Berjalan ke Syurga

ALLAH SWT menjanjikan syurga kepada setiap manusia yang bertakwa, taat kepada perintah-Nya malah mengharungi perjalanan kehidupan yang dipenuhi ranjau dan ujian dengan penuh redha dan sabar. Rasulullah sendiri sering menyampaikan khabar melalui para sahabat, sebagai suntikan semangat kepada umatnya agar tidak berputus asa di dalam melakukan amalan dan mentaati perintah Allah. Syurga merupakan pengakhiran yang baik bagi perjalanan kehidupan yang panjang, oleh itu apa sahaja amalan yang dilakukan ketika hidup di dunia, ia harus mempunyai matlamat agar beroleh ganjaran syurga Allah.
Firman Allah di dalam Surah As-Sajdah, ayat 16: “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.” Sesungguhnya akan timbul kekuatan yang luar biasa di dalam kehidupan orang mukmin jika wujudnya impian dan cita-cita di dalam diri mereka setiap perkara yang dilaksanakan untuk menikmati ganjaran syurga kelak. Abdullah al-Mubarak meriwayatkan daripada Sulaiman bin Mughairah bahawa Hamid bin Hilal menyebut: “Disebut pada kami bahawa seorang lelaki apabila dimasukkan ke dalam syurga, rupanya akan diubah seperti rupa penduduk syurga, diberi pakaian syurga, dipakaikan perhiasan syurga serta diperlihatkan isteri-isteri dan pembantu-pembantunya. Kemudian akan dihinggapi kebahagiaan dan kegembiraan. Seandainya di sana ada kematian, nescaya akan matilah seseorang itu kerana sangat gembira. Kemudian dikatakan padanya, tahukah kamu bahawa kebahagiaan ini akan selalu bersama kamu sampai bila-bila”.
Abdullah bin al-Imam Ahmad meriwayatkan daripada Suwaib bin Said daripada Ali bin Masyar daripada Abdul Rahman bin Ishak, disebut bahawa al-Nukman bin Said berkata: “Kami pernah duduk bersama Saidina Ali, lalu dia membaca, “Ingatlah pada hari Allah mengumpulkan orang yang bertakwa itu kepada Allah yang Maha Pemurah, bagaikan satu rombongan yang terhormat. Tapi orang-orang yang akan dihumban ke dalam neraka, wajah-wajah mereka di dalam keadaan usang dan muram.  Tidak! Demi Allah mereka tidak dikumpulkan dengan berjalan kaki kerana utusan yang terhormat.” Ahli syurga tidak dibangkitkan pada Hari Akhirat nanti di dalam keadaan yang hina. Tiupan sangkakala yang ketiga akan ditiup di atas batu di Baitul Maqdis, dan besarnya sangkakala itu di antara bumi sehingga langit. Manusia akan bangun daripada kubur dan berjalan di atas tanah berwarna putih tanpa langit menuju ke Padang Mahsyar. Ahli syurga berjalan di dalam keadaan terhormat dan dinaikkan ke atas unta-unta yang belum pernah dilihat  oleh para makhluk sebelum ini dilengkapi dengan pelana emas, mereka bergerak melalui titian sirat sehingga ke pintu syurga.
Pernah suatu ketika Saidina Ali duduk berhampiran Rasulullah SAW, lalu beliau membaca ayat daripada Surah Maryam, ayat 85: “(Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertaqwa untuk mengadap (Allah) Ar-Rahman, dalam satu kelompok yang termulia.” Saidina Ali menyebut kepada Baginda, bahawa dia mendengar ayat itu seolah-olah ia suatu rombongan. Rasulullah berkata, “Demi zat yang jiwaku di tangan-Nya. Ketika manusia keluar daripada dalam kubur, mereka akan menghadap dan dijemput dengan unta-unta putih yang bersayap dan memiliki pelana daripada emas di atas punggungnya. Tali sandangnya adalah cahaya yang berkilau, langkahnya selebar pandangan mata. Lalu mereka akan berhenti di sebatang pohon yang akarnya memancar dua mata air. Kemudian mereka akan minum air daripada salah satu darinya, membersihkan segala kotoran yang ada di dalam perut mereka. Mereka akan mandi  dengan mata air itu sehingga wajah dan rambut mereka tidak akan kusut buat selama-lamanya. Lalu mereka akan dihadapkan ke arah suatu pemandangan yang indah dan mereka berhenti bergerak, mendatangi pintu syurga. Maka terlihat di dalam lingkaran daripada yakut berwarna merah berada di atas papan pintu daripada emas.” Mereka adalah orang-orang yang dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab dan tidak diazab oleh Allah. Golongan ini ketika meninggal dunia dahulu, tidak disoal dan diazab di dalam kubur oleh malaikat, dan menurut Rasulullah seramai 70 ribu umatnya akan masuk ke dalam syurga tanpa dihisab dan diazab Allah.  Di pintu-pintu syurga itu sudah tertulis nama-nama penghuninya dan mereka tidak langsung menerima suratan amalan.
