Trump: Hukum mati dalang rempuhan trak pikap di New York

NEW YORK, 6 November ― Di tengah-tengah keberangan dan kemarahan yang dirasai di seluruh negara susulan serangan pengganas di New York pada Selasa oleh seorang rakyat Uzbekistan menggunakan sebuah trak pikap sehingga menyebabkan lapan orang maut manakala 12 lagi cedera, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam satu tweet pada Khamis menggesa agar suspek dijatuhi hukuman mati.

Terdahulu, Trump telah mencadangkan agar suspek dihantar ke pusat tahanan AS di Teluk Guantanamo, Cuba di mana individu yang disyaki melakukan tindakan keganasan ditahan.

Dalam akaun tweet beliau pada Khamis, Trump berkata beliau “teringin sangat untuk menghantar pengganas NYC ke Guantanamo namun secara statistik, proses itu akan mengambil masa yang lebih lama” berbanding mengendali perbicaraannya melalui sistem mahkamah AS.

Trump menggesa tindakan lebih pantas diambil terhadap suspek berusia 29 tahun, Sayfullo Saipov, dalam perbicaraan di New York, dan menyatakan bahawa “(perbicaraan) itu hendaklah dijalankan dengan cepat. HUKUMAN MATI!”

Saipov telah didakwa memandu sebuah trak pikap sewa dan merempuh sekumpulan penunggang basikal dan pejalan kaki di laluan sikal yang sibuk pada Selasa.

Kemudian, selepas melanggar sebuah bas sekolah, Saipov melompat keluar dari trak yang rosak itu sambil memegang senapang paintball dan senapang angin sebelum dia ditembak di bahagian perut oleh seorang anggota polis New York.

Sumber polis menyatakan bahawa Saipov telah melaungkan “Allahu Akbar” selepas serangan.

Saipov, yang bercakap dengan para penyiasat selepas dirawat di sebuah hospital, telah meminta mereka mengibarkan bendera Daesh di bilik hospital di mana dia ditempatkan dan dipetik sebagai berkata dia berasa “hebat dengan apa yang telah dilakukannya.”

Trump telah memberikan reaksi marah terhadap kata-kata suspek dan menulis tweet pada malam Rabu: “Pengganas NYC gembira ketika dia meminta agar bendera Daesh digantung di dalam biliknya di hospital. Dia telah membunuh 8 orang dan menyebabkan 12 lagi cedera parah. HARUS MENDAPAT HUKUMAN MATI!”

Ketika butiran lanjut serangan itu mula timbul, para penyiasat berhasil memperoleh maklumat terperinci daripada Saipov yang memberitahu mereka semasa disoal siasat di hospital bahawa dia sebenarnya merancang serangan itu sejak beberapa minggu sebelum itu dan bahawa dia mendapat inspirasi untuk berbuat demikian selepas menonton video Daesh di telefon bimbitnya.

Aduan jenayah yang difailkan polis menyebut bahawa satu daripada dua telefon bimbit suspek, yang ditemui dalam trak terbabit, telah memuat naik kira-kira 90 video dan 3,800 imej, mengandungi propaganda kebencian Deash dan perlakuan ganas yang mengerikan.

Telefon bimbit kedua telah membantu penyiasat mengesan pergerakan Saipov, termasuk kad sewa di New Jersey dan New York pada dua tarikh berbeza sehinggalah ketika dia melancarkan serangan maut itu pada Selasa.

Penduduk New York, meskipun tabah, tetap merasai kepedihan susulan serangan itu.

Kehadiran sejumlah besar polis beruniform dan anggota yang sarat bersenjata sambil memegang mesingan, kelihatan di kebanyakan tempat, terutama di kawasan yang dibanjiri pelancong seperti Times Square, Fifth Avenue, stesen kereta api, pusat membeli-belah dan sebagainya.

Datuk Bandar New York Bill de Blasio telah mengutuk serangan pengganas itu dan menyifatkannya sebagai satu “serangan terhadap nilai-nilai murni kita,” sambil menggesa penduduk New York agar  “kuat, bangga, tabah dan membuktikan kepada seluruh dunia ketika ini bahawa kita tidak akan terjejas oleh keganasan.”

Menerusi ulasan di pelbagai saluran televisyen, pakar-pakar merumuskan bahawa serangan trak itu mempunyai persamaan dengan serangan menggunakan kenderaan sebelum ini di beberapa negara Eropah.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my