Kementerian Pendidikan perluas Program Transformasi Daerah

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan akan memperluaskan Program Transformasi Daerah (DTP) yang dilakukan secara rintis di Kedah dan Sabah, di semua daerah di seluruh negara bagi membantu meningkatkan prestasi sekolah di negara ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata ini berikutan keberhasilan program itu apabila jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar di Sabah dan Kedah dapat ditingkatkan.

“Hasilnya, kedua-dua negeri mencatatkan prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) terbaik dalam tempoh lapan tahun dan peningkatan tertinggi berbanding negeri lain pada 2013.

“Umpamanya Gred Purata Sabah meningkat 0.07 mata berbanding purata peningkatan kebangsaan sebanyak 0.04 mata,” katanya ketika berucap merasmikan Program Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat negeri Sabah di Wisma MUIS di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Misrah Ibrahim.

Khair Mohamad berkata, fungsi dan peranan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ditambah baik untuk memberi sokongan dan bimbingan melalui Rakan Peningkatan Sekolah (SIPartners) dan Jurulatih Utama Peningkatan Sekolah (SISC).

Beliau berkata, program itu membabitkan 2,551 sekolah; lebih 89,000 guru dan hampir 1 juta murid di negeri berkenaan.

Dalam konteks mempertingkat kemajuan negeri Sabah setanding negeri lain, katanya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menyediakan pelan pendidikan yang komprehensif dengan mengambil kira keperluan murid yang berbeza dan keupayaan.

Menurutnya, program anjuran hari ini juga akan memberi penerangan tentang Pelan Transformasi Vokasional dan Program Buying Seat yang akan diperluas aksesnya kepada lebih ramai pelajar bagi menghasilkan sejumlah besar tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang.

“Bagi memastikan suasana yang kondusif untuk proses pembelajaran, kementerian dan kerajaan negeri Sabah sentiasa berusaha memastikan keperluan asas di setiap sekolah berada dalam keadaan baik.

Di bawah Anjakan 6 PPPM, kementerian menetapkan sejumlah projek pembaikan kritikal selesai, memberikan akses kepada bekalan elektrik dan air yang stabil dan sebagainya,” kata Khair Mohamad.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Jame Alip berkata semua 24 PPD negeri Sabah berjaya mendapat persijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dan satu-satunya jabatan di seluruh negara yang diiktiraf oleh Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Sumber BERNAMA.

69total visits,1visits today

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm