Urus alam sekitar perlu guna maqasid syariah

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Perspektif maqasid syariah atau objektif syariah perlu dihayati dan diaplikasikan dalam menangani isu pengurusan ekosistem serta alam sekitar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perubahan cuaca dan kemusnahan alam yang mendadak menunjukkan ketidakseimbangan dalam mengamalkan prinsip Islam.

Beliau berkata, dalam prinsip maqasid syariah, Imam Ghazali berpandangan apa sahaja perkara yang membawa kemudaratan perlu dielakkan.

“Hari ini, aspek menjaga kemaslahatan keseluruhan kehidupan seperti tidak diambil kira.

“Oleh itu, perspektif maqasid syariah perlu dihayati dalam mengaplikasikannya dalam konteks perubahan iklim dan penjagaan alam sekitar secara keseluruhannya,” katanya pada Majlis Perasmian Seminar Maqasid al- Syariah dan Perubahan Iklim di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah IKIM, Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mukhyuddin Ibrahim.

Asyraf Wajdi berkata, penjagaan alam sekitar dianggap bukan isu penting sedangkan ia perlu diberi perhatian oleh orang Islam.

“Sejak sekian lama seolah-olah ia dimonopoli golongan bukan Islam sehingga perspektif mengenainya cenderung dilihat daripada pandangan bersifat humanistik semata-mata.

“Sedangkan Islam sendiri tidak pernah memisahkan ilmu sama ada ia bersifat ukhrawi atau duniawi kerana semua pengetahuan yang bermanfaat itu dianggap sebagai ilmu Islam,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan umat Islam mengambil inisiatif dan tampil ke depan dalam menangani isu alam sekitar, sekali gus tidak hanya bersetuju terhadap apa-apa saja yang dibawa oleh Barat.

Sementara itu, Azizan berkata, kerangka Indeks Syariah Malaysia (ISM) perlu dikongsikan secara global bagi menyelamatkan alam sekitar yang dihimpit dengan pelbagai ancaman terutama pembangunan yang tidak terancang.

“Dalam forum sedunia mengenai perbandaran baru-baru ini dikatakan 50 peratus daripada penduduk dunia hari ini dan masa depan dijangka akan menetap di kawasan bandar.

“Jadi perlu kepada pengurusan sumber di dalam bandar lebih daripada yang biasa, maka di sini kerangka syariah seperti digariskan dalam ISM boleh dikongsi dengan negara lain,” katanya.

Seminar Maqasid al- Syariah dan Perubahan Iklim yang berlangsung selama dua hari itu, bermatlamat untuk membahaskan kaedah interaksi manusia dengan alam sekitar bersandarkan kerangka syariah dan amalan Rasulullah SAW.

Kongsi artikel ini di:

Pentadbir Laman Web

Pentadbir Laman Web IKIMfm