Gangguan bekalan air tidak berjadual di Selangor

KUALA LUMPUR, 2 April: Gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang hari ini berikutan penutupan dua Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi kerana pencemaran.

Menurut kenyataan media Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) di sini hari ini, penutupan kedua-dua loji itu ekoran pencemaran sumber air mentah di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

“Pemulihan bekalan air secara berperingkat bagi kawasan yang terjejas di wilayah Petaling, Kuala Langat dan Sepang dijangka mengambil masa selama tiga hari selepas bekalan air disalurkan semula oleh loji rawatan air berkenaan.

“Manakala bagi kawasan Hulu Langat, pemulihan bekalan air secara berperingkat dijangka mengambil masa lebih lama,” menurut kenyataan itu.

Menurut SYABAS, berikutan penutupan LRA Bukit Tampoi, sebanyak 11,863 pintu rumah di 19 kawasan di Kuala Langat dan 250 pintu rumah di Sepang dijangka mengalami terputus bekalan air dan tekanan air rendah.

“Penutupan operasi LRA Sungai Semenyih dijangka menyebabkan sebahagian pengguna mengalami terputus bekalan air dan tekanan air rendah iaitu di wilayah Petaling sebanyak 61 kawasan (143,098 pintu rumah); Hulu Langat sebanyak 209 kawasan (143,413 pintu rumah); Kuala Langat sebanyak 47 kawasan (47,147 pintu rumah) manakala Sepang sebanyak 85 kawasan (61,469 pintu rumah),” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, SYABAS menyatakan kerja pembaikan paip jenis Mild Steel (MS) bergaris pusat 600mm yang pecah/patah di Bandar Puteri Puchong awal pagi Ahad lepas telah siap dibaiki sepenuhnya tengah hari ini.

“Bagaimanapun, bekalan air ke kawasan Bandar Puteri Puchong yang melibatkan 8,026 pintu rumah yang terjejas sejak kejadian paip pecah/patah ini masih belum dapat dipulihkan kerana LRA Sungai Semenyih yang membekalkan air ke kawasan ini kini telah ditutup sementara pada 9 pagi tadi ekoran pencemaran sumber air.

“Bekalan air kepada pengguna di kawasan terjejas hanya dapat disalurkan semula apabila bekalan air daripada loji tersebut kembali pulih,” katanya.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai gangguan bekalan air dengan memuat turun aplikasi telefon mudah alih mySYABAS dan laman web SYABAS atau daripada Pusat Panggilan Syabas (PUSPEL) di talian bebas tol 1-800-88-5252.

Sumber BERNAMA

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm