Tangan yang Memberi Lebih Baik daripada yang Menerima

SAYYIDINA Hakim bin Hazam RA, antara tokoh hartawan di kalangan Muhajirin. Rasulullah SAW pernah berkata kepada himpunan para sahabat, saat Baginda mengenangkan orang yang berada di Makkah yang belum memeluk Islam, Baginda berkata, mafhumnya: “Sesungguhnya di Makkah itu, terdapat 4 orang yang aku tidak setuju mereka kekal di Makkah dalam keadaan syirik dan aku sangat mengharapkan mereka mendapat agama Islam. Salah seorang daripada mereka, ialah Hakim ibnu Hazam”. Kisah Hakim bin Hazam ini dikongsikan oleh al-Fadhil Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm setiap Isnin jam 5.15 petang.

Sejarah telah terpahat indah mengenai Hakim bin Hazam yang merupakan satu-satunya manusia yang dilahirkan di dalam Kaabah. Beliau merupakan anak saudara kepada Ummul Mukminin, Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid. Hakim membesar dalam keluarga yang kaya raya, mempunyai kedudukan dan kemuliaan. Hidupnya penuh dengan kegembiraan dan kemakmuran.

Beliau dikurniakan oleh Allah SWT dengan akal yang cergas dan kemuliaan yang baik sehinggakan dengan kelebihan tersebut, kaumnya telah melantik beliau sebagai orang yang memegang satu kedudukan yang besar di kalangan bangsa Arab, jawatan ‘rifadah’. Rifadah ini merupakan seorang yang menanggung perbelanjaan jemaah-jemaah haji yang terputus bekalan makanan dan bekalan kehidupan. Beliau membelanjakan hartanya sendiri untuk orang-orang yang terputus bekalan ini. Beliau juga merupakan sahabat yang sangat akrab dengan Baginda SAW sebelum Baginda diutuskan menjadi Rasul. Hubungan mereka menjadi lebih erat dan akrab apabila terjalinnya hubungan kekeluargaan tatkala Baginda mengahwini Sayyidatina Khadijah.

Pastinya bermain di fikiran kita bahawa Hakim bin Hazam ini sudah semestinya antara yang terawal memeluk Islam kerana keakrabannya dengan Baginda SAW. Namun, sejarah telah mencatat bahawa beliau bukanlah antara yang terawal memeluk Islam, bahkan beliau memeluk Islam setelah lebih 20 tahun Baginda SAW berdakwah. Inilah ketentuan Allah SWT dan ternyata, hidayah milik Allah SWT. Bukan kita sahaja merasakan pelik, tetapi Hakim juga setelah memeluk Islam, merasa pelik dan hairan mengapa beliau lewat memeluk Islam.

Pada satu ketika, pernah anaknya melihat Hakim menangis lalu ditanya “Apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai ayahku?” Maka jawabnya “Banyak hal wahai puteraku yang menyebabkan aku menangis. Yang pertama apabila aku mengenangkan lambatnya aku memeluk Islam sehinggakan aku tekah didahului oleh ramai orang-orang baik yang telah membuat kebaikan demi kebaikan. Mereka juga telah banyak menafkahkan hartanya ke jalan Allah SWT. Aku juga terkenangkan bagaimana Allah SWT, telah menyelamatkan aku di dalam perang Badar dan Uhud kerana pada ketika itu, aku keluar untuk menghunuskan pedang ke arah Rasulullah SAW dan memerangi Baginda. Alangkah baiknya kalau aku tidak melakukan hal yang sedemikian itu, aku hanya dimusnahkan dan dirosakkan kerana mengikut kepada tradisi nenek moyang yang menyebabkan aku jauh daripada agama Allah pada awalnya. Maka kenapakah aku tidak menangis wahai anakku.”

Hakim bin Hazam memeluk Islam dan mendapat hidayah Allah SWT beberapa hari sebelum Rasulullah SAW masuk ke kota Makkah dalam peristiwa ‘Pembukaan Kota Makkah’. Peristiwa tersebut berlaku pada 20 Ramadan tahun ke-8 daripada hijrah Rasulullah SAW. Ketika itu, Baginda ingin memberikan kemuliaan buat Hakim. Ketika Baginda masuk ke Kota Makkah, Baginda memerintahkan sekumpulan melaungkan kata-kata “sesiapa yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya, dia selamat. Barangsiapa yang berada di perkarangan Kaabah dan meletakkan senjata, dia juga selamat. Barangsiapa yang menutup pintu rumahnya dan tidak menentang, dia juga selamat. Sesiapa yang masuk ke rumah Abu Suffyan, dia juga selamat dan sesiapa yang memasuki rumah Hakim, maka dia juga selamat. Rumah Hakim ini merupakan salah satu rumah yang Baginda muliakan sehingga memberikan jaminan keamanan kepada sesiapa yanh memasuki rumah beliau.

Hakim telah memeluk Islam dengan sepenuh jiwa raganya dan sanggup berkorban demi agama serta banyak menginfakkan hartanya ke jalan Allah SWT demi menebus segala kesilapannya yang lalu. Salah satu daripada kebaikannya untuk agama Allah SWT, beliau telah menjual rumahnya yang bernama Darul Nadwah, merupakan tempat persidangan pembesar-pembesar Quraisy. Beliau menjual rumahnya itu kerana ingin menebus segala kesalahannya yang telah lalu kerana disitulah berlakunya perancangan bersama dengan pembesar Quraisy yang lain untuk menentang dan membunuh Rasulullah SAW. Beliau telah menjual dengan seratus ribu Dirham. Orang ramai mengatakan kepadanya “Engkau telah menjual kemuliaan Bangsa Quraisy”. Hakim menjawab “Tidak sama sekali,  sesungguhnya kemuliaan itu sebenarnya hanyalah bertaqwa kepada Allah. Maka, bersaksilah, seluruh daripada harga jualan rumah ini, aku berikan ke jalan Allah SWT”.

Bukan itu sahaja, bahkan tahun demi tahun ketika musim Haji, Hakim telah menginfakkan beberapa harta demi jalan Allah SWT serta membawa bersamanya seratus orang hamba untuk mengerjakan ibadah haji bersama-sama. Terdapat satu peristiwa yang membuatkan Hakim menjadi seorang yang begitu dermawan. Ketika berlakunya Perang Hunain, bagi menggembirakan orang-orang Makkah yang telah memeluk Islam, harta rampasan perang tersebut telah diserahkan kepada mereka. Perkara ini telah menjadi cakap-cakap di kalangan golongan Ansar yang mengatakan Baginda telah pulang ke kampung dan telah melupakan kita. Mendengarkan kata-kata itu, Baginda kemudian berkata “Tidakkah kalian redha wahai orang-orang Ansar, yang aku berikan kepada mereka hanyalah kambing dan unta sedangkan ku berikan kepada kalian ialah diriku yang akan pulang bersama-sama kalian”. Maka seluruh sahabat Ansar menangis.

Kerana rasa teruja melihatkan harta yang banyak di dalam peperangan Hunain, maka Hakim telah pergi kepada Rasulullah SAW untuk meminta pemberian harta. Apabila diminta, Baginda berikan. Begitulah berlaku setiap kali beliau meminta kerana Baginda mahu menghiburkan hati mereka yang baru sahaja memeluk Islam dan kali pertama menyertai peperangan.

Pemberian yang diberikan kepada Hakim itu, sarat di atas muatan seratus ekor unta. Saat itu Baginda berkata kepada beliau “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini sesuatu yang sangat menarik. Sesiapa yang mengambilnya dengan bersyukur dan berhati-hati, Allah akan memberkatinya. Sebaliknya sesiapa yang mengambilnya mengikut runtunan hawa nafsu dan keinginan, maka dia tiadak akan diberkati pada hartanya”. Kemudian di penghujung pesanan Baginda kepada Hakim “Tangan yang di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah”. Saat Hakim mendengarkan kata-kata Baginda itu, beliau sangat terkesan dengan kata-kata tersebut sehingga beliau mengatakan “Wahai Rasulallah, demi Tuhan yang mengutuskan engkau, aku tidak akan meminta lagi kepada sesiapa pun selepas ini serta aku jiga bertekad tidak akan mengambil sesuatu pun daripada sesiapa jua selepas ini. Begitulah peristiwa dan kisah kehidupan yang boleh menjadi pengajaran yang terbaik buat kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 Mei 2017
\"\"
Scroll to Top