Bakal Jemaah Haji Raikanlah Silaturahim

FIRMAN Allah SWT: “Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa untuk sampai ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Surah Al-Imran, ayat 97)

Menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan fardhu haji di tanah suci Makkah adalah impian umat Islam yang beriman kepada Allah tidak kita sama ada yang berkemampuan ataupun mereka yang tidak berkemampuan.

Menerusi rancangan Tarbiah, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang menyatakan bahawa seseorang muslim yang bakal menunaikan ibadah haji hendaklah mengambil kesempatan dan peluang itu dengan sebaik mungkin dengan beribadat dan menanam ketaatan kepada segala suruhan  Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Ini kerana menurut beliau, bukan semua umat Islam yang menanam impian menunaikan fardhu haji dapat melaksanakannya dengan mudah kerana setiap negara diberikan kuota tertentu dan jemaah yang akan melaksanakan ibadah haji adalah terhad serta perlu mengikut kadar jumlah yang telah ditentukan oleh pihak kerajaan masing-masing.

Oleh yang demikian, mereka yang telah terpilih untuk menjalani rukun Islam yang kelima itu dinasihati agar tidak sesekali mensia-siakan peluang tersebut dengan leka dan lalai dalam melengkapkan diri dengan amal ibadah sebelum menjadi tetamu Allah di Makkah dan Madinah.

Kerugian terbesar bagi seseorang muslim yang bakal menjadi dhuyufurahman (tetamu Allah) adalah mereka yang masih lalai dengan amal perbuatan yang menjauhkan mereka dari mendapat rahmat Allah SWT. Antaranya seperti masih lagi bergelombang dengan perbuatan maksiat, melakukan perkara-perkara yang mendapat kemurkaan Allah SWT seperti mengumpat, bertelingkah sesama muslim, mengadu domba, tidak menunaikan solat ataupun perkara-perkara maksiat yang lain yang mengundang kemarahan Allah SWT.

Ini kerana sebagaimana yang disebut dalam sepotong hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda bahawa pada akhir zaman terdapat pelbagai jenis manusia yang menunaikan haji atas pelbagai tujuan. Barangkali ada sesetengah mereka yang bakal menjadi tetamu Allah di Makkah atas urusan untuk bertugas, menemani ahli keluarga (warga emas) yang terpilih untuk menunaikan haji dan sebagainya. Walau apapun tujuannya, mereka harus ingat bahawa kedatangan mereka ke rumah Allah adalah sebagai tetamu dan menjalani ibadah haji adalah kemuncak ibadat yang peluangnya tidak datang kepada semua manusia.

Apatah lagi umat Islam yang bertahun-tahun menyimpan impian untuk ke Makkah bagi mengerjakan ibadah haji hendaklah mempersiapkan diri dengan menyucikan hati dan diri dengan sentiasa meningkatkan amalan-amalan yang mendekatkan diri dengan Allah sehingga mendapat kurniakan haji mabrur sebagaimana terdapat dalam sepotong hadis yang bermaksud “Dan tidak ada ganjaran lain bagi haji mabrur (haji yang baik) selain syurga”. (HR. Bukhari)

Oleh itu, umat Islam yang bakal menjadi tetamu Allah hendaklah mempersiapkan diri selengkapnya dengan kualiti amal ibadah seperti membersihkan diri dengan menunaikan solat taubat, memohon keampunan daripada Allah SWT, bermaaf-maafan sesama manusia, menyelesaikan hutang piutang yang ada dan melaksanakan apa juga tuntutan yang dianjurkan oleh agama.

Allah SWT berfirman menerusi surah al-Hajj yang bermaksud “Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada-Mu dengan berjalan kaki, atau mengenderai setiap unta yang kurus, mereka datang dari segenap penjuru yang jauh agar mereka menyaksikan berbagai-bagai manfaat untuk mereka dan agar mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari (hari raya haji dan tasyrik) yang telah ditentukan.” (Surah Hajj, 27-28)

Perjalanan ibadah haji bukan perjalanan fizikal semata-mata, walaupun badan dan fizikal kelihatan sihat tetapi jika perasaan atau kerohanian yang tidak sempurna tidak akan membawa seseorang itu untuk mencari nilai taqwa kepada Allah SWT. Justeru seseorang umat Islam yang bakal menunaikan ibadah haji harus memastikan kerohaniannya sempurna dengan membetulkan niat iaitu menunaikan fardhu haji adalah kerana ketaatan di sisi Allah SWT.

Ibadah haji itu sendiri mempunyai hukum, rukun dan tertib, begitulah simboliknya mereka yang bakal menunaikan fardhu haji hendaklah sentiasa memelihara akhlak, tutur kata, amalan perbuatan dan hubungan yang baik sesama manusia dan sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT.

Bakal jemaah haji amatlah dituntut untuk menjaga keperibadian diri, memelihara perhubungan sesama manusia, memperolehi pendapatan dari sumber yang halal dan melakukan perkara-perkara baik kerana bimbang ibadah haji yang akan dilaksanakan nanti menemui kesulitan disebabkan oleh diri yang masih terpalit dengan dosa dengan manusia dan menyebabkan amalan yang dilakukan tidak diterima oleh Allah SWT.

Bakal jemaah haji hendaklah sentiasa bermuhasabah diri terhadap khilaf yang dosa, memastikan silaturahim sesama muslim terpelihara dan memperbaiki diri dari segala kekurangan dan kesilapan. Pembawaan diri yang baik, hati yang bersih dan jiwa yang tawaduk terhadap AllahSWT dengan seikhlasnya untuk mendapat keredaan dan doa  agar diraikan oleh Allah SWT di tanah suci Makkah nanti.

Semoga kesedaran kita akan peri pentingnya membersihkan diri dari noda dan dosa, memperbaiki ibadat kepada Allah, akan mengganjari kita dengan haji yang mabrur dan menempatkan kita di syurgaNya.

Rasulullah SAW bersabda: “Daripada satu umrah ke umrah berikutnya adalah penghapus semua kesalahan serta dosa yang berlaku antara keduanya. Haji yang mabrur (yang dilakukan dengan ikhlas dan sempurna) itu tidak ada ganjarannya yang setimpal melainkan syurga.” (HR Bukhari dan Muslim).

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Ogos 2015

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa dan juga Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 13 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *