Terlalu lama guna gajet punca rabun

KUALA LUMPUR, 27 Mac 2018 – Penggunaan gajet elektronik yang terlalu lama dikesan antara faktor yang menyumbang kepada masalah penglihatan dalam kalangan pelajar sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, berkata punca lain termasuklah faktor keturunan serta penyakit seperti amblyopia dan trauma atau kecederaan pada mata.

“Pada tahun lalu, data menunjukkan 6.3 peratus pelajar Tahun Satu mempunyai masalah penglihatan, manakala 4.1 peratus bagi pelajar Tahun Enam dan 2.7 peratus bagi pelajar Tingkatan Tiga, setelah diperiksa melalui perkhidmatan kesihatan sekolah.

“Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sentiasa memastikan kesihatan pelajar dipelihara, termasuklah memberi pendidikan kesihatan berkaitan penjagaan mata kepada mereka.

“Saringan pemeriksaan mata dilakukan secara berkala oleh pegawai kesihatan, dan pelajar yang mempunyai masalah penglihatan akan dirujuk dan diberi rawatan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) yang bertanyakan peratusan kadar kerosakan penglihatan dalam kalangan pelajar sekolah pada tahun lalu dan faktor yang menyebabkannya berlaku.

Sumber BERITA HARIAN

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my