Keistimewaan Ramadan

Pada kesempatan pertama kali ini sukacita saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana memberi peluang untuk saya berkongsi inti pati perbincangan al-Fadhil Ustaz Muhammad bin Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra yang bersiaran setiap Isnin jam 10.15 pagi di radio IKIMfm: Pilihan Utama Anda. Penghargaan juga buat pihak Pengurusan Berita Harian yang memberi ruang ini untuk sama-sama mengambil manfaat dari rancangan-rancangan terbaik di IKIMfm untuk sebaran lebih meluas lagi.

Ustaz Muhammad memulakan bicara dengan mengungkapkan bahawa di sana terdapat banyak hikmah dan kebaikan ibadah puasa yang dikerjakan pada bulan Ramadan, yang difardukan oleh Allah SWT. Semoga dengan memahami hikmah dan kebaikan ibadah pada bulan ini akan menambahkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Kegagalan memahami keberkatan dan ganjaran amalan ibadah pada bulan ini akan menyebabkan kurangnya penghayatan seseorang Muslim kepada setiap amalan yang dilakukan. Seperti menurut pepatah Melayu “tak kenal maka tak cinta”.

Walaupun kita sudah menjengah setengah bulan Ramadan, namun mungkin masih ramai yang tidak mengetahui bahawa bulan Ramadan sebagai bulan yang memiliki kesucian dan banyak keistimewaan. Antaranya tiga keistimewaan yang terdapat pada bulan Ramadan  yang dihuraikan pada siaran minggu lalu iaitu:

Yang pertama: disebutkan di dalam hadis dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda, mafhumnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu”.

Harus disedari, bulan Ramadan adalah dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka yang berpuasa dengan ikhlas semata-mata mencari keredaan Allah SWT dan mengharapkan pengampunan dosa-dosa selain  pembebasan daripada api neraka dan memperolehi takwa kepada Allah SWT.

Walaubagaimanapun, puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, kualiti puasa seseorang itu juga perlulah dijaga sebaiknya dalam mencapai ketaqwaan dan memperoleh kelebihan puasa sebenar-benarnya. Dengan lain perkataan, puasa yang berkesan itu ialah puasa yang bukan sekadar “melepaskan batuk di tangga” sahaja, sebaliknya memerlukan kepada iltizam terhadap syarat-syarat, adab-adab dan rukun-rukun yang telah digariskan oleh syariat Islam sepenuhnya.

Antara contoh tidak menjaga kualiti puasa yang diberikan oleh Ustaz Muhammad adalah solat yang tidak sempurna ketika berpuasa. Selain itu, amalan-amalan sunat juga perlulah dipertingkatkan pada bulan ini, sebagai contohnya amalan sunat yang rutin dilakukan setiap kali tiba Ramadan ialah Solat Terawih. Selain itu digalakkan memperbanyakkan amal ibadah lain seperti membaca Al-Quran, bersedekah, dan sebagainya. Kita juga digalakkan bersedekah atau memperbanyakkan melakukan amalan Sunat selain yang Wajib. Ini kerana Allah melipatgandakan pahala kepada mereka yang beramal. Nilai pahala ibadat Sunat pada bulan ini sama dengan nilai pahala ibadat Wajib pada bulan lain. Justeru itu, kita dituntut melakukan ibadah sebanyak-banyaknya berbanding dengan bulan-bulan yang lain dalam usaha mencari jalan  mendapatkan pengampunan dosa-dosa yang lalu.

Selain itu, kualiti puasa juga dinilai melalui sejauh mana kita menahan diri dari melakukan sesuatu yang haram.  Inilah di antara cara yang paling berkesan untuk menjadikan puasa yang sedang kita lakukan itu diterima Allah SWT. Berusaha mengelakkan diri daripada kebiasaan yang boleh merugikan diri kita seperti bertengkar antara suami isteri dan orang lain, suka berhibur, membuang masa dan mengumpat yang tidak mendatangkan faedah.

