Hari-hari Terakhir di Neraka

DIKATAKAN sekiranya di dalam kehidupan seharian manusia, mereka memohon dan berdoa kepada Allah agar dimasukkan ke dalam syurga sebanyak tiga kali setiap hari, nescaya syurga itu akan menyebut kepada Allah agar hambanya itu dimasukkan ke dalamnya kelak. Malah jika manusia sentiasa berdoa agar Allah melindungi mereka daripada azab neraka sebanyak tiga kali sehari, nescaya neraka pula akan memohon kepada Allah agar menjauhkan hambanya itu daripada dihumban ke dalamnya. Oleh itu kita seharusnya sentiasa bersedia untuk bercita-cita memasuki syurga Allah dan menjauhi diri dari neraka.
Hadis diriwayatkan oleh Ibnu al-Mubarak daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Manusia diingatkan agar berusaha menangis mengenangkan dosa-dosa yang telah dilakukan ketika hidup di dunia walaupun terpaksa menitiskan air mata, kerana sesungguhnya penduduk neraka akan menangis sehingga air mata mereka bergenang seperti sungai dan setelah kering air mata itu akan mengalir pula darah dari mata mereka seperti mata air sehinggakan kapal juga dapat berlayar di dalamnya.”  Sesungguhnya azab yang paling ringan di dalam neraka kelak ialah  mereka yang dipakaikan selipar tetapi menyebabkan mendidih otaknya.  Baginda juga berpesan mafhumnya, “Demi Allah, sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit sahaja ketawa di atas dunia dan menyimpannya di akhirat nanti.”
Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada Khamis jam 5.15 petang, setelah Allah menolak  permintaan dan rayuan ahli neraka untuk dihentikan azab, mereka akan didatangi maut yang berbentuk seekor kibas yang diletakkan tempatnya di antara syurga dan neraka. Lalu disebut, “Tahukah kamu semua apakah ini?”, sambil diperhatikan oleh seluruh penghuni syurga dan neraka. Ahli syurga menjawab mereka mengetahui bahawa itu adalah maut dan kemudian binatang itu disembelih, menandakan bermula pada saat itu sudah tidak ada lagi maut di kalangan manusia. Ahli syurga bersorak kegembiraan kerana mereka tidak lagi akan merasai kematian dan kekal di dalam syurga, namun ahli neraka berteriakan dan hampa kerana mereka akan terus kekal diazab di dalamnya. Firman Allah di dalam Surah Maryam, ayat 39 bermaksud: “Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman.”
Pada hari-hari akhir di Akhirat kelak, Allah menciptakan sejenis permainan bagi penghuni Neraka dalam bentuk ejekan sebagai balasan ketika hayat di dunia dahulu, mereka sering mengejek ayat-ayat Allah SWT iaitu di kalangan orang-orang munafik. Apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka mengakui berada di dalam kumpulan yang sama. Namun apabila mereka berpaling kepada puak-puak yang melakukan kejahatan dan syaitan, tersebut mereka mengakui hanya mempermain-mainkan golongan beriman tersebut. Akhirnya Allah membiarkan mereka untuk terus berada di dalam kesesatan, sebagaimana yang disebut oleh Abu Salih, pada Hari Kiamat nanti dikatakan kepada penghuni neraka: “Kamu semua boleh keluar dari neraka ini”, sambil diperintahkan Allah agar para malaikat membawa penghuni neraka keluar. Pintu neraka pun turut dibuka dan penghuninya berlari kegembiraan ke arah pintu itu untuk keluar daripada neraka. Ketika mereka sampai di hadapan pintu neraka, ia ditutup kembali dan pada waktu itu penghuni neraka ditertawakan ahli-ahli syurga yang sedang melihat perbuatan mereka itu.  Allah berfirman maksudnya: “Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman pula tertawakan orang yang kafir itu. Sambil mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), serta melihat (hal yang berlaku kepada musuhnya). (Untuk menambahkan kegembiraan mereka, mereka ditanya): \”Bukankah orang-orang yang kafir itu telah dibalas akan apa yang mereka telah kerjakan dahulu?”(Surah al-Mutaffifin, ayat 34-36). Qatadah berkata, “Ka’ab menyatakan kepada kami bahawa sesungguhnya di antara syurga dan neraka terdapat beberapa lubang di dinding yang boleh dipandang, dan jika seorang mukmin ingin melihat keadaan musuhnya ketika hidup di dunia dahulu, maka dia boleh melihat melalui salah satu daripada lubang itu.”
