Faktor Kemunduran Umat Islam

SEORANG tokoh sarjana Islam terkemuka di dunia, Sheikh Hamza Yusuf Hanson yang juga merupakan Pengasas-Presiden kepada Kolej Zaytuna di Amerika Syarikat menulis kemelut yang melanda umat Islam hari ini hingga menjadikan mereka mundur dan ketinggalan boleh disimpulkan kepada lima perkara utama. Dalam rancangan Tarbiyah di radio IKIMfm yang bersiaran pada hari Jumaat lalu jam 10 pagi, saya telah membincangkan secara ringkas kelima-lima perkara tersebut berdasarkan buku beliau berjudul “Agenda to Change: Our Condition”.  Kelima-lima faktor tersebut ialah pendidikan, pemakanan, gaya hidup, kekeluargaan dan perpaduan.

Apabila penjajah menjajah negara-negara umat Islam perkara pertama sekali yang dilakukan mereka ialah meminda sistem pendidikan negara tersebut daripada negara yang asalnya bersifat ketuhanan kepada sistem pendidikan yang bersifat sekular dan keduniaan. Sistem yang mengejar kepada kerjaya yang menjanjikan pendapatan yang lumayan. Berbeza dengan sistem pendidikan Islam, umat Islam diperintahkan menuntut ilmu kerana utamanya ialah demi untuk menjadi hamba Allah yang soleh, manakala untuk memakmurkan dunia pula merupakan perkara kedua. Ini sepertimana yang disebutkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Dzariyat ayat 56: “ tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaku”. Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas turut menjelaskan bahawa tujuan pendidikan dalam Islam ialah “bagi melahirkan insan yang baik”. Oleh kerana itulah, ulama-ulama Islam sejak beratus tahun menggariskan dengan jelas martabat ilmu dan tujuan pendidikan. Kepentingan ilmu tidak sama antara satu sama lain dan ilmu yang paling utama sekali sepertimana disebutkan oleh Imam al-Ghazali RA dalam kitab Ihya Ulumiddinnya dikategorikan sebagai  “ilmu fardu ain” iaitu ilmu yang berkaitan dengan mengenal Allah SWT dan menjalani hidup sebagai insan soleh. Termasuk dalam kategori ilmu ini ialah ilmu aqidah atau tauhid, ilmu fekah dan tasawuf. Manakala ilmu-ilmu selain daripada ketiga ilmu ini dikelaskan sebagai “ilmu fardu kifayah”. Namun itu tidak bermakna ilmu fardu ain itu statik dan terhad kepada tiga disiplin ilmu itu sahaja, ia bersifat dinamik bergantung kepada individu dan kemampuan yang ada padanya dan keperluan masyarakat semasa pada ketika  itu. Namun malangnya hari ini sistem pendidikan di negara-negara umat Islam lebih menekankan kepada sains dan teknologi sehingga mengabaikan penerapan aqidah dan nilai-nilai agama ketika masih kecil. Apabila sistem pendidikan berjaya dirosakkan, maka ia akan membawa kepada kerosakan total  dalam segenap aspek dalam masyarakat Islam satu persatu kerana masyarakat sudah keliru dan tidak mempunyai pandangan hidup Islam yang jelas.

Manakala dari segi pemakanan pula, umat Islam semakin terikut dengan budaya Barat dan gemar memakan makanan segera dan makanan yang disediakan di luar rumah sedangkan makanan yang berkat dan dijamin kebersihan ialah yang disediakan oleh tangan isteri sendiri di rumah dengan penuh kasih sayang. Makanan bukan sahaja memadai halal tetapi perlu juga bersih dan baik (halalan toyyiban), dan penyediaan makanan oleh orang luar untuk tujuan perniagaan tidak dapat dipastikan kebersihan dan kualitinya walaupun mungkin halal, lebih-lebih lagi apabila disediakan oleh orang bukan Islam. Sheikh Hamzah turut menyebut bahawa makanan yang disediakan untuk tujuan komersil hari ini tidak ubah seperti makanan untuk anjing dan kucing yang tiada kandungan vitamin dan khasiat. Umat Islam perlu insaf bahaw makanan akan membentuk darah daging dan makanan juga akan menjadikan seseorang itu cenderung ke arah ketaatan atau kepada maksiat. Makanan juga boleh menyebabkan doa seseorang itu ditolak oleh Allah SWT sepertimana sebuah hadith yang  panjang antara lain menyebut bagaimana mungkin Allah memakbulkan doa seorang hamba sedangkan sumber makanannya adalah dari sumber haram.  

Dari segi pemakaian pula, umat Islam hari ini terikut dengan gaya dan trend masakini dan tidak lagi berpakaian sepertimana anjuran Islam iaitu berpakaian takwa dan berjalan di atas mukabumi dengan penuh merendah diri sepertimana perintah Allah SWT mafhumnya:  “janganlah kamu berjalan di atas mukabumi ini dengan sombong” (Surah al-Isra’ ayat 37). Seorang sasterawan Amerika Syarikat, Ezra Pound telah menyebut bagaimana beliau merasa hairan kuasa apakah yang membuatkan tiba-tiba dunia Arab Islam  bangkit pada kurun ketujuh dan melebar empayarnya hingga menubuhkan beribu masjid di Cordoba Sepanyol? Beliau mendapat jawapan itu apabil melawat Tangier pada 1913 dan melibat bagaimana umat Islam berpakaian dan berjalan serta gaya hidup mereka yang penuh merendah diri dan memikat setiap mata yang memandang.  Malangnya hari ini semakin ramai kalangan umat Islam berpakaian dengan pakaian yang mempamerkan kesombongan dan keanguhan  yang diimport dari Barat, yang  turut dihiasi dengan rantai dan gelang emas yang tidak sepatutnya dipakai oleh kaum lelaki.

Dari segi kekeluargaan pula, umat Islam membenarkan teknologi hari ini menggangu dan merosakan kehidupan seharian mereka di rumah. Jika dahulukala, rumah-rumah dihiasi dengan bacaan al-Qur’an, Zikir, Qasidah dan majlis-majlis ilmu namun hari ini dipenuhi dengan filem-filem yang melalaikan dan menjauhkan daripada ajaran Islam.  Perana media sosial turut merosakkan hubungan kekeluargaan bahkan ada pasangan suami isteri yang bercerai kerana gara-garanya.

Akhir sekali umat Islam berpecah-belah dalam serba serbi, samada dari sudut politik, ekonomi, pendidikan mahupun dakwah. Label-melabel dan tuduh menuduh sesama Islam menjadi lumrah harian. Tiada lagi kasih sayang sesama saudara seagama dan meninggalkan anjuran perintah Nabi SAW “tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga kamu kasihkan saudara kamu seperti mana kamu kasihkan dirimu sendiri” (HR Bukhari).

Untuk umat Islam kembali gemilang, maka kelima-lima perkara ini perlu diperbetulkan dan diubah kerana selama mana umat Islam tidka berubah, maka selama itu Allah SWT tidak akan menurunkan bantuan dan kemenangan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 Mei 2017
Scroll to Top