Turut disentuh dalam menjaga kualiti puasa adalah menghindarkan diri daripada perkara-perkara makruh seperti tidur terlalu lama ketika berpuasa hingga memyebabkan terabai tanggungjawab ibadah dan lain-lain, mandi yang kerap dan lama, dan merokok selepas berbuka puasa.

Perkara kedua yang istimewa pada bulan Ramadan adalah gandaan pahala atas semua amalan ibadah.

Pada bulan ini  Allah SWT telah memilih suatu malam yang sangat tinggi nilainya, iaitu malam al-Qadar atau ‘Lailatul Qadar’. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan yang penuh berkat. Allah telah memfardhukan atas kamu berpuasa di dalamnya. Dibuka di dalamnya segala pintu Syurga, dikunci di dalamnya segala pintu Neraka dan dibelenggu di dalamnya segala syaitan. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan (malam lailatul qadar). Barangsiapa tiada diberikan kebajikan malam itu, maka sesungguhnya tidak diberikan kebajikan kepadanya” (Riwayat Ahmad, An-Nasa’i dan Al-Baihaqi dari Abu Hurairah)

Malam yang mempunyai banyak keistimewaan ini begitu utama dari malam-malam yang lain kerana ia hanya boleh ditemui setahun sekali sahaja iaitu pada salah satu daripada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Pahala yang diberikan kepada orang yang menghidupkan malam tersebut adalah seribu kali ganda daripada hari-hari biasa baik dari segi amalan ibadah khusus seperti solat, membaca Al-Quran, menghadiri majlis ilmu mahupun amalan kebaikan lain hatta mengemas dan menghias rumah dengan niat mencari keredhaan Allah.

Pahala berganda juga dapat diraih dari sudut kekeluargaan terutama pada para isteri yang kebiasaannya menggandakan tugasan mereka menguruskan keluarga serta melakukan sesuatu dalam  mencari keredhaan suami pada bulan Ramadan ini.

Rasulullah SAW bersabda sepertimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang bermaksud: “seseorang perempuan yang mencari keredaan suaminya, maka baginya balasan pahala sebagai mana pahala ketaatan Saidatina Maryam dan Saidatina Asiyah, dan sesiapa yang menolong keperluan saudara Muslimin, maka Allah akan menolong 1,000 keperluan pada hari kiamat.”  

Seterusnya perkara ketiga yang disebutkan berlaku pada pada bulan Ramadan adalah para syaitan dirantai atau dibelenggu. Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda maksdunya “apabila masuk bulan Ramadan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekalian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat. (Riwayat Bukhari dan  Muslim)

Ketika bulan Ramadan menjelang tiba, ketika inilah semua syaitan diikat selama sebulan. Jika dalam bulan ini kehidupan kita tidak menunjukkan perbezaan di antara bulan-bulan yang lain, maka itu adalah bahaya buat kita. Ini kerana jika perbuatan maksiat atau haram yang dilakukan pada bulan ia mungkin kerana digoda syaitan, iman tidak kuat dan sebagainya. Namun apabila masuk dalam bulan Ramadan, dan kita tetap melakukan maksiat, ia mungkin menunjukkan sifat semulajadi seseorang, iaitu nafsu dirinya yang kotor dan tidak terkawal.

Hikmah syaitan dibelenggu perlulah dilihat sebagai satu rahmat dan kesempatan untuk kita melihat kelemahan diri yang sebenar dan membolehkan kita memperbetulkan kelemahan yang ada. Bagi orang yang berpuasa tetapi masih bergelumang dengan dosa bermakna bahawa puasanya sama sekali tidak bermanfaat baginya. Marilah sama-sama kita menggapai saki-baki Ramadan yang masih tersisa ini agar keistimewaan Ramadan tidak berlalu pergi begitu sahaja. Belum tentu Allah SWT akan memberi kesempatan kepada kita untuk menemui Ramadan pada tahun-tahun mendatang.

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Berita Harian bertarikh 17 Julai 2014 dalam segmen Agama

111total visits,3visits today

Hajah Mazlina Ismail

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Psikologi & Kesihatan Mental, Book of Assistance, Smart Parents dan banyak lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm