Jagalah Keluarga Daripada Bakaran Neraka

ANAK merupakan aset yang paling bernilai kepada kedua-dua ibu dan bapa. Oleh itu, setiap pasangan yang telah berkahwin mempunyai keinginan untuk mendapatkan cahaya mata sebagai penyeri dan pelengkap kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga yang dibina. Allah SWT  telah berfirman yang bermaksud “ Wahai orang–orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah ) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah)kamu mengkhianati amanah-amanh kamu, sedangkan kamu mengetahui.

Dan ketahuilah bahawa harta-harta kamu dan anak-anak kamu adalah ujian (bagi kamu), dan sesungguhnya Allah di sisi-Nya pahala yang besar. (Surah Al-Anfal 27-28). Justeru, para ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mereka dididik dengan ajaran Islam lebih-lebih lagi pada zaman yang penuh dengan cabaran mehnah ini, ibu bapa perlu melaksanakan amanah yang diberikan sebaiknya, walaupun sukar untuk melaksanakan proses didikan untuk anak-anak supaya mereka patuh dan tunduk kepada Allah SWT.   

Pada siri perbincangan yang lalu dalam rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm pada hari Isnin jam 10 pagi, Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin  menghuraikan satu lagi ayat yang berkait rapat dengan  isu kekeluargaan. Ia merujuk kepada ayat yang membawa maksud “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan  (Surah At-Tahrim , ayat 6).

Daripada ayat tersebut  ia menerangkan bahawa bahawa Allah memerintahkan hambanya supaya melakukan dan melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan larangan-Nya. Ia juga mengingatkan bahawa menjadi tanggungjawab ketua keluarga untuk memelihara keluarganya daripada melakukan dosa yang boleh membawa kepada balasan api neraka. Setiap sesiapa yang mengerjakan segala suruhan dan menjauhi laranganNya akan mendapat balasan setimpal dan Allah menjanjikan syurga untuknya kelak. Menurut Muhammad terdapat lima perkara yang tidak akan memisahkan hubungan erat antara ibubapa dan anak-anak.

Pertama adalah memberikan kasih sayang yang secukupnya. Kasih sayang yang mencukupi daripada ibu bapa membolehkan anak-anak membesar dengan seimbang daripada segi emosi dan jasmani. Manakala anak yang kurang mendapat perhatian kasih sayang daripada ibu bapa, biasanya cenderung untuk menjadi anak-anak yang nakal dan kurang berdisiplin. Kasihnya  ibu membawa ke syurga dan kasihnya ayah berkorban nyawa .Itulah ungkapan  yang sering kita dengar  sama ada melalui media elektronik, media massa mahupun daripada bahan-bahan bacaan. Anak-anak  perlu merasakan bahawa kewujudan ibubapa mereka pada hari ini sesungguhnya nikmat yang amat besar daripada Allah SWT.

Tanpa  dua insan  tersebut , sebagai anak   tidak mampu mengecapi erti sebenar kehidupan  ini. Perkara seterusnya yang perlu dititikberatkan  adalah dari segi aspek penjagaan nafkah. Sebagai ketua keluarga  perlulah prihatin dan berusaha  untuk  memenuhi serta menyediakan  keperluan  yang meliputi makanan, pakaian, tempat tinggal, pekerjaan dan kesihatan kepada anak-anak. Kegagalan ibu bapa menyediakan keperluan asas, akan menyebabkan anak-anak menghadapi masalah dalam menjalani kehidupan seharian. Ibu bapa juga bertanggungjawab untuk  memberikan khidmat yang terbaik buat anak-anak mereka. Misalnya menjaga keselamatan anak-anak.

Ibu bapa mesti memastikan anak-anak selamat ketika ibu bapa pergi bekerja. Jika anak-anak bersekolah, ibu bapa perlu memastikan anak-anak dalam perjalanan pergi dan balik dari sekolah. Jlka anak-­anak sakit pula, ibu bapa perlu menghantar anak ke klinik bagi mendapatkan rawatan daripada  doktor perubatan.  Manusia boleh sabar bila diuji dengan harta benda, kedudukan dan kemewahan. Tetapi belum tentu boleh sabar dan tabah menghadapi ujian atau kerenah daripada  anak-anak. 

Dalam al-Quran, Allah SWT memberitahu manusia bahawa anak-anak itu adalah ujian, firman-Nya yang bermaksud, “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal,ayat  28).  Sedar atau tidak, anak itu menjadi sebahagian ujian Allah untuk yang bergelar  ibu bapa meningkatkan kesabaran dalam hal-hal yang tidak disenangi. Sedangkan Allah beserta dengan manusia yang sabar  dalam mengharungi segala musibah yang melanda hidup mereka.  Akhir sekali  hbungan erat antara ibubapa dan anak-anak  tidak akan terlerai begitu sahaja  dengan  mengamalkan doa secara berterusan. Doa ibu bapa sangat berkat dan mustajab. Oleh itu, anak yang soleh akan mengharapkan keberkatan doa ibu bapa dalam menyusuri kehidupan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Mei 2017
\"\"
Scroll to Top