Islam Bentuk Jadi Diri

DALAM rancangan Tarbiyyah yang disiarkan di radio IKIMfm jam 10 pagi Jumaat lalu, saya telah menyambung bicara tentang bagaimana kedatangan Islam di Nusantara Melayu ini telah memberikan jati diri dan identiti kepada bangsa Melayu yang sebelum ini bangsa yang tidak memiliki apa-apa. Sejak bangsa Melayu mengenali Islam, maka lahirlah para ulama Islam yang terkenal di Nusantara ini yang berbicara  dan menhasilkan karya-karya tentang ketuhanan, kosmologi, ontologi, tasawuf dan ilmu-ilmu Islam lain yang tidak pernah ditemui ketika bangsa Melayu dikatakan menganut agama Hindu, Buddha atau Animisme sebelum itu. Ini membuktikan betapa ajaran-ajaran selain Islam yang dikatakan dianut oleh bangsa Melayu sebelum kedatangan Islam, bukanlah anutan yang bersungguh-sungguh dan mendalam tetapi sebaliknya luaran dan menipis sahaja. Ianya lebih merupakan ajaran bangsawan dan para raja bagi menyokong kepimpinan mereka dan menyokong dakwaan konon mereka ada wakil dewa atau tuhan di atas mukabumi. Cendikiawan ulung Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku beliau Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu menyebut dengan jelas perkara ini dengan berkata bahawa “agama Hindu semata-mata merupakan amalan suatu lapisan tipis struktur masyarakat”, sedangkan rakyat umum tidak pedulu. Perkara sama diakui oleh orientalis Belanda Van Leur apabila menyebut “masyarakat Melayu-Indonesia itu bukanlah masyarakat Hindu tetapi golongan bangsawan sahajalah yang menganuti agama ini dengan sesungguhnya”. Dalam ertikata lain, ajaran Hindu tidak membawa sebarang perubahan besar terhadap minda dan pemikiran bangsa Melayu pada ketika itu sepertimana di bawa oleh ajaran Islam sehingga memberi kesan terhadap pandangan alam atau pandangan hidup mereka. Bangsa Melayu ditransformasikan dengan kedatangan ajaran Islam sepertimana bangsa Arab Jahiliyyah ditransformasikan dengan kedatangan Islam dan Baginda SAW.

Perkara kedua yang ingin ditegaskan ialah bagaimana kedatangan Islam, umat Melayu telah menjadi bangsa yang berjaya melalui penghayatan ajaran-ajaran Islam dan sedikit demi sedikit mula meninggalkan segala ajaran nenek moyang, dan pelbagai bentuk khurafat, tahyul dan karut marut. Hari ini bangsa Melayu-Islam menjadi bangsa yang dihormati bukan sahaja dalam penghayatan agama, tetapi juga dalam urusan duniawi dan kemajuan fizikal.

Dengan kedatangan Ramadan yang tidak berapa lama ini, hendaklah kita semua mengambil kesempatan terus mengukuhkan jati diri bangsa menjadi sebaik-baik umat sepertimana yang diperintahkan oleh Allah SWT sehingga terlahirnya insan-insan yang bertaqwa melalui proses Ramadan ini. Ramadan hanyalah seumpama sebuah sekolah, madrasah, pusat latihan, bengkel, workshop, atau “mesin” memproses. Bukan memproses barangan buatan atau produk biasa, tetapi memproses jiwa-jiwa manusia (al-nafs) agar selepas berakhirnya “proses Ramadan” ini akan terzahirnya insan-insan yang berjiwa taqwa sepertimana Firman Allah SWT “wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu semoga dengan itu kamu menjadi orang bertaqwa”.

Taqwa-lah matlamat Ramadan. Dan Ramadan sekadar “proses”. Kita tidak sepatutnya berhenti setakat mengkagumi proses sahaja tetapi perlu memastikan hasil akhir (output) proses itu benar-benar terhasil sepertimana yang dikehendaki. Matlamat Ramadan bukan untuk kita berlapar, dahaga dan meninggalkan hubungan suami isteri, tetapi untuk menjadikan insan bertaqwa. Kalau di bulan Ramadan sebagai bulan yang penuh dengan segala keberkatan, pahala yang digandakan, syaitan dibelenggu tetapi kita masih gagal menjadi insan-insan yang bertaqwa maka di bulan-bulan lain lagi teramat sukar untuk kita menjadi insan bertaqwa. Ramadan menyediakan sistem sokongan yang kuat kepada kita untuk merubah diri dan mentransformasikan diri menjadi individu-individu taqwa.

Inilah agenda perubahan umat yang perlu kita gerakkan iaitu merubah diri sendiri terlebih dahulu menjad insan-insan bertaqwa sepertimana Firman Allah SWT dalam Surah al-Ra’d ayat 11, mafhumnya: “Allah SWT tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri”.  Dalam mensyarahkan ayat ini Imam Abu Talib al-Makki dalam kitabnya Qut al-Qulub menyebut bahawa selain daripada membawa maksud yang dinyatakan tadi iaitu perlu perubahan diri baharu Allah SWT akan merubah nasib mereka, maksud kedua ialah Allah SWT tidak mengubah nikmat yang sedang diperoleh oleh sesuatu kaum sehingga mereka berubah diri daripada hamba-hamba yang taat kepada mereka yang derhaka kepada Allah SWT. Individu merupakan unit paling asas dalam sebuah masyarakat dan negara dan sekiranya setiap unit-unit individu ini baik, maka keseluruhan masyarakat dan negara akan menjadi baik. Justeru itu, setiap individu perlu berperanan selain bersifat membaiki diri sendiri (islah) tetapi turut menjadi ejen perubah kepada masyarakat (muslih). Menjadi ejen yang aktif mengajak masyarakat ke arah mentaati Allah SWT bermula daripada mengajak kaum keluarga sendiri, para kerabat, jiran tetangga dan seterusnya orang awam yang lebih luas. Inilah juga slogan yang sering kita dengar yang dibawa oleh gerakan-gerakan dakwah sekitar 80-an dulu iaitu “perbaiki dirimu dan ajaklah orang ramai” mentaati Allah SWT, dua-dua berjalan serentak dan bukan berasingan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Mei 2017

344total visits,2visits today

Dr. Nik Roskiman Abdul Samad

Merupakan Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Aktif menulis dalam akhbar dan majalah termasuk menjadi kolumnis majalah Q&A. Memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pengkhususan dalam bidang tasawuf dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi melalui emel roskiman@ikimfm.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm