Tenang Bersama Al-Quran

SETIAP orang wajar bertanyakan kepada diri sendiri apakah mereka benar-benar ada ketenangan dalam jiwa atau sebaliknya. Sungguhpun banyak cara untuk meraih ketenangan dalam hidup namun tidak sama dengan ketenangan yang diperolehi melalui sumber al Quran.

Menerusi rancangan Tarbiyah di radio IKIMfm, yang bersiaran setiap Jumaat jam 10.15 pagi, Ustazah Norhafizah Musa mengajak pembaca dan pendengar radio supaya menjadikan al Quran kalam Allah sebagai sumber utama untuk rujukan dan panduan hidup di saat gembira dan kecewa.

Menurutnya memahami ungkapan doa yang berkaitan tentang al-quran adalah sumber kekuatan dalam memberi kelapangan dalam hati. Begitu juga majlis-majlis Ilmu hendaklah dijadikan Indikator untuk mendapat ketenangan dan kelapangan hati.

Beliau berkata, Jadilah Doa sebagai amalan dan pakaian untuk meraih ketenangan dalam kehidupan. Doa yang beliau ungkapkan yang bermaksud “Ya Allah, Sesungguhnya kami ini adalah hambaMu dan anak kepada hamba lelakiMu dan anak kepada hamba perempuanMu. Urusan kami berada pada tanganMu. HukumMu terlaksana pada diri kami, ketentuanMu adil pada kami, kami meminta daripadaMu dengan setiap namaMu yang engkau namakan diriMu dengannya atau yang engkau turunkan dalam kitabMu atau yang Engkau sampaikan kepada sesiapa di kalangan makhlukMu. Atau yang engkau peliharanya dalam ilmu ghaib di sisiMu agar kau jadikan al-Quran pengubat hati-hati kami, cahaya dada kami, penghilang kesedihan kami, dah rasa gundah gulana kami”.

Maksud doa ini begitu jelas menggambarkan tentang besarnya peranan intipati dan fungsi al-quran kepada kehidupan manusia. Antara yang paling utama kalam Allah itu adalah untuk memberi kedamaian dan ketenangan kepada hati-hati manusia.

Menurut beliau, jangan sesekali kita merasa berpuas hati dengan cara kita melayan al-Quran kerana sewajarnya dalam hidup ini kita perlu seakrab mungkin menjalin hubungan dan memelihara hubungan dengan al-quran, kitab suci yang dianugerahkan Allah SWT kepada hambaNya.

Ustazah Norhafizah turut berkongsi pengalaman peribadi beliau berkaitan kisah betapa al-Quran itu adalah khasiat yang berguna dalam menjadi pengubat kekuatan hati. Memetik ayat suci al-Quran melalui surah an-Nahl ayat 120 yang bermaksud “Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah dan hanif. Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan)”.

Ayat tersebut mengupas tentang intipati al-Quran yang berbicara tentang susuk tubuh Nabi Ibrahim a.s yang satu itu ibarat seperti satu ummah. Bagaimana kita sebagai manusia memberi nilai kepada kehidupan ini. Bagaimana kita sebagai seorang manusia memberi nilai kepada diri kita sendiri dan akhirnya nilai itu juga dapat dimanfaatkan oleh orang lain (ummah).

Ketaatan dan tauhid, dakwah yang ada dalam nilai diri Nabi Ibrahim seperti yang diungkap dalam ayat di atas itu hendaklah dijadikan pedoman kerana hidup ini bukan hanya tentang diri kita tetapi bagaimana hidup kita dapat dimanfaatkan oleh masyarakat sekeliling juga.

Menurut beliau, formulasi kekuatan diri apabila kita hidup untuk diri kita, kita akan lemah. Tetapi apabila seseorang itu hidup untuk masyarakat atau ummah, setiap gerak perbuatannya akan mendapat kekuatan dan semangat dalam memberi nilai bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk orang lain di sekelilingnya.

Begitulah kekuatan untuk diri kita walau siapapun kita, jika kita memberi nilai diri bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk kebaikan orang lain, pastinya Allah SWT akan memberi kebaikan untuk diri kita bahkan rahmat kebaikan itu akan menebar kepada seluruh ummah.

Fitrah Setiap manusia adalah inginkan kebaikan dan menjadi orang yang baik. Hakikatnya menghayati dan memahami al-Quran akan membina kebaikan dalam diri seseorang. Kesan dari ayat-ayat suci Allah SWT akan meletakkan darjat seseorang insan itu berbeza antara satu sama lain. Bahkan orang yang memahami intipati al-Quran dengan bertadabur akan ayat-ayat Allah itu boleh mendidik hati manusia kepada jalan kebaikan dunia dan akhirat.

Bagaimana hubungan kita dengan Al-Quran itu hendaklah kita sentiasa menilainya. Bagaimana ayat-ayat suci al-Quran memberi kesan kepada hati kita dan sentiasa menjadi petunjuk kepada manusia untuk mendapat keredaan dan keberkatan hidup yang sementara ini.

Betapa besarnya rahmat setiap ayat –ayat suci al- Quran adalah suatu mukjizat kepada manusia yang memahami intipati dan bertadabur dengannya. Al- Quran itu kitab panduan hidup yang memberi pedoman kepada hidup manusia. sebab itulah, dalam segenap ruang kehidupan ini, saat senang atau sukar jadilah al-Quran itu sebagai panduan hidup.

Bagi hati-hati yang dipenuhi kesulitan dan kekusutan, al-Quran itu umpama santapan rohani yang menyucikan segala penyakit hati yang berada di dalam kesakitan. Al-Quran itu umpama penawar segala kesakitan dan ubat yang diperlukan untuk memulih segala penyakit. Sifat al-Quran seperti makan dalam yang datang membersih hati yang kotor, melembut hati yang tenang dan melapangkan hati yang dalam kesulitan.

Justeru santuni, layani, tekuni dan berakrablah dengan al-Quran pada setiap waktu kerana pastinya al-Quran akan menjadi solusi, petunjuk dan penawar bagi hati kita agar dapat membina nilai manusiawi dalam diri seterusnya membina ketaqwaan diri di sisi Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 Januari 2017

2017-01-20
Kongsi artikel ini di:

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Pengurus Program Radio. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 16 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my