Belajar Menghargai

ORANG yang menghargai orang lain akan dihargai, manakala orang yang menyayangi orang lain akan disayangi. Dua perkara berikut tidak dapat tidak perlu dipunyai oleh seseorang mukmin jika mahu dikasih Allah SWT dan disayangi makhluk di atas muka bumi ini.

Melalui rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran setiap hari Rabu, 10.30 pagi bersama panyumbang Ustaz Pahrol Mohd Juoi menjelaskan akan kasih sayang adalah satu perasaan fitrah yang dimiliki oleh setiap manusia. Manakala perasaan kasih dan sayang juga perlu dibangunkan dalam diri masing-masing agar ianya dapat disebarkan kepada seluruh manusia lain yang ada di dunia ini.

Betapa pentingnya nilai kasih sayang dalam kehidupan ini kerana melalui kasih sayang akan membina sebuah kehidupan yang saling menghormati, menghargai serta dapat melahirkan sebuah masyarakat yang aman makmur dan aman damai.

Manakala seseorang insan yang mempunyai perasaan kasih sayang dalam diri pula akan memiliki akhlak serta nilai-nilai terpuji seperti menyayangi, memaafkan, belas ehsan, menghargai dan banyak lagi nilai akhlak yang terpuji.

Kasih dan sayang boleh dibangunkan dengan cara bersyukur dengan setiap pemberian Allah SWT. Seseorang manusia yang mempunyai kelembutan hati akan dapat membina nilai kasih sayang yang tinggi di dalam diri. Manakala manusia yang keras hati kurang sifat simpati apatah lagi nilai kasih sayang dalam diri mereka.

Melalui perasaan saling menyayangi atau berkasih sayang inilah akan terbit nilai-nilai menghargai diri sendiri dan sesama sendiri. Manusia yang dalam dirinya kaya dengan rasa kasih serta sayang akan menghargai diri sendiri. Mereka yang menghargai diri pula akan sentiasa menghargai diri orang lain.

Memberi penghargaan kepada diri sendiri bukan bererti memusatkan seluruh keutamaan kehidupan untuk diri sendiri, tetapi orang yang menghargai diri sendiri adalah orang yang memberi penghargaan kepada apa sahaja yang ada disekeliling mereka.

Orang yang menghargai diri sendiri adalah orang yang mempunyai maruah diri yang tinggi. Manusia yang memiliki maruah diri yang tinggi memandang seluruh perkara dengan pandangan yang tinggi. Justeru dari nilai diri inilah mereka akan selalu cenderung melihat persekitaran dengan sudut pandang yang lebih mendasar. Oleh sebab itulah, orang yang mempunyai penghargaan diri yang tinggi akan menghormati orang lain seperti menghormati dirinya sendiri. Menyayangi makhluk lain seperti menyayangi dirinya sendiri dan menghargai orang lain seperti mana diri mahu dihargai.

Malah, mereka yang sering menyalahkan, tidak menghormati, tiada penghargaan, kedekut, kasar, pemarah dan seumpamanya adalah golongan yang kurang kasih sayang dalam diri dan dalam masa yang sama mereka yang tidak ada keyakinan diri. Begitu juga mereka yang kurang keyakinan diri adalah kerana kurang mendapat penghargaan. Cara bagi meraih penghargaan adalah dengan cara menonjolkan diri sendiri dan dalam masa yang sama memburukkan orang lain.

Hakikatnya manusia yang dalam dirinya tiada nilai penghargaan lebih bersifat mementingkan diri sendiri dan tidak melihat makhluk lain adalah sebahagian ‘diri sendiri’ yang perlu mendapat ruang yang sama.

Justeru, mengambil ikhtibar dari akhlak Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik pedoman bagi seseorang mukmin kerana baginda adalah seorang manusia yang dikurniakan kasih sayang yang amat tinggi. Baginda Rasulullah memiliki pesona diri dengan karektor yang sangat lemah lembut, tegas pada saatnya yang perlu, menyantuni orang tua dan kanak-kanak, menyayangi setiap insan bahkan juga termasuk mereka yang memusuhinya dan sempurna segalanya.

Bahkan kata-kata “menyanyi mereka yang mengasihi kita itu adalah sewajarnya, tetapi mengasihi mereka yang membenci kita adalah perkara yang luar biasa”. Namun baginda Rasulullah SAW tidak menjadikan kebencian orang sebagai jarak untuk membezakan sesama manusia kerana nilai kasih sayang yang tinggi dalam diri baginda serta sifat menghargai terus memekarkan ukhwah dan nilai dakwah sehingga kasih sayang itu jugalah menjadi satu bentuk dakwah yang menjemput orang-orang kafir mengucap kalimah syahadah.

Hakikatnya manusia yang tidak ada nilai menghargai sukar untuk mengecap nikmat bahagia. Orang yang tiada kasih sayang hatinya sempit dengan terisi rasa benci dan dendam. Kebahagiaan tidak akan menjadi milik orang-orang yang hidupnya sempit dengan rasa kecewa, suka merungut atau apa sahaja perasaan dan perbuatan yang membuahkan hasil yang negative.

Sebab itulah mereka yang kurang menghargai, tidak akan dihargai, dan mereka yang tidak dihargai tidak akan meraih kejayaan dalam kehidupan mereka. Orang-orang sebegini hanya melihat kehidupan dari sudut pandang yang sempit. Justeru akan lebih dekat terlibat dengan perbuatan yang membawa dosa seperti suka menyakiti orang lain, menipu, cepat melihat sesuatu perkara dengan pandangan yang negatif dari sudut positif dan selalu merasa tidak berpuas hati walaupun dikurniakan nikmat dan kebaikan.

Oleh itu, tanamlah nilai kasih sayang yang tinggi dalam diri melalui ketaqwaan kepada Allah SWT agar dengan mendekatkan diri kepadaNya akan terbina satu ikatan kasih sayang yang kuat sesama makhluk. Dengan ketaqwaan kepada Allah akan menjadikan seseorang mukmin mencapai tingkatan tertinggi di sisinya dan dikasih sesama insan di atas muka bumi ini seterusnya menjadi manusia kamil yang akan menjadi penghuni syurga Allah SWT di kampung akhirat nanti.

Sebagaimana firman Allah SWT melalui surah Al- Imran ayat 15 yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): \”Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah\”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 Mac 2016
\"2016-03-23\"
Scroll to Top