‘Tidur beralas tanah, makan berlauk garam’

KUALA LUMPUR, 30 Mac – “Kami seperti hilang akal apabila tiba-tiba sekumpulan lelaki bertopeng mengacukan senapang ke arah kami.”

Mohamad Jumadil Rahim, 23, adalah seorang daripada lima rakyat Malaysia yang menjadi tawanan kumpulan pengganas Abu Sayyaf selama lapan bulan sebelum diselamatkan pasukan keselamatan Filipina.

Ketika kejadian, katanya, mereka nyenyak tidur sebelum dikejutkan kumpulan berkenaan.

Katanya, mereka dibawa menaiki dua bot ke sebuah pulau tidak diketahui, diikuti ke pulau lain selepas itu.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 pagi dan seingat saya kami tiba di pulau pertama dalam jam 2 petang.

“Selepas Maghrib, kami dibawa ke pulau lain. Keadaan gelap dan kami tidak nampak apa-apa,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak di kediaman Perdana Menteri, hari ini.

Mohamad Jumadil berkata, sepanjang lapan bulan ditawan, mereka hanya diberi makan nasi putih berlaukkan garam.

Katanya, mereka turut hidup dalam ketakutan apabila turut diugut pancung oleh anggota kumpulan itu setiap hari.

“Tidur kami hanya beralaskan tanah. Makan pula jika ada lebihan, baru kami dapat (makan).

“Tidak terlintas langsung di fikiran untuk lari kerana kami dikawal tidak kurang 20 orang,” katanya yang bersyukur kerana dapat pulang ke pangkuan keluarga.

Kongsi artikel ini di:

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Pengurus Program Radio. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 16 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my