Turki Beri Layanan Baik Kepada Pelarian Syria

KAHRAMANMARAS, 23 Jun – Ammar Amman, 43, bersama keluarganya akhirnya mengambil keputusan untuk melarikan diri dek tidak tertahan lagi dengan kekejaman dan keganasan hasil peperangan di Syria.

Beliau lalu melarikan diri ke Turki bersama isterinya Rivayda Selfun, 40, dan tiga anak perempuan mereka.

“Segala-galanya musnah, rumah saya, pekerjaan saya dan segala-galanya yang lain. Nasib baik Turki sanggup memberi perlindungan dan memberi harapan baharu kepada kami ,” katanya kepada Bernama menerusi seorang jurubahasa.

Beliau ditemui di Pusat Perlindungan Sementara KahramanMaras untuk pelarian Syria yang terletak berhampiran sempadan Syria, kira-kira 1,200 kilometer daripada Istanbul.

Beliau dan keluarganya merupakan antara 24,000 pelarian Syria yang tinggal di dalam kontena yang dijadikan rumah yang dilengkapi dengan bekalan air, tenaga elektrik solar dan perabot.

“Kami menikmati kehidupan yang lebih baik di sini daripada sentiasa menunggu saat-saat kematian di Syria. Turki melayan kami seperti tetamu dan saudara-mara mereka selain memenuhi keperluan kami,” kata Ammar yang tetap menyimpan hasrat untuk kembali semula ke tanah airnya.

Ayyem Sameer, 35, yang merupakan guru di Syria turut melarikan diri bersama keluarganya ke Turki dengan berjalan kaki.

“Saya meneruskan khidmat saya sebagai guru di sebuah sekolah di pusat penempatan ini dan mengajar pelajar Syria mengenai geografi dan sejarah.

“Inilah apa yang boleh saya lakukan. Saya juga berharap agar dapat kembali ke ruamah saya semula. Tetapi di sana (Syria) tidak selamat untuk keluarga saya berbanding di sini,” katanya.

Nabilah Mehmet yang berumur enam tahun kelihatan ceria sambil berlari-lari bersama kumpulan kanak-kanak Syria lain menuju wartawan asing yang mengunjungi pusat penempatan mereka.

Ditanya bila dia akan pulang semula ke Syria, dia menjawab: “Saya akan pulang bila perang sudah tamat, tapi sekarang saya mahu tinggal di sini kerana saya mempunyai ramai kawan,”

Pusat KahramanMaras dibuka semula kepada pelarian pada Mac tahun lalu selepas kerajaan Turki membina kemudahan berkeluasan 347,000 meter persegi untuk memuatkan ratusan khemah kanvas sebagai rumah kontena.

Pusat ini mempunyai kemudahan asas seperti tiga buah pasar, klinik, kawasan permainan, masjid, sekolah dan kemudahan lain, menurut pengarahnya Mehmet Turkoz.

Beliau berkata pusat ini juga menyediakan latihan vokasional bagi pelarian untuk menimba kemahiran dan pengetahuan sebagai persediaan kepada peluang pekerjaan kelak.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my