakan untuk tujuan itu. Ternyata ada sesuatu amat tidak kena dengan pendidikan yang diberikan itu, kerana ia gagal menghasilkan kebahagiaan, bahkan menambahlan lagi penderitaan. Krisis yang dihadapi menandakan tiada keadilan, iaitu apabila setiap sesuatu tidak berada pada tempatnya; maka hilanglah keharmonian dan keamanan sama ada dalam kehidupan peribadi ataupun masyarakat. Justeru ia membuatkan kita terfikir dan bertanya : apakah gunanya ilmu yang banyak jika itu kesudahannya ?
Pendidikan yang tidak membawa kepada keadilan dan kebahagiaan adalah pendidikan yang sudah hilang tujuan, kerana pendidikan bukanlah semata-mata mengajarkan ilmu dengan sebanyak-banyaknya, apatah lagi kalau yang dimaksudkan dengan ilmu itu adalah semata-mata ilmu sains dan teknologi. Walaupun kita tidak menafikan banyak manfaat yang telah diperolehi oleh manusia hasil dari kemajuan sains dan teknologi, akan tetapi mudaratnya juga banyak dan besar. Yang menentukan batas kegunaan sains dan teknologi adalah manusia, dan manusialah yang menentukan sama ada mahu menggunakannya untuk kebaikan bersama ataupun untuk kemusnaha. Oleh sebab itu manusia hendaklah dididik dengan ilmu-ilmu yang menjadikannya manusia yang baik, iaitulah ilmu-ilmu yang berkait dengan agama dan akhlak, bukan semata-mata sains dan teknologi.
Krisis yang melanda manusia hari ini berpunca dari kehampaan ilmu yang berkait dengan agama dan akhlak, yang telah diabaikan selama ini kerana gopoh mengejar pembangunan dan kemajuan duniawi. Maka sains dan teknologi telah dipupuk dan dipuja sedemikian rupa seolah-olahnya itulah satu-satunya ilmu yang akan memberikan jawapan kepada segala persoalan hidup manusia. Hakikatnya sains dan teknologi tidak pernah menjanjikan itu, akan tetapi manusia, dek terpedaya dengan kehidupan duniawi, telah lupakan dirinya dan apa yang sebenar-benarnya penting untuk dirinya.
Krisis demi krisis yang tidak kunjung padam sedikit demi sedikit akan menghilangkan keyakinan sebahagian manusia terhadap nilai hidup dan makna diri masing-masing. Ini adalah krisis yang lebih besar, apabila timbul persoalan adakah hidup ini sesuatu yang masih bernilai untuk diteruskan dan diperjuangkan sedangkan ia hanya memanfaatkan segelintir manusia yang kaya dan berkuasa, manakala sebahagian besar manusia dinafikan hak dan maruah diri, dan ditindas. Di manakah keadilan? Wujudkah keadilan? Dan masih adakah harapan dan peluang untuk mereka menikmati kebahagiaan seperti orang lain? Ataupun kebahagiaan itu tidak mungkin dicapai oleh kebanyakan manusia?
Persoalan-persoalan seperti ini hanya timbul apabila seseorang itu bukan hanya kecewa dengan nasib dirinya bahkan percaya tiada lagi harapan untuk mengubahnya. Apabila itu berlaku kekecewaan itu lambat-laun akan dizahirkan dengan tindakan-tindakan yang membinasakan diri dan masyarakat.
Sebagai manusia segala persoalan yang timbul dalam benaknya pada akhirnya adalah mengenai dirinya, yakni dari mana datangnya dan ke mana kesudahannya. Ini adalah persoalan yang muktamad dan jawapan yang dikehendaki juga mestilah muktamad, iaitu yang meyakinkan. Jika jawapan itu tidak diperolehi maka hilanglah makna kepada kehidupan ini, dan hiduplah manusia itu tanpa mengetahui hala tuju dan kesudahan nasibnya. Dalam keadaan sedemikian tidak mungkin dia merasai kebahagiaan. Kerana setinggi manapun pencapaiannya dalam kehidupan duniawi ini dia tetap tidak dapat membebaskan dirinya dari persoalan makna diri dan nasib akhirnya.

Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri
Scroll to Top