Andai Ramadan Ini yang Terakhir

SELURUH umat Islam di dunia ini bakal menyambut bulan kemuliaan iaitu bulan Ramadan yang penuh barakah. Namun, dalam hidup ini tidak siapa yang boleh memberi jaminan apakah kita semua sempat untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan ini yang dijanjikan dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di radio IKIM pada setiap Rabu jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi menyatakan bahawa agama Islam mengajar umatnya untuk taat kepada segala perintah dan seruan Allah SWT supaya apa sahaja perbuatan dan amalan mendapat keredhaanNya. Justeru, sebelum tibanya bulan Ramadan, umat Islam disaran untuk berdoa kepada Allah SWT agar diberi kesempatan untuk menjalani ibadah puasa dan dapat menjalankan ibadah serta amalan-amalan lain yang dijanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Bagaimanapun bagi memberi motivasi dan inspirasi untuk seseorang mukmin mencapai ibadah terbaik di sisi Allah SWT, umat Islam disarankan untuk sentiasa mengingati diri bahawa setiap amal ibadah itu adalah amalan yang terakhir dilakukan. Perkara ini boleh mendorong diri kita untuk melaksanakan ibadah itu dengan cara yang paling berkualiti dan terbaik.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW juga menganjurkan umatnya agar melaksanakan ibadah yang paling terbaik dan paling berkualiti seperti pesanan baginda yang bermaksud ‘solatlah kamu seperti solat itu yang terakhir’. Bahkan dalam kehidupan ini, jika setiap perkara yang dilakukan dengan semangat bahawa itulah perkara yang terkahir dilakukan pastinya ia dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Begitu juga dengan amalan ibadah puasa yang bakal disambut pada 1 Ramadan selama sebulan. Setiap umat Islam hendaklah menanam semangat dalam diri untuk melaksanakan ibadah itu dengan seikhlas dan sebaik mungkin. Oleh itu, perkara utama menghadapi Ramadan, seseorang mukmin harus menyediakan diri dengan persiapan emosi yang sangat tinggi. Dalam setiap diri, perlu didatangkan dengan rasa gembira yang luar biasa supaya kehadiran sebulan bulan yang mulia itu diraikan dengan roh kecintaan yang tinggi terhadap bulan ibadah tersebut.

Kehadiran Ramadan iaitu ‘tetamu agung’ yang datangnya membawa seribu kebaikan buat umat Islam kerana bulan Ramadan adalah bulan pengampunan yang merupakan peluang bagi umat Islam mendapat keampunan Allah SWT. Kebaikan bulan Ramadan hendaklah disambut dengan rasa suka dan bahagia seperti para alim ulama yang begitu teruja luar biasa apabila tibanya bulan Ramadan. Dengan persiapan dari segi perasaan yang gembira dan bahagia apabila tibanya Ramadan menjadikan bulan Ramadan itu lebih bermakna.

Selain itu juga menjelangnya Ramadan umat Islam disaran mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang tinggi. Kefahaman ilmu pengetahuan terhadap ilmu agama terutama ibadah puasa ini akan menyebabkan seseorang mukmin dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna. Kesucian Ramadan itu dapat terpelihara dengan amal ibadat yang berada pada tahap dan tingkat yang tertinggi di sisi Allah SWT.

Persiapan menjelang puasa juga adalah dari segi spiritual atau jiwa. Seseorang mukmin hendaklah membersihkan diri dari segala dosa dan noda, dan dalam masa yang sama membina keimanan dirinya dengan Allah SWT. Hati seorang mukmin yang beriman akan menjalani ibadah dengan penuh ketaatan kepada Allah, manakala hati mukmin yang tidak beriman melaksanakan sesuatu ibadah sekadarnya sahaja. Justeru, keimanan yang tinggi amat penting supaya setiap amalan yang dilaksanakan mendapat ganjaran pahala yang tinggi di sisi Allah.

Persiapan fizikal juga penting bagi seseorang mukmin sebagai persiapan menjelang Ramadan, kesihatan yang baik amat dituntut kerana kesihatan akan menjamin ibadah yang sempurna. Mana mungkin jika badan yang tidak sihat kerana penyakit atau kekurangan tenaga dapat dilaksanakan ibadah-ibadah wajib dan sunat pada bulan Ramadan. Persiapan dari segi menjaga kesihatan adalah memastikan kita ‘berpantang’ dari mengambil makanan yang boleh memudaratkan kesihatan.

Menjaga kesihatan adalah perkara yang paling penting kerana kesihatan yang tidak baik akan menjejaskan amal ibadah terutama bulan Ramadan yang pastinya menuntut seseorang mukmin untuk kuat dari segi fizikal dan emosi. Pada bulan Ramadan, pastinya jadual harian kita akan berubah kerana amalan seperti bersahur, solat sunat terawih dan amalan-amalan lain yang sedikit berbeza dari rutin harian lain menuntut kita untuk lebih teratur dalam pengurusan harian. Oleh itu kekuatan fizikal dari segi kesihatan hendaklah dipelihara sebaik yang mungkin.

Dalam menjalani sesuatu ibadah atau amalan, jangan sesekali merasakan kitalah orang yang paling sempurna. Kesempurnaan ibadah bukan dinilai oleh kita tetapi ia adalah penilaian Allah SWT. Setiap ibadah atau amalan hendaklah diiringi dengan keikhlasan kerana Allah SWT, hati yang selalu rendah diri terhadap Allah akan diangkat olehNya di sisi Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Mei 2017
\"\"
Scroll to Top