Drama Khas Ramadan “Sesuci Tautan Ramadan” Terbitan IKIMfm

Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) akan menerbitkan Drama Khas Ramadan bersempena dengan ketibaan bulan Ramadan yang mulia pada tahun 1438/2017 ini. Drama ini mendapat penajaan daripada Muslim Care Malaysia.

Tahun ini merupakan tahun kelima IKIMfm menerbitkan Drama Khas Ramadan yang telah mendapat sambutan yang amat baik di kalangan para pendengar radio IKIMfm sepanjang penerbitannya. Pada tahun lepas 2016, Drama Khas Ramadan berjudul “Seindah Langit Ramadan”, IKIMfm telah memenangi Anugerah Sri Angkasa untuk kategori Pelakon Drama Radio Terbaik yang dibawakan oleh Fizz Fairuz.

Rancangan Drama Khas Ramadan “Sesuci Tautan Ramadan” yang skripnya ditulis oleh penulis skrip drama TV berpengalaman iaitu Puan Sharifah Faneeza Sayed Yeop ini akan disiarkan sebanyak 20 episod bermula 29 Mei hingga 23 Jun 2017, setiap Isnin hingga Jumaat jam 4.15 petang.  Ia diterbitkan oleh Puan Hajjah Nik Hasnah Ismail.

Dengan tajuk ‘Sesuci Tautan Ramadan’, drama bersiri ini mengangkat tema kekeluargaan dan hubungan sejagat sesama manusia. Drama ini akan dijayakan oleh barisan pelakon profesional iaitu pelakon popular Ashraf Muslim yang memegang watak utama sebagai Amru Mirza, pelakon wanita Mardiana Alwi yang memegang watak sebagai Yasmin, dan pelakon Diana Amir sebagai Suraya, dengan turut dibantu barisan penyampai IKIMfm selaku pelakon pembantu.

Drama ini mengisahkan tentang persahabatan dua orang wanita yang berbeza latar belakang. Suraya berhasrat untuk berkahwin muda dengan seorang lelaki bernama Amru Mirza, namun mendapat bantahan keras dari sahabat karibnya Yasmin kerana menganggap lelaki tersebut bukan calon sesuai untuk perempuan sebijak dan sebaik Suraya. Walaubagaimanapun, tidak ada siapa yang boleh melawan takdir, akhirnya Suraya berkahwin juga dengan Amru Mirza. Namun, jodoh mereka tidak panjang kerana sikap tidak bertanggungjawab Amru Mirza menyebabkan mereka bercerai. Menyedari tentang kesilapan yang pernah dilakukan, Amru Mirza bertekad untuk berubah menjadi lelaki yang lebih baik demi anaknya bersama Suraya, iaitu Sumayyah. Takdir telah menemukan Amru Mirza dengan Yasmin yang menjadi ‘ibu angkat’ kepada anaknya yang ditinggalkan Suraya kerana mahu menyambung pelajaran dan cita-citanya di luar negara. Konflik berlaku antara mereka bertiga apabila Sumayyah menjadi taruhan ketika masing-masing mengejar  untuk membina kebahagiaan. Ikuti sejauh mana persahabatan mereka diuji dalam konflik ini.

1462total visits,1visits today

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa dan juga Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 13 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm