Syurga Setia Menanti

KENIKMATAN bulan Ramadan membawa keuntungan yang sangat berharga dengan nilai kemuliaan yang tinggi kepada umat Islam. Nikmat yang hadir itu membawa kepada kesyukuran serta dikurniakan pahala yang berlipat ganda berbanding di bulan-bulan yang lain. Orang-orang yang mendambakan diri untuk terus bersama Ramadan akan sentiasa memenuhi amal ibadah dibulan ini serta akan menghidupkan amalan disetiap malamnya. Semestinya dengan amalan yang dilaksanakan ini, ALLAH menyediakan kurniaan pahala yang berganda serta penantian syurga yang dijanjikan-Nya. Bonus ganjaran yang hebat ini perlu direbut dan tidak boleh disia-siakan. Setiap kenikmatan yang diceritakan di dalam Ramadan ini mendorong panel tetap Ustaz Pahrol Mohd Juoi membicarakan topik ‘Syurga Setia Menanti’ di IKIMfm melalui segmen ‘Islam Itu Indah’ yang bersiaran setiap hari Rabu jam 10.15 pagi yang lalu.

Di dalam surah Ali ‘Imran ayat 133 yang maksudnya, “Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”. Dorongan dan galakkan dari sumber yang sahih tersebut, memberi pendedahan jelas bahawa pengurniaan kepada umat Islam ini adalah merupakan kasih sayang dari ALLAH untuk hamba-hambanya yang bertakwa. Perkara ini perlu dipandang sirius oleh semua umat Islam supaya fokus dan terus berlumba-lumba bersaing memburu kebaikan bagi mendapatkan syurga firdausi yang tertinggi disisi ALLAH. Keinginan syurga yang tertinggi ini juga sesuai dengan aspirasi dari Rasulullah S.A.W yang menegaskan kepada umat Islam supaya berdoa bersungguh-sungguh dan berharap kepada lapisan syurga yang tertinggi itu.

ALLAH mengadili umat Islam melalui kebaikan dan kejahatan yang dilakukan dengan meletakkan mereka di dalam syurga serta neraka yang mempunyai banyak lapisan dan bahagiannya mengikut amalan masing-masing. Allah memasukkan seseorang ke dalam syurga kerana rahmat-Nya serta menghindarkan dari api neraka dengan keampunan-Nya. Namun begitu ALLAH menjanjikan kepada  orang-orang yang gigih mencari ikhlas dan mendekatkan diri kepada-Nya dengan meletakkan mereka pada kedudukan yang lebih tinggi di dalam syurga kelak. Diceritakan dari sebuah hadis riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah R.A, “Suatu hari aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda kelak akan masuk syurga satu rombongan umatku yang berjumlah 70,000 orang. Cahaya muka mereka seperti bulan purnama”. Huraian dari hadis ini juga menceritakan bahawa sabahat-sahabat Rasulullah S.A.W turut berebut-rebut meminta doa dari baginda supaya mereka tergolong dari kalangan tersebut supaya dapat memasuki syurga ALLAH.

Hikmah hadirnya Ramadan ini juga merupakan satu tawaran istimewa dari ALLAH untuk menyediakan ganjaran syurga. Oleh itu, tarbiyah dari Ramadan semestinya mendidik umat Islam supaya berdoa bersungguh-sungguh agar dapat memasuki syurga ALLAH serta memperbanyakkan amalan-amalan. Manfaat yang ada di dalam bulan Ramadan juga perlu dihayati sebaiknya kerana bagi orang-orang yang berpuasa dengan penuh ketakwaan juga mempunyai syurga untuk mereka kelak. Melalui hadis riwayat Bukhari menceritakan bahawa “Di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut Ar-Rayyan; Pada hari kiamat orang-orang yang berpuasa masuk daripadanya dan tidak seorangpun selain mereka memasukinya”. Umat Islam yang mengetahui segala ganjaran ini perlu merasakan diri mereka tidak cukup hanya menjadi baik sahaja tetapi keyakinan dan hujah-hujah yang dijelaskan di dalam Al-Quran serta Hadis perlu membawa kepada tahap yang paling terbaik. Inspirasi didikan dari Rasululullah S.A.W juga tidak mengajak umat Islam menjadi individu yang biasa sahaja tetapi terus mendidik supaya menjadi terbaik dari kalangan yang terbaik iaitu ‘best among the best’.

Peluang keampunan yang masih ada harus direbut sebaiknya oleh umat Islam supaya ALLAH memberi kemaafan dan rahmat-Nya di dalam bulan yang penuh barakkah ini. Taubat dari jiwa yang bersih akan terus membawa kearah kehidupan yang diredhai ALLAH. Hikmah ini diceritakan di dalam surah Al-Mulk ayat 2 yang maksudnya, “Dia lah (ALLAH) yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa membalas amal kamu, lagi Maha Pengampun, bagi orang-orang yang bertaubat”. Motivasi dari ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis sememangnya mendorong umat Islam untuk terus rasa takut (Khauf) kepada ALLAH serta berharap (Roja’) kepada kempunan dengan ganjaran syurga-Nya. Roh ramadan yang hadir ini dijadikan sebagai institusi pendidikan jiwa supaya dapat memantapkan tauhid, meminta kempunan dan berharap syurga ALLAH serta dijauhkan dari api neraka.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Jun 2016
Scroll to Top