Di Sana Menanti Di Sini Mengharap

SYURGA menanti penghuninya sambil berkata-kata, “Aku untuk mereka yang beriman yang bertakwa”. Sebagaimana yang terkandung di dalam Surah al-Waqiah, ayat 20-30: “Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini. Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya, Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya, (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan. Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; -Mereka hanya mendengar ucapan: “Selamat! Selamat!” (dari satu kepada yang lain). Dan puak kanan, – alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu? Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, Dan naungan yang tetap terbentang…”

Riwayat daripada Imam Abu Laith menyatakan bahawa di dalam syurga, apabila hati terdetik sahaja untuk memakan apa sahaja jenis burung, maka burung itu akan datang menghadap penghuni syurga yang berhajat itu dalam keadaan sedia untuk dimakan. Menerusi slot Mau’izati di IKIMfm bersama Ustaz Mohd. Meeftah Anuar, beliau menceritakan di dalam syurga para penghuninya hanya mengucapkan perkataan yang indah-indah dan baik-baik sahaja. Sebagai panduan kepada mereka yang ingin memiliki sebuah keluarga yang bahagia agar menjauhi perkataan-perkataan yang tidak baik atau caci-maki kerana sebuah rumah yang bercirikan syurga akan hanya menuturkan kata-kata yang baik, malah ia juga dapat diparktikkan di tempat kerja agar dapat berkerja di dalam keadaan harmoni.

Keindahan di syurga digambarkan di dalam firman Allah selanjutnya di dalam Surah al-Waqiah, ayat 31-34: “Dan air yang sentiasa mengalir, serta buah-buahan yang banyak. Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya. Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.” Ketenangan bagi penghuni syurga di dalam keadaan sungai yang mengalir di bawahnya. Di dalam kehidupan seharian manusia, bunyi-bunyian seperti air, kicauan burung mendatangkan ketenangan kerana pada hakikatnya ia berzikir memuji kebesaran Allah SWT. Buah-buahan yang terdapat di dalam syurga tidak pernah habis bekalannya, malah tidak ada yang memudaratkan manusia.  Di dalam kupasan tafsir Ibn Kathir dan tafsir Ibn Abbas, menyatakan katil atau tilam di syurga itu kedudukannya tinggi, malah para ulama berpandangan bahawa ketinggian yang dimaksudkan juga dari segi nilaiannya. Yakinlah apabila manusia taat kepada Allah ketika hidup di dunia dan melakukan kebaikan di atas muka bumi ini, pasti akan diganjari di Hari Akhirat kelak. Ganjaran syurga ini adalah perkara yang menanti manusia yang beriman dan bertakwa.

Imam Abu Laith al-Samarkandi menyatakan sesiapa yang ingin mendapat ganjaran syurga perlu melakukan lima perkara. Perkara pertama ialah perlu menahan diri daripada melakukan maksiat. Istilah ‘tahan’ digunakan kerana perkara itu sentiasa datang dan memaksa manusia untuk mempertahankan prinsipnya walaupun sering kali diasak oleh ajakan dan pelawaan melakukan maksiat dari pelbagai arah. Allah menjanjikan mereka yang menahan nafsu daripada maksiat, maka akan diganjari syurga. Perkara kedua ialah perlunya qanaah, atau rasa cukup di atas segala yang dikurniakan oleh Allah. Merasa cukup bukan bererti malas berusaha, tetapi sebaliknya redha dengan nikmat yang dikurniakan setelah berusaha bersungguh-sungguh beserta ikhtiar untuk melakukan sesuatu perkara.

Selain itu, untuk mengharapkan ganjaran syurga setiap manusia harus mencintai dan bergaul dengan orang-orang yang salih serta mengharapkan syafaat mereka. Dekatilah alim ulama, para guru serta santuni mereka, namun jangan sekali-kali mencerca golongan ini. Malah perbanyakkan juga bersahabat dengan mereka yang baik-baik kerana setiap kawan itu akan ada syafaat daripada mereka di Hari Akhirat nanti.

Seterusnya perbanyakkan doa dengan penuh penghayatan terutamanya selepas mendirikan solat untuk memohon agar terpilih memasuki syurga Allah. Ulama juga berpesan agar memohon supaya dilepaskan daripada azab neraka bukan hanya di Akhirat sahaja, malah dengan harapan agar dijauhkan daripada melakukan sifat dan perbuatan ahli  neraka ketika menjalani kehidupan di dunia termasuklah perbuatan mengadu domba, makan daripada rezeki yang haram, berzina, pecah amanah dan lain-lain. Apa yang berlaku ketika ini, manusia tidak pernah meminta atau berusaha walaupun berharap ganjaran syurga Allah.

Manusia perlu sentiasa berusaha untuk memiliki sifat-sifat ahli syurga, selain mempunyai ciri orang mukmin yang berjaya di dunia dan akhirat. Di antara sifat ahli syurga ialah mendirikan solat dengan penuh khusyuk, bukan sekadar menjaga solatnya pada awal waktu tanpa culas. Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai ujian untuk beroleh kekhusyukan dan ia bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan, namun jika dilalui dengan tabah sudah tentu  ganjarannya juga tinggi nilainya. Sentiasalah menimba ilmu untuk mencari kekhusyukan, menghadirkan hati dan memahami bacaan di dalam solat.

Meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan juga adalah di antara sifat ahli syurga. Namun cabaran bagi umat Islam di ketika ini ialah melakukan perkara yang lagha tanpa disedari melalui media sosial dan teknologi moden sehingga terabainya amalan lain seperti membaca al-Quran, kurang berselawat kepada nabi, kurang menghadiri majlis-majlis ilmu yang bermanfaat dan lain-lain. Manusia juga seharusnya menyedari, terdapat pelbagai halangan yang perlu dihadapi sebelum melayakkan diri terpilih untuk menjadi penghuni syurga. Bukan hanya nafsu yang menjadi musuh manusia yang sentiasa mengajak kepada kejahatan, tetapi juga syaitan yang mengajak kepada kefakiran. Begitu juga qarin yang mengarah manusia melakukan pelbagai perkara, jin-jin yang melata di atas muka bumi yang mengganggu dan menggoda manusia mengamalkan sihir, santau dan menyakiti manusia. Malah manusia sendiri mampu merosakkan manusia lain, sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-Naas, ayat 5-6: “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 April 2017

122total visits,1visits today

Hajah Fairuz Hj. Noordin

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Nukilan dan beberapa rancangan yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm