Sultan Nazrin Rasmi Sekolah Kebangsaan Proton City

TANJUNG MALIM, 5 Mac – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Sekolah Kebangsaan (SK) Proton City di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta isteri Datin Seri Saripah Zulkifli, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Aminudin Adam.

Sejurus selepas menyempurnakan majlis itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan melawat pameran hasil kerja murid di sekolah berkenaan.

Sementara itu, Aminudin ketika berucap berkata SK Proton City itu dibina di kawasan seluas 4 hektar dengan kos pembinaan berjumlah RM12 juta.

Katanya sekolah itu mempunyai 27 kelas dengan jumlah murid seramai 764 orang, 48 guru dan enam orang staf sokongan.

Aminudin berkata pembinaan sekolah itu mampu merancakkan pembangunan Tanjung Malim sebagai hab automotif bagi koridor wilayah selatan Perak.

“Selain itu, kerjasama dalam kalangan warga pendidik khasnya di sekolah ini amat penting dalam usaha melahirkan insan cemerlang dalam bidang akademik dan juga terbilang dari segi sahsiah dan peribadi,” katanya.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Pentadbir Laman Web

Pentadbir Laman Web IKIMfm