Tiada rakyat Malaysia terbabit letupan di Istanbul

PUTRAJAYA, 13 Januari – Kedutaan Besar Malaysia di Ankara mengesahkan bahawa sehingga kini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terbabit dalam kejadian letupan di Sultanahmet iaitu daerah bersejarah Istanbul, semalam.

Kementerian Luar, dalam satu kenyataan, menyatakan pihak kedutaan akan terus berhubung dengan rakyat Malaysia di sana termasuk pelajar yang menuntut di Istanbul.

“Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas yang berlaku di Sultanahmet, Istanbul semalam yang telah meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa tidak berdosa dan mencederakan 15 yang lain,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan simpati dan takziah kepada kerajaan dan rakyat Turki serta keluarga dan mangsa yang terbabit dalam serangan itu.

Kementerian Luar juga mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin atau yang melawat Istanbul supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan memantau keadaan sekeliling selain mematuhi nasihat yang dikeluarkan kerajaan Turki.

“Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my