Sultan Nazrin dekat di hati rakyat

KUALA LUMPUR , 6 Mei – “ADALAH kita Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi, bahawa kita mengaku memerintah negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian takluk jajahannya menurut Perlembagaan Perak dengan adil mengikut hukum Allah.”

Demikian lafaz sumpah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika dimasyhurkan sebagai Sultan Perak Ke-35 pada Mei tahun lalu, menggantikan Almarhum ayahanda baginda, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah yang mang­kat pada pukul 1.30 petang pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 28 Mei tahun lalu.

Kini, Istiadat Pertabalan Sultan Perak yang bermula pada 3 hingga 17 Mei ini melengkapkan kesinambungan pemerintahan beraja di negeri ini sejak Sultan Perak yang pertama, Sultan Mudzaffar Shah I atau Marhum Ta­nah Abang (1528 – 1549).

Istiadat pertabalan baginda semema­ngnya dinanti-nantikan dengan penuh gembira dan kesyu­kuran oleh rakyat jelata kerana dikurniakan seorang pe­merintah yang berjiwa rakyat.

Merenung sejenak biodata ba­gin­da, Sultan Nazrin yang dipu­tera­kan pada 27 November 1956 mula melangkah dalam hie­rar­ki kesultanan Perak apabila dima­syhurkan sebagai Raja Kecil Besar Perak pada 16 Februari 1984.

Pada 15 April baginda dima­syhur­kan sebagai Raja Mu­da Pe­rak pada 15 April 1987. Setelah kemang­katan ayah­an­da baginda pada 28 Mei 2014, De­wan Negara Perak mencapai kata sepakat Sultan Nazrin sebagai Sultan Perak Ke-35 dengan gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda seterusnya dimasyhurkan sebagai Sultan pada 29 Mei 2014 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Dikenali sebagai seorang sultan berpendi­dikan tinggi, Sultan Nazrin memulakan alam persekolahan di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur sehingga darjah lima dan menyambung pendidikan rendah dan menengah rendah dari darjah enam hingga tingkatan dua di Sekolah St. John, Kuala Lumpur.

Pada usia 13 tahun, baginda berangkat ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajian di The Leys School, Cambridge.

Baginda kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Universiti Oxford, diikuti dengan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik Ekonomi dan Kerajaan daripada Universiti Harvard.

Selain itu, baginda adalah Fellow Kehormat Worcester College, Universiti Oxford dan juga Magdalene College, Universiti Cambridge; Ahli Pemegang Amanah Pusat Pe­ngajian Islam Universiti Oxford, Felo Diraja Institusi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Malaysia Institute of Defense and Security); Felo Diraja Institut Ka­jian Strategi dan Hubungan Antarabangsa Malaysia (Institute of Stra­tegic and International Stu­dies); Felo Diraja Institut Keselamatan Awam Malaysia dan Penaung Diraja kepada Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia.

Dengan latar belakang pendidikan yang hebat, tidak hairanlah baginda sering diundang untuk menyampaikan ucaptama di majlis-majlis dalam dan luar negara.

Baginda sering memberikan pandangan dan buah fikirannya dalam pelbagai isu mencakupi politik, sosial, ekonomi, kema­syarakatan, agama serta isu semasa yang sering diikuti dengan penuh minat oleh rakyat selain menjadi bahan perbincangan ilmiah serta bualan orang ramai.

Di negeri baginda sendiri umpa­manya, Sultan Nazrin memperkenalkan amalan mulia menghormati agama antaranya menitahkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sebelum majlis rasmi kerajaan.

Perpaduan kaum antara isu yang baginda se­ring tekankan dengan mengajak rakyatnya hi­dup dalam kerukunan, saling bekerjasama, menghormati serta bersatu-padu mempertahankan kedaulatan dan keluhuran Perlembagaan termasuk mendaulatkan undang-undang bagi memastikan berlakunya keadilan agar sentiasa dilimpahi rahmat keamanan, kestabilan, kemakmuran dan ke­sejahteraan.

Antara buah fikiran baginda yang paling mendapat perhatian masyarakat ialah gesaan supaya rakyat menguasai bahasa kebangsaan sebagai platform terbaik untuk memupuk perpaduan.

Selain itu, baginda aktif dalam program amal dan kemasyarakatan untuk kepentingan rakyat, khususnya bagi membantu golo­ngan miskin dan kurang bernasib baik.

Keprihatinan baginda terhadap kepayahan rakyat terserlah apabila tidak kekok menaiki bot dan menin­jau pusat-pusat pemindahan yang menempatkan mangsa banjir ketika bencana alam itu me­landa negeri ini pada Disember lalu.

Adalah jelas dengan karis­ma ba­ginda, Sultan Nazrin amat dise­nangi pelbagai lapisan masyarakat dan ini dibuktikan apabila berita perkahwinan dengan Tuanku Zara Salim pada 17 Mei 2007 disambut dengan penuh kesyukuran dan pera­saan teruja dalam kalangan rakyat.

Pasangan diraja itu telah dikurniakan seorang putera, Raja Azlan Muzzaffar Shah pada 14 Mac 2008 dan seorang puteri, Raja Nazira Safya pada 2 Ogos 2011.

Seperti titah baginda supaya tidak bermewah semasa majlis perkahwinan baginda, istiadat per­tabalan juga dijalankan tanpa unsur bermewah-mewah, bermegah-megah atau pesta.

“Istiadat pertabalan ini bukan satu pesta untuk bersuka-suka dan berpesta-pesta. Beta amat sensitif mengenai aspek perbelanjaan.

“Beta memperingatkan Ahli-ahli Jawatankuasa Istiadat Pertabalan agar memastikan elemen bermewah-mewah dan berme­gah-megah dihindarkan,” titah bagin­da dalam Dewan Negara Perak.

Baginda juga merupakan tokoh yang cukup dikenali di persada antarabangsa sehingga ber­kenan menerima jemputan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon untuk mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Panel Kewangan Kemanusiaan PBB.

Baginda diperkenankan oleh Seri Paduka Ba­ginda Yang di-Pertuan Agong dilantik sebagai Canselor Keempat Universiti Malaya (UM) berkuatkuasa 16 Julai 2014.

Pada 14 Ogos 2014, baginda berkenan dilantik sebagai Kolonel Yang Dipertua Rejimen Jurutera Diraja Tentera Darat dan Kolonel Yang Dipertua Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia.

Daulat Tuanku. Seluruh rak­yat negeri Perak merafak sembah setinggi-tinggi tahniah sempena istiadat tuanku. Semoga peme­rintahan tuanku diberkati dan dirahmati Allah.

Sumber BERITA HARIAN

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my