Rasulullah SAW ketika menceritakan suasana pada Hari Kiamat, Baginda berkata: “Aku dibentangkan umat yang ramai, kemudian ketika aku sedang mencari-cari di mana umatku berada, lalu melihat ada seorang nabi yang berjalan bersama-sama tiga orang pengikut. Ada nabi yang berjalan dengan dua orang pengikut, ada seorang nabi yang tidak ada seorang pun pengikutnya. Sedang aku mencari-cari umatku, terlihat keadaan hitam dan besar dihadapanku dan menyangka itulah umatku.  Apabila aku mula berkejar untuk mendapatkan umatku, aku ditahan oleh Jibril dan disoal kenapa aku berbuat demikian. Setelah aku memberitahu bahawa aku mencari umatku, lalu Jibril berkata keadaan hitam dan besar itu bukan umatku tetapi ia adalah Nabi Musa dan kaumnya. Aku diminta untuk menoleh ke belakang dan melihat suasana kehitaman yang besar, jauh lebih ramai daripada Nabi Musa AS. Lalu diberitahu bahawa itulah umatku. Bersama dengan itu ada seramai 70 ribu orang yang akan masuk ke syurga tanpa dihisab dan tidak diazab Allah.”
Setelah berkata demikian, Baginda SAW diam seketika, menghentikan kuliahnya dan masuk ke dalam rumah. Sahabat-sahabat berbincang sesama mereka, siapakah yang bertuah sehingga digolongkan di antara 70 ribu umat Baginda itu. Perbualan sahabat-sahabat didengari Rasulullah, lalu Baginda keluar semula bertanya apakah yang sibuk dibincangkan sesama mereka. Para sahabat memohon Baginda untuk menceritakan siapakah yang tergolong di kalangan umat yang tidak dihisab dan diazab di Akhirat kelak. Rasulullah menjelaskan mereka adalah orang yang tidak pernah sepanjang hidupnya bertemu dengan bomoh untuk melakukan sihir (khianat) ke atas orang lain. Golongan kedua ialah mereka yang tidak pernah menjadikan dirinya sebagai bomoh, manakala golongan ketiga ialah mereka yang tidak mempercayai benda dan perkara khurafat. Selain itu golongan keempat yang tidak akan dihisab dan diazab pada Hari Akhirat kelak ialah manusia yang sentiasa bergantung kepada Allah SWT dan mempunyai sifat tawakal yang tinggi.
Baginda menceritakan lagi apabila golongan tersebut sampai di pintu syurga, mereka memukul lingkaran yang berada di papan pintu itu, tidak kedengaran dentingan daripada pukulan itu, namun didengari bidadari dan mengetahui bahawa suami mereka sudah tiba. Bidadari berlarian datang ke pintu syurga dan mengutuskan wali mereka untuk membukanya. Setelah melihat suami mereka, tersungkur para bidadari dan tidak sabar melihat pasangan mereka. Mereka keluar daripada khemah yang diperbuat daripada mutiara yakut lalu memeluk pasangannya dan berkata, “Engkau kekasihku dan aku mencintaimu. Aku keabadian yang tidak akan mati, aku kenikmatan yang tidak akan pernah putus, aku keredhaan yang tidak akan pernah marah dan aku tidak akan berpindah randah”. Penghuni syurga akan masuk ke dalam rumah yang jarak di antara dasar dan atapnya sejauh 100 ribu hasta. Bangunannya daripada batu permata berwarna merah, kuning dan hijau serta tidak ada jalan yang sukar kepada pemiliknya kerana dilengkapi dengan kemudahan yang sempurna. Malah di dalam rumah di syurga itu terdapat 70 isteri dan setiap isteri memakai 70 pakaian.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 Februari 2017
\"\"
Scroll to Top