Tanda Awal Dunia Berakhir

JALAN yang paling sukar dilalui oleh manusia di dunia ini adalah jalan yang lurus, sehingga kita perlu berdoa dan memohon kepada Allah agar sentiasa dikekalkan  di atas  jalan yang lurus ini. Di dalam kehidupan ini juga kita seringkali tergelincir di dalam menghadapi pelbagai ujian yang melanda sehingga tidak menyedari sama ada kehidupan kita akan berakhir atau dunia ini sendiri sudah tiba ke penghujung perjalanannya. Kelekaan dan kelalaian menyebabkan diri sentiasa merasa sedang berada di dalam keadaan yang aman dan sejahtera, sedangkan waktu untuk kembali bertemu dengan Allah SWT sudah semakin hampir. Sayangnya Allah kepada hambanya, dengan memberi tanda-tanda awal kepada manusia bahawa kehidupan ini akan berakhir agar dapat melakukan persiapan yang sewajarnya sebelum kembali bertemu dengan-Nya.

Tanda awal pertama akan berlakunya hari kiamat ialah Rasulullah SAW diutuskan kepada umat manusia dan diwafatkan oleh Allah. Baginda bersabda: “Aku diutuskan pada awal tanda hari kiamat”. Petanda ini sudah berlaku dan menunjukkan kita semakin hampir kepada hari pengakhiran dunia. Seterusnya perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm yang ke udara pada setiap Khamis, jam 5.15 petang, tanda kedua ialah apabila semakin ramai manusia mula mengakui dirinya sebagai nabi. Hadis riwayat Abu Hurairah RA menyebut Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga dibangkitkan  pada saat akhir zaman nanti dajjal-dajjal yang pembohong dan pendusta semuanya, hampir 30 orang, yang menyangka dirinya Rasul. Padahal mereka bukan terdiri daripada para Rasul.”

Tanda ketiga akan berlakunya kiamat ialah didalam keadaan musafir, tidak ada rasa takut walaupun keseorangan. Rasulullah SAW menjelaskan, “Tidak akan berlakunya hari kiamat sehingga bergeraknya seorang wanita yang berjalan di dalam perjalanan daripada Hijjaz hingga ke Iraq, dalam keadaan tenang tanpa sedikit pun perasaan takut.” Para ulama berpendapat pada ketika itu, Islam sudah sampai ke seluruh dunia  kemudian akan tiba di penghujungnya zaman yang ditutup alam ini dan akan berlaku huru-hara yang dahsyat. Abu Hurairah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW menyebut: “Tidak akan berlakunya hari kiamat  sehingga bergeraknya seorang yang mengendalikan kenderaannya di antara Iraq  sampai ke Mekah, di dalam keadaan tanpa ketakutan kecuali rasa takut akan tersesat di dalam perjalanan.”  

Seterusnya tanda awal berlakunya hari akhirat yang keempat ialah apabila harta mula melimpah ruah. Pada akhir zaman, Allah mula mengeluarkan  semula harta-harta karun, minyak dan gas, serta pelbagai kemewahan bumi yang lain.  Di dalam kitab Sahih Bukhari, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW menyebut: “Tidak akan berlaku dan tidak akan berlakunya hari kiamat sehingga di kalangan kamu memiliki banyak harta. Harta itu melimpah ruah sehingga  pemilik-pemilik harta itu  mencari-cari orang untuk bersedekah. Sehinggakan penerima sedekah itu sendiri menyatakan dia juga sudah memiliki harta yang banyak.”

