Tun M akan dipanggil beri keterangan ucapan di Bersih 4 – KPN

PELABUHAN KLANG, 2 September: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan berhubung kehadiran dan ucapannya pada perhimpunan haram Bersih 4, hujung minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya juga akan meneliti ucapan yang dibuatnya termasuk dakwaan bahawa ada Ketua Bahagian UMNO menerima rasuah.

“Polis akan memanggil beliau (Dr Mahathir) untuk merakam keterangan dan mahu mengetahui dari mana maklumat yang diperoleh mengenai dakwaan rasuah yang diterima Ketua Bahagian UMNO,” katanya pada sidang media Majlis Memperingati Hari Polis Marin ke-68, di Markas Polis Marin Pelabuhan Klang, di sini, pagi tadi.

Khalid berkata, selain itu polis juga akan memanggil penganjur perhimpunan haram itu bermula hari ini untuk dirakam keterangan.

“Mereka yang terbabit tidak akan terlepas daripada tindakan dan polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang sengaja mencabar undang-undang,” katanya.

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my