Erti Sebenar Sebuah Perkahwinan

HIDUP berpasangan adalah fitrah semuala jadi alam dan setiap sesuatu itu ada pasangannya, umpama siang malam, pasang surut dan sebagainya lagi. Begitulah juga halnya dengan manusia. Perkahwinan adalah institusi yang menemukan pasangan dan rakan kongsi hidup yang sehati dan sejiwa untuk sama-sama mengharungi segala suka dan duka erti kehidupan.

Perkahwinan juga perlu untuk tujuan memperluaskan lagi hubungan kekeluargaan diantara keluarga lelaki dan perempuan. Dengan perkahwinan, ia  juga mampu mengembangkan lagi masyarakat dengan zuriat dan keturunan yang soleh. Islam turut memberi panduan bagi golongan muda yang ingin berkahwin dengan niat menjaga diri daripada dosa dan maksiat, tetapi khuatir rezekinya sama ada mencukupi atau tidak untuk menanggung keluarga. Dalam hal ini, sekiranya usaha mencari rezeki dijalankan dengan tersusun selepasnya, yakinlah bahawa rezeki akan dimudahkan melalui perkahwinan itu. Ia dinyatakan dalam firman Allah  SWT yang bermaksud: \”Dan kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka daripada rezeki-Nya. dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui.\” (Surah al-Nur, ayat 32) Namun begitu, sekiranya seseorang belum mempunyai kemampuan dan persediaan menempuh kehidupan berkeluarga, maka hendaklah berusaha menahan hawa nafsu dengan sebaiknya.

Menerusi rancangan Pesona D’ Zahra yang  disiarkan di IKIMfm pada Isnin jam 10.15 pagi, Ustaz Muhammad bin Abdullah Al-Amin menyatakan bahawa Allah SWT menyuruh umat Islam agar memandang erti sebenar perkahwinan dari pelbagai sudut. Perkahwinan adalah penyatuan dua jiwa, yang mana Allah SWT menemukan dua insan yang mempunyai hati yang berlainan, ditautkan dalam satu ikatan pernikahan supaya kedua jiwa tadi menikmati rahmat dan ketenangan dalam berkongsi kehidupan berumahtangga yang dipenuhi cinta serta kasih sayang. Dalam proses perkahwinan, Islam  menitikberatkan soal persamaan taraf, iaitu kufu dan pasangan yang sesuai, mencakupi keagamaan, keturunan, pendidikan, harta, kecantikan dan sebagainya. Persoalan sekufu adalah satu perkara yang agak penting kerana kalau  pasangan tidak sekufu ia boleh menyebabkan perceraian. Seterusnya berkahwin bukan sahaja menyatukan dua hati, dua cinta tetapi mengeratkan hubungan silaturahim antara dua keluarga iaitu keluarga pihak suami dan isteri yang berkahwin itu serta membawa pada asimilasi dua cara hidup dan budaya dari pasangan berkenaan. Oleh itu, dalam hal ini, misalnya selepas berkahwin, pengantin digalakkan menziarahi ahli keluarga kedua-dua belah pihak untuk saling mengenali saudara mara jauh dan dekat. Selain itu, ziarahlah ahli keluarga jika ada masa dan bukan hanya waktu keramaian seperti hari raya. Pasangan juga mesti adil dalam mengeratkan silaturahim dengan ahli keluarga kedua-dua pasangan.

Bak kata orang, cinta itu buta. Namun, kata-kata itu biasanya sering diucapkan ketika pasangan kekasih dilamun perasaan cinta. Apabila sudah berkahwin, realitinya pasangan berkenaan perlu membuka mata mereka. Justeru, menurut Muhammad setiap pasangan yang berkahwin perlu menerima hakikat bahawa akan  wujudnya  perubahan dari  aspek emosi dan fizikal  antara  satu sama lain ketika melayari bahtera rumahatngga. Sehubungan itu, ia menuntut pasangan untuk  mempunyai kefahaman yang tinggi terhadap  ilmu rumahtangga.  Kehidupan tidak selalu indah dan begitu jugalah perjalanan alam perkahwinan. Ada ketikanya diuji dengan pelbagai cabaran  sehingga   boleh menyebabkan hubungan menjadi hambar , lesu dan tegang. Namun begitu, pergaduhan antara suami isteri merupakan situasi yang tidak dapat dielakkan. Apabila ianya berlaku, pasangan suami isteri tersebut dinasihatkan untuk menjaga batas-batas tertentu. Komunikasi yang baik dan berterusan antara suami isteri adalah elemen paling penting bagi mengekalkan keutuhan rumahtangga yang dibina dengan cinta dan kasih sayang.

Selain itu, setiap pasangan yang berkahwin juga perlu fahami bahawa perkahwinan boleh berlaku penghujung. Dalam erti kata lain, mahligai yang dibina adakalanya diakhiri dengan percerian.  Kegagalan rumah tangga atau bercerai tidak selalunya  negatif. Seringkali kegagalan itu membawa kebaikan dan manfaat kepada pasangan. Cumanya  sebagai hamba, kita gagal mengetahui apa yang terbaik untuk diri sendiri. ALLAH SWT berfirman “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; ALLAH lebih mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”. (Surah al-Baqarah, ayat 216). Sikap terbaik ketika menghadapi perceraian ialah sentiasa berfikiran positif dan optimis bahawa kemungkinan kegagalan ini adalah satu peluang untuk dirinya.  Sabar adalah penting dalam hidup berumah tangga sama pada dengan diri sendiri mahupun pasangan. Bagi yang baru berkahwin apatah lagi kerana segala yang baru memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Malah, perkahwinan itu sendiri membawa sesuatu yang perubahan baru dalam hubungan dibina.“

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 April 2017
Scroll to Top