Azhan Atan meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 9 April – Tiada lagi lunak suara merdu menghiburkan masyarakat di kawasan bencana serta sukarelawan misi kemanusiaan apabila bekas juara Akademi Nasyid Azhan Atan meninggal dunia, awal pagi kelmarin.

Aktivis yang mengalami masalah penglihatan itu menghidap strok dan kesihatannya semakin menurun sejak kebelakangan ini.

Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, kehilangan pendakwah berusia 44 tahun itu begitu dirasai kerana dia menjadi sebahagian tulang belakang pelbagai misi kemanusiaan sejak 2006.

“Kehilangan beliau (Azhan) amat menyedihkan seluruh warga MAPIM dan sudah pasti kepada ahli gerakan dakwah dan sukarelawan di seluruh negara.

“Sejak dulu, beliau yang banyak terbabit dalam gerak kerja sukarelawan MAPIM dan unit Amal Dewan Pemuda PAS gigih bergerak ke seluruh negara menyantuni masyarakat walaupun beliau sendiri seorang yang cacat separuh penglihatan. Kegigihan dia bertungkus lumus dalam operasi bantuan banjir Pantai Timur beberapa tahun lalu amat diingati sukarelawan dari seluruh negara,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, beliau difahamkan, kesihatan Azhan tidak menentu sejak kebelakangan ini dan sering mendapatkan rawatan menyebabkan tidak dapat menyertai aktiviti kemanusiaan.

Katanya, sebagai seorang rakan, dia begitu mengagumi semangat Azhan yang bersungguh-sungguh dalam setiap misi disertainya dan akan memastikan segala perancangan berjalan lancar.

Metro Ahad pada 2 Ogos 2015 melaporkan kecekalan Azhan yang menyertai lebih 100 misi di dalam dan luar negara sejak 1994 semata-mata menunaikan tanggungjawabnya sebagai Muslim.

Allahyarham meninggalkan seorang balu serta empat anak dan jenazahnya dikebumikan di Kampung Sepakat Jaya, Pekan Nenas, Pontian, jam 10 pagi semalam.

193total visits,3visits today

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm