Tabung Haji Sampaikan Zakat Pendidikan Kepada Pelajar Asnaf

Tabung-Haji1

KOTA TINGGI, 10 Nov – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyampaikan agihan zakat pendidikan berjumlah RM129,500 kepada 259 orang pelajar asnaf daripada 17 buah sekolah di daerah ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Badlisyah Abdul Ghani berkata ia merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH kepada golongan asnaf dan yang kurang bernasib baik dalam membantu meringankan perbelanjaan persekolahan golongan ini.

“Ini adalah tanda keprihatinan TH kepada pelajar-pelajar selaras denganinisiatif kerajaan dalam membangunkan penduduk Islam di dalam negara. Kita berharap sumbangan yang diberikan mampu memberi motivasi dan dorongan kepada pelajar-pelajar ini untuk terus mencapai kecemerlangan.

Kita melihat pendidikan sebagai aset yang penting dalam membawa seseorang individu, masyarakat mahupun negara maju ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Program Iqra’ 2016 Peringkat Negeri Johor, di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Pelajar-pelajar berkenaan adalah daripada 11 sekolah rendah dan enam sekolah menengah, yang masing-masing menerima sumbangan berupa kelengkapan sekolah bernilai RM200 selain wang tunai RM300.

Menurut Badlisyah, TH menyasarkan agihan zakat pendidikan berjumlah RM2 juta untuk diagihkan kepada 4,000 orang pelajar kurang berkemampuan daripada 178 sekolah di seluruh negara pada tahun ini.

 

Sumber – BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Syafiq Salleh

Merupakan Penyampai dan Penerbit Rancangan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Mengendalikan segmen Destinasi IKIMfm serta terlibat dalam suntingan artikel dan berita. Mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Memilik Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dari Politeknik Malaysia. Boleh dihubungi melalui email msyafiq@ikim.gov.my