Doa Ahli Syurga Semasa Dihias & Dipakaikan

KITA sering merasa dukacita atas apa yang berlaku pada diri kita di dunia hari ini. Terlalu letih sehingga kita merasakan kita perlukan rehat yang secukupnya.  Allah SWT menceritakan apakah dialog ahli-ahli syurga apabila mereka dipakaikan dengan perhiasan yang indah dan dicabut segala rasa bimbang, dukacita dan letih. Tiga ayat di dalam Surah Faatir sepatutnya menjadi motivasi buat kita di dunia yang sentiasa letih, lesu dan dukacita untuk meraih syurga Allah yang kekal selamanya.

Menerusi ayat al-Quran, di dalam Surah Faatir, ayat 33-35 yang bermaksud : Balasan mereka ialah) Syurga – syurga \” Adn \”, yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera.

Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: \”Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat);

Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal, dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan Kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu\”.

Menerusi segmen Ibrah minggu lalu yang bersiaran pada setiap Isnin, 5.15 petang di IKIMfm, Ustaz Muhammad Syaari Ab. Rahman berkongsi kisah di sebalik ayat ini.

Apabila kita berada di syurga dan sebaik sahaja kita memasukinya, kita akan dihadiahkan dengan perhiasan-perhiasan dan pakaian yang serba indah. Penghuni syurga akan dipakaikan dengan emas dan pakaian daripada sutera.

Saat dipakaikan dengan perhiasan serba indah ini, bukan ucapan terima kasih atas perhiasan ini yang meniti di bibir setiap ahli syurga. Bahkan ketika mereka dihias, akan dicabut daripada mereka perasaan dukacita yang dulunya di dunia menjadi beban perasaan mereka. Allah SWT juga mencabut rasa letih dan lesu daripada mereka saat diperindahkan diri mereka dengan perhiasan syurga. Dikongsikan oleh Ustaz Syaari, setiap perkara fizikal yang berlaku di syurga dapat merawat emosi mereka.

Segala yang indah berlaku di syurga. Tidak ada ruang untuk ahli syurga merintih kepenatan kerana mereka terlalu sibuk menikmati segala keindahan yang terdapat di syurga. Allah SWT mematikan segala sifat penat dan kemahuan mereka kepada tidur. Apabila kita berasa penat di dunia, kita perlukan rehat dan sekiranya terlalu letih seharian dengan aktiviti di dunia, kita juga perlukan tidur yang secukupnya. Hal ini tidak akan berlaku ketika kita di syurga. Allah SWT mahu kita merasai segala nikmat di syurga, dan kita tidak akan tidur walaupun sesaat.

Menurut mufassir terkenal Imam Fakhrul Razi dalam Tafsir ar-Razi menyebut, tiada senggang masa Allah SWT memakaikan perhiasan yang indah kepada ahli syurga. Saat melangkah masuk ke syurga, mereka terus dihiasi dengan segala keindahan dengan gelang daripada emas dan mutiara serta pakaian sutera.

Persoalannya, mengapa gelang emas yang kita akan peroleh ketika di syurga? Ar-Razi turut mentafsirkan, gelang adalah pehiasan tangan dan beliau menceritakan simboliknya. Ketika di dunia, kita perlu sentiasa sibukkan tangan kita melakukan kerja-kerja kebaikan dan nanti ketika di syurga tangan-tangan yang sentiasa sibuk dengan kerja kebaikan itu akan dipakaikan dengan gelang emas dan bertatahkan mutiara.

Apabila tangan kita dihiasi dengan perhiasan serba indah, sudah semestinya kita tidak akan melakukan sebarang kerja kerana risau kecantikan perhiasan itu akan terjejas. Begitulah keadaan ketika di syurga, kita tidak akan melakukan kerja lagi kerana kita hanya perlu menikmati segala keindahan itu. Tangan yang sama ketika di dunia telah melakukan kerja. Inilah hikmah Allah SWT memakaikan perhiasan gelang emas dan mutiara kepada ahli syurga.

Allah SWT menggambarkan sifat ahli syurga, mereka tidak sekali-kali melupakan Allah SWT. Mereka melafazkan Alhamdulillah ketika dipakaikan pakaian sutera daripada Allah SWT. Mereka bukan bersyukur kepada Allah atas nikmat pakaian itu, sebaliknya lafaz Alhamdulillah mereka ialah mereka dapat merasakan apabila dipakaikan dengan pakaian sutera dan gelang emas, mereka tidak lagi rasa letih, dukacita dan bimbang.

Mereka tidak perlu bimbang bagaimana rupa mereka ketika di syurga kerana Allah cantikkan mereka. Begitu juga mereka tidak perlu bimbang akan sihat atau tidak serta tidak bimbang mereka akan berada di syurga lama atau tidak kerana mereka di syurga selama-lamanya.

Kata para ulama, mereka melafazkan ucapan Alhamdulillah dan menyebut, dahulu di dunia Allah SWT telah mengampunkan dosa-dosa mereka dan Allah SWT telah membalas segala apa yang mereka lakukan ketika di dunia. Ahli syurga suka bersembang dengan ahli-ahli syurga yang lain serta bersembang dengan Allah SWT kerana mereka suka dengan apa yang Allah SWT kurniakan kepada mereka.

Apabila seseorang itu telah sampai di syurga, meraka akan berkata “terima kasih Ya Allah, kami telah sampai di syurga, penamat segala kepenatan dan dukacita”. Mereka turut berkata “kami masuk ke syurga bukan kerana amalan-amalan kami yang tidak seberapa, bahkan kami memasukinya hanya dengan rahmat dan kelebihan yang Allah SWT beri. Amalan-amalan kami adalah asbab kami mendapat rahmat daripada Allah SWT untuk meraih syurga-Nya yang kekal selamanya”.  Tiada lagi rasa penat dan tiada lagi keinginan untuk tidur apabila kita berada di syurga Allah SWT kerana kita telah dapat apa yang kita ingini. Jadikanlah kesibukan dan kepenatan sementara kita di dunia dalam melakukan kebaikan untuk kita dapat berehat selamanya ketika di syurga yang kekal selamanya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 Mac 2016
\"2016-03-01\"
Scroll to Top