Tujuh Amalan Santuni al-Quran

SESUNGGUHNYA kitab suci Al-Quran sifatnya memberi ketenangan dan kelapangan kepada jiwa manusia. Bahkan bagi seseorang mukmin yang hatinya hidup dengan al-Quran akan mudah terdidik dengan ayat-ayat Allah yang penuh keindahan dan pengajaran.

Menerusi rancangan Tarbiah yang disiarkan di radio IKIMfm, setiap Jumaat jam 10.30 pagi, Ustazah Norhafizah Musa menjelaskan betapa besarnya nikmat dan rahmat bagi seseorang muslim yang hidupnya beriman dengan kitab suci al Quran.

Malah beliau juga mengingatkan umat Islam hari ini agar tidak menjadi seperti apa yang diungkapkan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “ akan tiba pada suatu zaman di mana al-Quran itu di baca tetapi sekadar hanya di lidah”. Memberi erti bahawa ayat- ayat Allah SWT itu hanya dibaca sekadar di bibir sahaja tetapi tidak mendalami makna dan tidak menjadikannya panduan dalam kehidupan.

Memetik ayat suci al Quran surah al Zumar ayat 23 yang bermaksud “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

Intipati ayat-ayat al Quran itu adalah sebagai pengubat hati manusia untuk mendapat kedamaian dan pedoman dalam kehidupan. Seseorang mukmin yang selalu bermuamalah dengan ayat-ayat al-Quran akan bergetar hatinya kerana takutkan Allah SWT. Orang yang hatinya merasa takut akan azab Allah SWT akan memperolehi kelapangan hati dan hanya cenderung kepada perbuatan yang baik-baik sahaja.

Menurut Ustazah Norhafizah, dalam menjalani kehidupan, seseorang mukmin itu hendaklah sentiasa memerhatikan cara dirinya bermuamalah dengan al- Quran. Justeru, terdapat tujuh amalan untuk seseorang mukmin laksanakan dalam menyantuni al-Quran.

Tujuh perkara berkenaan adalah mempelajari intipasi isi kandungan al Quran itu sendiri seperti memahami ilmu- ilmu tajwid, tilawah, tafsir , taranum dan banyak lagi. Kedua mengajar al-Quran kepada sesiapa sahaja sama ada sedikit atau banyak agar ilmu tersebut memberi keberkatan dalam kehidupan. Ketiga dengan membaca ayat-ayat al-Quran agar dengannnya menjadikan seseorang mukmin itu tidak meninggalkan amalan membaca al- Quran dan dalam masa yang sama mendekatkan diri dengan kitab Allah SWT.

Keempat menghafaz ayat-ayat al-Quran. Sekiranya tidak mampu menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran, hafazlah sebanyak mana mengikut kemampuan diri. Kelima, mentadabur iaitu memahami, ayat-ayat al-Quran agar dapat diaplikasikan dalam kehidupan. Kelima, mengamalkan setiap anjuran, seruan, pengajaran dan pendidikan dalam kitab suci al Quran yang banyak mengajar manusia untuk menjadi insan kamil dunia akhirat. Ketujuh atau yang terkahir ialah mendaulatkan al-Quran. Kitab suci al-Quran merupakan kitab agung yang di dalamnya terkandung sistem kehidupan yang harus didaulat, dijunjung diagungkan supaya kehidupan kita terpedoman dengan aturan hidup yang diredhai Allah.

Kurangnya pemahaman terhadap intipati al-Quran, menjadikan seseorang manusia itu melaksanakan hukum Allah SWT bukan kerana mendaulatkan suruhanNya tetapi bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau riak. Oleh sebab itu, setiap perbuatan manusia harus bersandarkan kepada niat kerana Allah supaya keperibadian, tindakan dan perbuatan seseorang itu menunjukkan nilai-nilai orang yang berpedoman dengan al-Quran.

Setiap penciptaan Allah SWT seperti yang dihurai di dalam al-Quran dan dibuktikan oleh sains pasti akan menambah rasa gerun, takut bahkan merasa kerdil di sisi Allah taala. Namun hamba Allah yang didalam hatinya terbit rasa tidak yakin dan membelakangkan ayat-ayat Allah walaupun secara jelas dinyatakan di dalam al-Quran, mereka ini sebenarnya orang yang rugi.

Ibn Atoillah al-Sakandari menasihatkan umat manusia “ lucutkan pada diri kamu sifat-sifat yang menyalahi sifat seorang hamba Allah, kerana yang demikian itu menjadikan seseorang itu lambat menyahut seruanNya dan akan menjauhkan manusia kepada Allah SWT”. Seseorang mukmin yang jauh dengan al-Quran tentunya jauh dari rahmat dan hidayahNya. Mereka ini adalah golongan yang sangat rugi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 27 Januari 2017

100total visits,1visits today

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa dan juga Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 13 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm