Agenda Transformasi Ramadan

SETIAP kali bulan Ramadan kita akan mendengar ayat al-Qur’an Surah al-Baqarah ayat 183 yang mafhumnya berbunyi “wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar dengan itu kamu menjadi orang yang bertaqwa”. Matlamat Ramadan ialah bagi melahirkan invididu-individu bertakwa. Kalimat takwa ini begitu kerap didengari bahkan di luar bulan Ramadan pun kita sering mendengarnya, khususnya di kalangan kaum Adam ketika menghadiri solat Jumaat dan mendengar khatib berkhutbah. Setiap minggu khatib akan menyeru para jemaah agar bertakwa kepada Allah SWT. Oleh kerana itu, kalimah “takwa” ini seakan sudah terlalu kerap didengar, sudah lali, klise dan kurang memberi makna kepada sesetengah orang.

Dalam rancangan Tarbiyah di radio IKIMfm yang bersiaran Jumaat jam 10.15 pagi, saya telah menyambung mengupas buku sarjana Amerika Syarikat yang terkenal, Sheikh Hamza Yusuf berjudul “Agenda to Change: Our Condition” di mana beliau menjelaskan bagaimana untuk mencapai takwa.

Takwa sepatutnya bukan dilihat sebagai suatu darjat yang mustahil atau sukar dicapai tetapi sebaliknya ia boleh dicapai bagi sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh dengan bantuan rahmat daripada Allah SWT. Allah SWT samasekali tidak akan membebankan hambaNya sesuatu yang di luar kemampuannya. Cuma apa yang perlu dilakukan untuk mencapai takwa ini ialah bukan dengan berpeluk tubuh, bersenang lenang tanpa berbuat apa-apa, tetapi hendaklah bermujahadah melawan hawa nafsu melaksanakan titah perintah Allah SWT. Mujahadah melawan nafsu inilah merupakan antara jihad yang besar yang perlu kita laksanakan setiap masa dan Allah SWT pasti membantu mereka yang berjuang seperti mana janjiNya “barangsiapa yang berjihad pada jalan Kami, maka sesungguhnya akan Kami tunjukkan pada mereka jalan-jalan kami” (al-Ankabut:69).

Untuk mencapai takwa, Sheikh Hamza Yusuf menegaskan perkara pertama sekali yang perlu dijaga ialah Solat. Ini kerana walaupun seorang hamba itu melakukan banyak amalan lain tetapi jika dia tidak mendirikan Solat, nescaya dia tidak akan berjaya di Akhirat kelak.  Sesungguhnya amal hamba yang pertama kali akan dihisab pada hari kiamat adalah solatnya. Apabila solatnya baik, dia akan mendapatkan keberuntungan dan keselamatan. Apabila solatnya rosak, dia akan menyesal dan merugi” (HR Abu Dawud).

Seterusnya, beliau menegaskan tujuh anggota badan wajib dijaga daripada maksiat zahir. Pertama sekali menjaga lidah. Antara maksiat yang melibatkan lidah melalui percakapan ialah bercakap bohong, mungkir janji, memaki hamun, menghina, melaga-lagakan orang lain.  Dalam hadith Nabi SAW menyebut mafhumnya: “sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan beramal dengannya, maka Allah SWT tidak berhajat kepadanya meninggalkan makan dan minumnya” (HR Abu Dawud).

Kedua ialah menjaga mata daripada melihat perkara-perkara yang haram dan maksiat, menonton filem, video, youtube cerita-cerita lucah dan tidak senonoh kerana perlakuan ini akan dituntut kepertanggungjawaban di Akhirat kelak sepertimana  Allah berfirman, mafhumnya: “Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati akan dituntut di Akhirat kelak” (al-Qur’ah, surah al-Isra ayat 36).

Ketiga ialah menjaga telinga. Kita dianjurkan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini untuk menjaga telinga daripada terlibat dengan apa jua yang boleh membatalkan pahala puasa antaranya ialah mendengar orang mengumpat, dan bersama-sama dalam perbualan yang berdosa.

Keempat pula ialah menjaga perut. Dalam bulan Ramadan ini kita dianjurkan untuk bukan sahaja meninggalkan makan minum yang haram atau syubhat, termasuk juga meninggalkan daripada bermewah-mewah dalam makan dan minum kerana antara hikmah puasa ialah agar menginsafi betapa susahnya kehidupan orang susah, miskin dan papa.

Kelima ialah menjaga tangan. Yang dimaksudkan menjaga tangan ialah tidak memudarat dan menyakitkan orang lain dengan tangan. Ini sepertimana tegasan daripada Baginda SAW, mafhumnya: “orang Islam itu ialah orang yang selamat tangannya terhadap orang Islam yang lain” (HR. Bukhari).  Hari ini, menjaga tangan lebih daripada menyakiti secara fizikal, tetapi juga menjaga tangan daripada memuatnaik status-status di media sosial yang boleh menyakiti dan menimbulkan perasaan kurang senang orang lain dari segi emosi.

Keenam ialah menjaga kaki. Yang dimaksudkan dengan menjaga maksiat kaki ini ialah tidak menggunakan kaki untuk pergi ke tempat-tempat yang haram dan maksiat, dan melalaikan. Allah SWT memberi amaran bahawa kaki-kaki akan menjadi saksi di Akhirat kelak atas segala perbuatan yang dilakukan sepertimana firman: “Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan tangan-tangan mereka berkata kepada Kami dan kaki-kaki mereka memberi kesaksian terhadap apa yang telah mereka usahakan”. ( Al-Qur’an, ayat  65).

Akhir sekali perkara yang harus dijaga ialah kemaluan iaitu menjaga daripada melakukan perbuatan zina, dan perbuatan yang haram seumpamanya. Dalam hal ini Baginda SAW menyebut mafhumnya: “aku memberi jaminan sesiapa yang boleh menjamin lisan dan kemaluannya (terselamat daripada dosa), nescaya aku menjaminnya memasuki syurga”. (HR: Bukhar).

Ini adalah antara agenda di bulan Ramadan jika dipatuhi dan diikuti nescaya akan menunjukkan peningkatan dari segi kerohanian dan insya Allah akan digolongkan dalam orang-orang yang bertaqwa.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 Jun 2017
\"\"
Scroll to Top