Tentera Israel bunuh 55 penduduk Palestin di Gaza

JERUSALEM, 15 Mei – Sekurang-kurangnya 55 penduduk Palestin terbunuh manakala 2,771 lagi cedera pada Isnin dalam pertempuran ganas antara beribu-ribu penunjuk perasaan dan tentera Israeli di timur Semenanjung Gaza, lapor agensi berita China Xinhua memetik sumber perubatan.

Menurut  seorang jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, Ashraf al-Qedra, tujuh penduduk Palestin yang maut adalah kanak-kanak, sambil menambah bahawa 54 mangsa yang cedera kini kritikal.

Ia merupakan tragedi berdarah paling sadis sejak berakhirnya serangan Israel secara besar-besaran yang dilancarkan di Semenanjung Gaza pada musim panas 2014.

Satu mogok umum di Semenanjung Gaza pada Isnin menyaksikan penutupan sekolah, universiti, bank dan kedai manakala jalan-jalan lengang tanpa lalu lintas dan pejalan kaki.

Tayar-Tayar telah dibakar di persimpangan jalan-jalan utama sebagai membantah pembukaan Kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis.

 Bas dan trak digunakan untuk mengangkut orang ramai dari jalan-jalan serta kawasan kejiranan manakala pembesar suara di masjid digunakan untuk menggesa orang ramai agar menyertai perarakan sejuta rakyat Palestin.

Dalam pada itu Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah memperuntuk sejumlah US$5 juta bagi membantu rakyat Palestin yang cedera ketika bertempur dengan tentera Israel pada Isnin, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Bantuan itu disalur melalui Persatuan Bulan Sabit Merah UAE bagi menyediakan bekalan perubatan dan rawatan kecemasan kepada mangsa terbabit.

Menurut kenyataan Persatuan Bulan Sabit Merah UAE pada Isnin, sebuah pasukan khas akan menyalurkan bantuan itu melalui sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai 55 rakyat  Palestin semalam, termasuk kanak-kanak, oleh tentera Israel dan menggesa campurtangan antarabangsa untuk menghentikan pembunuhan itu.

Tegas beliau tiada alasan yang membenarkan keganasan dan pembunuhan dilakukan sewenang–wenangnya terhadap mereka yang mendesak bagi pengembalian tanah air mereka dan pemberhentian segera ketidakadilan yang dilakukan terhadap mereka  sejak sekian lama.

Memburukkan lagi keadaan, kata , Datuk Seri Mohamed Azmin,  adalah tindakan memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari  Tel Aviv ke Baltulmuqaddis yang disifatkannya suatu provokasi hebat dan penghinaan terhadap rakyat Palestin serta menjejaskan proses keamanan.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.