Sultan Johor rasmi Masjid Taman Pulai Indah

JOHOR BAHRU, 6 April – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan merasmikan Masjid Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai, di sini.

Turut berangkat, anakanda baginda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Terdahulu keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut anggota jawatankuasa masjid berkenaan dengan diiringi selawat nabi oleh guru-guru sekolah agama.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan menandatangani buku pelawat masjid itu sebelum menunaikan solat yang diimamkan Imam Buang Rakidin.

Masjid Taman Pulai Indah bernilai RM13.6 juta itu berkeluasan 1.6 hektar dan mampu memuatkan hingga 3,500 jemaah dalam satu masa.

Masjid yang diinspirasikan dari Masjid Negara itu dibina syarikat kontraktor Pembinaan MNS dan arkitek perunding Marzuki Mahadi Architect pada 10 April 2015 sebelum siap sepenuhnya 25 Oktober tahun lepas.

Sebelum ini, penduduk taman terbabit terpaksa menggunakan dua surau iaitu As Sakinah dan Nurus Salam untuk menunaikan solat Jumaat.

Daripada RM13.6 juta kos pembinaan, sebanyak RM7.6 juta adalah hasil sumbangan orang ramai, RM4.2 juta pula daripada dana kerajaan persekutuan dan selebihnya adalah daripada kerajaan negeri.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my