Telefon Pintar di Bulan Ramadhan

Jumlah Hits : 96
Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa dan juga Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 13 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my

TIDAK dinafikan pada hari ini kemudahan teknologi telefon pintar sangat meluas dan dilihat sebagai sesuatu yang penting dalam menyediakan pelbagai maklumat kepada pengguna untuk mengakses apa sahaja pengisian sama ada pendidikan atau penggunaan media sosial.

Kehadiran teknologi telefon pintar dengan pelbagai aplikasi moden seperti Facebook, WhatApps, Twitter dan seumpamanya sedikit sebanyak boleh menjejaskan ibadah kita jika tidak dikawal dengan sebaik mungkin terutama di bulan Ramadan ini.

Menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm pada Jumaat jam 10.15 lalu, Ustaz Tuan Syed Norhisyam Tuan Padang mengingatkan umat Islam agar tidak terlalu ghairah dengan kecanggihan teknologi gajet yang mempunyai pelbagai perisian sehingga boleh membuatkan kita leka untuk mengisi waktu-waktu di bulan yang mulia ini dengan amal ibadah kepada Allah SWT, tetapi sebaliknya masa terbuang begitu sahaja dengan kelekaan melayan rakan alam maya di Facebook atau whatApps.

Malahan bukan itu sahaja, dengan kepantasan teknologi telefon bimbit di hujung jari,pelbagai maklumat dan berita yang cepat tersebar, sangat dibimbangi berita-berita yang tersebar itu adalah maklumat yang tidak benar dan boleh membawa kepada fitnah. Sedangkan bulan Ramadan ini adalah bulan untuk mendidik kita untuk menjauhi diri dari perbuatan yang boleh membawa kepada dosa kepada Allah taala.

Para pembaca juga diingatkan agar bijak mengisi waktu dengan memperbanyakkan amalan kebaikan dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dengan cara seperti memperbanyakkan amalan solat, zikir, bersedekah, membaca ayat suci al-Quran dan amalan-amalan lain yang meninggikan darjat kita di sisi Allah.

Membaca al-Quran umpamanya merupakan satu amalan yang diberi ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT “Sesungguhnya orang yang membaca al-Quran, mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka secara rahsia dan terang-terangan, mereka mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi, agar Tuhan mencukupkan pahala mereka serta menambahkan mereka daripada kurnianya, sesungguhnya Dia Maha pengampun dan pembalas” (Surah Fatir: ayat 29-30).

Oleh itu, dengan kecanggihan teknologi telefon pintar yang ada pada hari ini, kita sebenarnya boleh memanipulasikan kemudahan itu kearah yang positif seperti  memuat turun pelbagai ceramah agama, audio mativasi dari penceramah yang bagus dan memuat turun ayat-ayat suci al-Quran yang dapat kita membacanya di mana-mana sahaja ketika waktu terluang.

Ustaz Syed berpesan agar umat Islam menggunakan kemudahan teknologi telefon dengan melaksanakan perkara yang boleh menambahkan amal ibadah kita dan amalan-amalan yang mendekatkan diri dengan Allah.

Namun, menurutnya jika kemudahan teknologi itu tidak diguna dengan betul seperti hanya bermain permainan video dengan pelbagai “game’ yang ditawarkan, atau membuang masa dengan bersembang perkara yang sia-sia, bukan sahaja ianya tidak mendatangkan pahala tetapi ditakuti akan mengeruhkan hubungan sesama manusia sekiranya perbualan tersebut boleh mendatangkan rasa tidak senang atau mengguris hati orang lain.

Kesempatan berada di bulan yang mulia ini haruslah digunakan dengan bijaksana oleh umat Islam untuk beribadat kepada Allah SWT kerana amat besar ganjaran yang Allah berikan kepada setiap perbuatan yang baik. Malahan berpuasa di bulan Ramadan itu sendiri Allah kurniaan pahala yang besar kepada hambaNya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.” (Hadis Bukhari)

Kelekaan kita terhadap teknologi seperti telefon pintar ini yang disalahgunakan sudah pasti sedikit sebanyak akan menjejaskan tumpuan ibadat kita kepada Allah SWT. Sesetengah orang pula yang menulis status di facebook yang berbaur mengumpat, fitnah, mengadu domba dan sebagainya, alangkah ruginya ibadah di bulan yang mulia ini kerana dibimbangi puasa kita hanya menjadi satu perbuatan yang lapar dan dahaga semata-mata tetapi tidak mendatangkan apa-apa ganjaran pahala, jauh sekali menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah.

Justeru perlu diingatkan kepada umat Islam agar bercermat dalam menggunakan telefon pintar agar hanya menghadkan kepada perkara yang penting sahaja dan menjauhi perbuatan yang tidak berfaedah. Begitu juga seseorang mukmin hendaklah memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah SWT telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu seperti itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam ayat al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud “Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.” (Surah Al-Ma’idah: 42)

Justeru, berpuasa dengan keimanan iaitu dengan didikan hati yang kusyuk terhadap Allah akan menatijahkan pendidikan hati yang besar buat kita untuk memahami falsafah agama supaya akhirnya kita benar-benar akan memahami dan mendapat nikmat dari ibadah berpuasa itu sendiri.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 Jun 2015

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  PETA LAMAN PROGRAM
  Profil Penyampai Dunia Ekonomi
  Program Tafsir Al-Quran
  Interaktif Islam Itu Indah
  Galeri Topik Jumaat
  Info  
  Hubungi Kami INTERAKTIF
    Radio Dalam Talian
    Facebook
    Twitter
    SMS
    Undian Carta IKIM
  GALERI HUBUNGI KAMI
  Foto Konti
  Audio Peta
  Video Maklumbalas
   
  INFO  
  Frekuensi  
  Waktu Solat  
  IKIMfm  

LANGGAN BULETIN KAMI