Habib bin Zaid al-Ansari

“Ya Allah, jadikanlah mereka semua teman-temanku di dalam syurga”. Inilah antara doa Rasulullah SAW untuk keluarga Habib bin Zaid. Baginda juga pernah mendoakan ‘semoga Allah memberkati kalian dan merahmati seluruh ahli keluarga kalian’. Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm hari Isnin jam 5 petang, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi mengenai kisah Habib bin Zaid al-Ansari yang kisah kehidupannya perlu kita jadikan contoh dalam mempertahankan agama Allah SWT.
Di dalam sebuah rumah yang bersemi keimanan, membesarnya Habib bin Zaid. Wajah ahli keluarganya terpancar dengan cahaya-cahaya kesabaran, ketabahan serta semangat pengorbanan yang tinggi. Ayahnya bernama Zaid bin ‘Asim, salah seorang daripada pemuka kaum Muslimin di Kota Yathrib, bahkan beliau merupakan salah seorang daripada 70 orang yang menyertai perjanjian Aqabah. Bersaksi di hadapan Rasulullah SAW serta memegang erat tangan Baginda, berjanji untuk mempertahankan Rasulullah SAW dan menyanjung tinggi agama yang dibawa oleh Baginda. Perjanjian ini juga disertai oleh Habib bin Zaid saat usianya masih kecl.
Ibu kepada Habib bin Zaid, Ummu Umarah, Nasibah al-Maziniyyah. Beliau merupakan wanita pertama yang membawa senjata berperang di jalan Allah SWT. Manakala saudara Habib pula ialah Abdullah bin Zaid, insan yang sanggup mengorbankan nyawanya mempertahankan Rasulullah SAW dengan menjadikan dadanya sebagai benteng agar tidak ada panah dan tombak yang boleh menyentuh tubuh Baginda.
Ketika hayatnya, Habib bin Zaid tidak menyertai peperangan Badar dan Uhud kerana ketika itu, beliau masih kecil dan usianya masih muda. Akan tetapi, sesudah daripada peperangan Uhud, beliau menyertai peperangan demi peperangan bersama Rasulullah SAW. Beliau menunjukkan semangat pengorbanan dan perjuangan yang sangat hebat demi mempertahankan Islam. Peperangan demi peperangan yang disertai oleh Habib bin Zaid tidak lain sebagai satu persediaan buat beliau bagi menghadapi ujian yang sangat hebat dalam hidupnya.
Pada tahun ke-9 Hijrah, Islam semakin teguh kedudukannya sehinggalah ramai di kalangan bangsa-bangsa Arab mula memeluk Islam beramai-ramai. Mereka datang bertemu Rasulullah SAW dan menyatakan keislaman mereka kepada Baginda. Salah satu daripada kabilah besar yang datang bertemu Rasulullah SAW ialah kumpulan daripada Bani Hanifah. Kumpulan tersebut datang dan telah menambat haiwan-haiwan tunggangan mereka serta haiwan-haiwan ternakan mereka juga telah mereka tinggalkan kepada seorang lelaki, Musailamah bin Habib al-Hanafi.
Baginda Nabi SAW telah memuliakan kumpulan tersebut sehinggakan Baginda memberikan hadiah kepada setiap orang daripada mereka. Baginda turut menitipkan hadiah buat saudara mereka, Musailamah yang ditinggalkan untuk menjaga haiwan tunggangan dan ternakan. Setelah kumpulan tersebut beredar dan belum sempat tiba di Najad, lokasi tempat tinggal mereka, Musailamah telah murtad dan telah mengaku bahawa beliau adalah nabi yang telah diutuskan Allah untuk kaumnya, Bani Hanifah. Maka kaumnya mula menyokong dan memotivasikan semangat tersebut kepada Musailamah. Akhirnya, ramai daripada Bani Hanifah itu murtad dan dikatakan sehingga melebihi 50 ribu orang.
Ketika sokongan kepada Musailamah bertambah kuat, beliau telah mengutuskan surat kepada Rasulullah SAW yang tertulis “Daripada Musailamah, utusan Allah, kepada Muhammad, utusan Allah. Salam sejahtera kepadamu. Sesungguhnya aku berkongsi bersamamu, perintah daripada Allah, dan sesungguhnya bagi kami separuh bumi dan bagi Quraisy separuh bumi. Namun Quraisy adalah kaum yang melampau dan tamak”. Saat surat itu tiba kepada Rasulullah SAW dan Baginda membacanya, lantas Baginda membalas surat tersebut dengan menulis “Dengan nama Allah, daripada Muhammad Rasul Allah kepada Musailamah seorang pendusta. Salam sejahtera ke atas orang yang mahu mengikut hidayah Allah. Sesungguhnya bumi ini adalah milik Allah dan Allah mewariskannya kepada sesiapa sahaja di kalangan hamba-Nya yang dia kehendaki. Kesudahan yang baik itu, hanyalah kepada orang-orang yang bertaqwa”. Tatkala surat balas itu tiba kepada Musailamah, maka bertambahlah kebencian dan dendam beliau kepada Rasulullah SAW.
Saat kebencian Musailamah memuncak, maka Rasulullah SAW merasakan perlu untuk menghantar peringatan kedua kepadanya. Lalu, Baginda menulis surat dan mengutuskan surat tersebut bersama dengan utusan Baginda, Habib bin Zaid al-Ansari. Habib pada ketika itu merupakan seorang anak muda yang dikatakan sekitar usia 18 tahun. Ketika surat kedua sampai kepada Musailamah melalui utusan Baginda, maka bertambahlah kemarahan Musailamah sehinggakan beliau mengarahkan Habib ditangkap dan diikat untuk dibicarakan.
Keesokkan harinya, Habib diseret dalam keadaan kaki dan tangannya terikat dan dibawa ke tengah khalayak pengikut Musailamah untuk dibicarakan. Wajahnya tampak tenang. Saat Musailamah bertanya kepada Habib, adakah beliau mengakui bahawa Muhammad itu utusan Allah dan Habib mengatakan ya, dan apabila Musailamah mengatakan ‘Adakah aku juga utusan Allah’? Lantas dengan sinis Habib menjawab “Telinga aku pekak sehinggakan tidak mendengar apa yang engkau katakan”. Maka kemarahan Musailamah bertambah dan diarahkan pengawal yang menjaga untuk memotong anggota badan Habib. Lalu dipotong pergelangan tangannya lantas jatuh ke bumi. Lalu ditanya perkara yang sama, dan beliau menjawab perkara yang sama. Lalu dipotong pula pergelangan tangannya yang sebelah lagi. Pertanyaan tersebut berulang dan setiap kali itu jugalah, jawapan Habib tetap sama. Maka, setiap kali Habib menjawab, maka dipotong anggota badannya sehingga dikatakan dipotong kedua-dua belah tangannya sehingga ke paras bahu. Setelah itu, dipotong juga kakinya sehingga ke paras lutut dan akhirnya Habib menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan tidak ada satupun daripada belahan pedang yang mampu memisahkan dirinya daripada beriman kepada Allah SWT. Begitulah benarnya tahap keimanan para sahabat yang benar-benar mengakui bahawa Allah adalah tuhan Yang Esa dan Muhammad itu pesuruh-Nya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Mac 2017
Scroll to Top