Tanda awal yang kelima ialah berlakunya fitnah yang melata di kalangan manusia. Sehinggakan tidak dapat dikenal pasti sama ada seseorang itu di kalangan orang salih atau tidak, malah ada di antara mereka yang dilihat menjalani kehidupan sebagai orang mukmin tetapi ada ketikanya melakukan kejahatan. Sesungguhnya sebagai seorang mukmin, kita tidak seharusnya menjalani kehidupan yang kontradik yang merupakan fitnah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Musha al-Shaari RA, Rasulullah SAW berkata: “Akan berlaku satu fitnah  bagaikan malam yang gelap gelita. Ada orang yang pada pagi hari dalam keadaan mukmin, bibirnya berzikir. Bila masuk ke tempat kerjanya mula menyumpah seranah orang lain. Ada orang yang pada malam harinya  di dalam keadaan mukmin, tetapi pada waktu siang peribadinya kufur kepada Allah. Orang yang duduk pada waktu itu lebih baik daripada orang yang berdiri. Yang berdiri itu lebih baik daripada orang yang berjalan, yang berjalan itu lebih baik daripada orang yang berlari. Dalam keadaan demikian patahkanlah busur-busur kamu, putuskanlah tali-tali busur dan pukullah pedang-pedang kalian ke batu  jika rumah salah seorang daripada kalian dimasuki fitnah  jadilah seperti yang terbaik daripada kedua anak nabi Adam itu Habil.”

Selain itu tanda awal yang dapat dilihat ialah apabila perniagaan menjadi suatu rebutan di kalangan manusia dan menjadikannya suatu perkara yang mengujakan sehingga berlakunya penipuan, harga yang melampaui batas dan lain-lain. Hadis yang diriwayatkan Imam Hammad dan Hakim diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA, daripada Rasulullah SAW: “Menjelang berlakunya hari kiamat, salam hanya diucapkan oleh orang-orang tertentu sahaja. Semakin berkembang perniagaan-perniagaan sehinggakan seorang isteri membina satu syarikat dengan suaminya untuk berniaga.” Tanda seterusnya ialah apabila seorang ibu melahirkan tuannya. Ibu-ibu mula menjaga anak dan kemudian apabila anak itu membesar dan melahirkan zuriat, ibunya pula terpaksa menjaga anak kepada anaknya (cucu). Ketika Jibril bertanya kepada Rasulullah tentang bilakah akan berlakunya hari kiamat. Baginda membalas, “Orang yang bertanya lebih tahu daripada orang yang menjawab.”  Lalu Baginda menyambung, “ Tanda-tandanya apabila seorang ibu melahirkan tuannya.” Pada zaman ini manusia hidup di dalam kesibukan sehinggakan tidak berkesempatan bertanya khabar kepada ibunya, tetapi berlaku sebaliknya apabila ibu itu sendiri yang bertanyakan khabar berita anaknya. Ini menunjukkan anak telah menjadi tuan kepada ibunya sendiri.

Tanda kelapan ialah apabila orang Islam mula menjadi ratahan orang bukan Islam, mereka tidak lagi mempunyai daya juang di dalam diri mereka. Orang Islam dipergunakan oleh orang bukan Islam walaupun jumlahnya lebih ramai. Di dalam hadis yang diriwayatkan Imam Abu Daud, apabila ditanya oleh para sahabat Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang satu zaman nanti, di mana umat manusia yang lain akan menjadikan kamu bagaikan satu hidangan, sebagaimana satu hidangan  yang besar.” Lalu sahabat bertanya, “Adakah kami ini sedikit sangat pada waktu itu, ya Rasulullah?” Baginda berkata, “Bahkan kamu ramai, tapi kamu bagaikan buih-buih di lautan sahaja, tiada kekuatan di dalam hidup kamu.” Selain itu Baginda berkata pada ketika itu umat Islam terlalu cintakan dunia dan takut kepada kematian.

Digambarkan juga petanda akhir zaman apabila para wanita mula berjalan di dalam keadaan tidak menutup aurat. Wanita-wanita muslimah ini merasakan itu adalah keperluan untuk dirinya dan bukannya kehendak agama. Sesungguhnya aurat itu lambang kemahkotaan dan ketenangan bagi diri seorang wanita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 April 2016
\"2016-04-21\"
Scroll to Top