Tindakan tegas salah guna visa – TPM

KUALA LUMPUR 28 DisemberDatuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penuntut Afrika yang didapati menyalahgunakan visa pelajar untuk memasuki negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kebimbangan rakyat terhadap isu berkaitan jenayah yang didakwa dilakukan oleh warga Afrika di negara ini adalah berasas.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, tindakan terhadap penuntut Afrika terbabit boleh diambil di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

“Kita amat prihatin terhadap laporan media berhubung segelintir pelajar dari negara-negara berkenaan dan kita tahu mereka telah melakukan jenayah termasuk menjadikan tempat kediaman sebagai makmal memproses dadah.

“Beberapa tangkapan telah dilakukan oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) Bukit Aman sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Deklarasi Prioriti 2016 di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu kebanjiran pelajar warga asing terutama dari Afrika yang dikaitkan dengan pelbagai kes jenayah dan sosial termasuk sindiket African Hacker di negara ini.

Selain sindiket penipuan, tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati orang ramai turut bimbang dengan gejala sosial yang dikaitkan pelajar dari Afrika seperti mabuk, menimbulkan kekacauan di tempat awam serta mengganggu kaum wanita.

Ahmad Zahid turut mendedahkan, terdapat wanita rakyat tempatan yang sanggup menjadi isteri kepada penuntut Afrika bagi melayakkan lelaki warga asing itu menjalankan kegiatan perniagaan di negara ini.

Menurutnya, walaupun lesen perniagaan dimiliki oleh wanita terbabit, perniagaan mungkin dijalankan oleh penuntut warga asing yang menjadi suaminya.

“Kami memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri terutama pihak berkuasa tempatan yang mengeluarkan lesen berkenaan,” ujarnya.

Ahmad Zahid menambah, Jabatan Imigresen juga telah melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap warga asing yang menyalahgunakan visa pelajar termasuk mereka yang mendaftar masuk ke pusat bahasa tetapi tidak menghadiri kelas.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sedang dalam proses melengkapkan peralatan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3).

“Kita juga telah mempelajari apa yang dilakukan di (pusat mesej) Dubai dan pegawai-pegawai kanan kita yang terlibat sedang menjalani program latihan,” jelasnya.

Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju menubuhkan RDC3 bagi memerangi penyebaran ideologi dan propaganda ekstremisme oleh kumpulan militan menerusi Internet di negara ini.

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my