Selain itu pada hari-hari terakhir itu nanti, ahli-ahli tauhid iaitu manusia yang di dalam dadanya terdapat kalimah tauhid (Lailaha illallah Muhammadarrasulallah) akan mula dikeluarkan daripada neraka. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sekumpulan orang daripada umatku akan dimasukkan ke dalam neraka kerana dosa mereka. Mereka berada di dalam neraka selama yang dikehendaki oleh Allah, namun mereka akan dikeluarkan daripadanya dan tempat mereka akan digantikan oleh orang musyrik. Kemudian orang musyrik itu berkata kepada mereka, “Tidak ada perbezaan di antara kamu semua dengan kami melainkan kamu semua beriman dan meng-esakan Allah. Sehingga iman dan tauhid kamu semua memberi manfaat kepada kamu”. Oleh yang demikian, semua yang mempunyai tauhid dikeluarkan oleh Allah SWT namun di atas dahi mereka tertulis ‘ahli neraka’.   Orang kafir pada Hari Akhirat kelak sentiasa menginginkan sekiranya ketika di dunia dahulu mereka pernah menjadi seorang muslim.
Rasulullah SAW juga menyatakan, seorang hamba akan menyeru Allah SWT di neraka Jahannam selama seribu tahun dengan kata-kata, “Wahai Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Dermawan..”. Lalu Allah memerintahkan Jibril ke neraka untuk membawa hambanya itu di hadapan-Nya. Namun penghuni neraka itu menjauhkan diri daripada Jibril kerana takut kepadanya sehinggakan Jibril juga tidak menemui hamba yang menyeru nama Allah tersebut, lalu dia kembali kepada Allah. Kemudian Allah SWT memberi petunjuk kepada Jibril mengenai kedudukan hamba itu di dalam neraka, lalu Jibril pergi ke tempat yang dimaksudkan dan menemui hamba Allah itu sambil berkata kepadanya, “Wahai hamba Allah, bagaimanakah pandangan kamu akan tempatmu sekarang?”. Lalu dijawab, “Ini adalah tempat yang paling buruk”. Jibril meminta hamba itu keluar daripada tempat itu kerana telah diberi kebenaran oleh Allah. Maka keluarlah hamba itu dengan perasaan gembira dan berkata, “Wahai Tuhanku, aku berharap agar Kamu tidak akan mengembalikan aku ke tempat ini setelah aku keluar darinya nanti”.
Orang yang terakhir keluar daripada neraka dan terakhir masuk ke dalam syurga sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku mengetahui orang yang terakhir daripada neraka dan terakhir masuk ke syurga. Orang yang terakhir keluar daripada neraka di dalam keadaan merangkak, Allah berfirman kepadanya, “Pergilah kamu ke syurga dan masuklah ke dalamnya”. Apabila dia pergi ke sana, Allah menunjukkan kepadanya bayangan bahawa syurga itu sudah penuh dan terus mengadu kepada Allah, lalu diperintahkan pergi semula ke syurga. Namun diberi gambaran lagi akan tiadanya kekosongan di sana dan kembali mengadu kepada Allah. Kemudian setelah diperintahkan oleh Allah untuk pergi ke syurga untuk kali ketiga dan berkata kepadanya bahawa dia akan mendapati keluasan di dalam syurga ialah seperti sepuluh kali keluasan dunia. Hamba itu berkata, “Adakah kamu mempermainkan aku, ya Allah?”  Tatkala pada saat itu sambil bersabda, Rasulullah ketawa sehingga menampakkan gigi gerahamnya kerana sesungguhnya orang itu adalah yang paling rendah darjatnya tetapi dimasukkan juga ke dalam syurga.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Februari 2017
Scroll to Top