Suami Sebagai Pemimpin Rumah Tangga

TANGGUNGJAWAB suami isteri merupakan salah-satu daripada topik hangat yang sering dibincangkan dalam hubungan perkahwinan. Satu perkara yang tidak kurangnya penting bagi menjamin sesebuah hubungan perkahwinan agar terus kekal adalah tidak lain dan tidak bukan, tanggungjawab suami isteri. Sebenarnya, segala urusan hal-ehwal rumahtangga pada asalnya terletak di bahu suami.

Justeru, sewaktu menyambung kembali tajuk perbincangan berkenaan ‘Tunjuk Ajar, Cadangan Dan Arahan’  Ustaz Muhamad Abdullah al Amin dalam rancangan Pesona D\’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi  menyatakan bahawa  terdapat cabaran yang perlu ditempuhi dalam memberikan tunjuk ajar, cadangan dan arahan dalam memimpin institusi rumah tangga. Cabaran pertama ialah bagaimana berhadapan dengan para isteri yang  kurang memiliki ilmu dalam  hal ehwal menguruskan rumah tangga. Sebagai bakal suami, ilmu tentang peranan dan tanggungjawab suami diperlukan. Sebagai bakal isteri pula,ilmu tentang peranan dan tanggungjawab isteri diperlukan. Selain ilmu tentang peranan ,ilmu tentang hak juga perlu diketahui, seperti hak suami dan isteri. Walaubgaimanapun, untuk kebahagiaan rumah tangga, kesungguhan kepada melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing jauh lebih penting daripada kesungguhan menuntut hak masing-masing. Banyak lagi bidang-bidang yang perlu dipelajaril ,ilmu mencari nafkah ,ilmu nafkah batin,ilmu komunikasi dalam rumah tangga ,ilmu tentang peribadi pasangan,ilmu kselamatan,ilmu kesihatan,ilmu ibadah, ilmu akhlak dan pelbagai jenis ilmu lagi. Malah, bagi memastikan rumah tangga terus utuh para  isteri juga dinasihat agar  memahami batas- batas tertentu dan  status  yang perlu dipikul oleh a suami

Cabaran seterusnya adalah isteri yang lebih berilmu atau mempunyai lebih maklumat daripada suami. Dalam mendepani  situasi sebegini, para suami sewajarnya tidak harus gentar. Terus konsisten berusaha mempertingkatkan ilmu misalnya dengan  meluaskan bahan bacaan serta peka dengan perkembangan semasa. Di samping  itu,mereka dtiuntut untuk memanfaatkan kitab suci Al-Quraan yang boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Al-Quraan merupakan kitab agama secara keseluruhannya yang mengandungi aspek akidah, akhlak, mahupun kekeluargaan.

Malah, al-Quran  juga merupakan kitab sepanjang zaman, bukan kitab untuk zaman tertentu atau untuk generasi tertentu. Ini bermakna bahawa al-Quran merupakan kitab yang kekal abadi hingga hari Qiamat.

Cabaran berikutnya ialah dalam berhadapan isteri yang kurang tarbiah dan keras hatinya. Isteri adalah amanah yang perlu dijaga dengan sebaik-baiknya. Amanah tersebut bakal  ditanya di hadapan Allah SWT. Kegagalan dalam memastikan isteri taat kepada perintah Allah SWT juga akan menjadi tanggungjawab si suami. Sebabnya, suami bertanggungjawab mendidik isterinya menjadi isteri solehah yang kelak melahirkan zuriatnya sekali gus mentarbiah anak-anaknya ke jalan yang diredai Allah SWT. Hadis Rasulullah  SAW yang bermaksud: Seseorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartawannya dia, kerana berketurunan baiknya dia, kerana cantiknya dia, kerana beragamanya dia, Akan tetapi carilah yang beragama nescaya selamat kamu (wahai lelaki). (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pastinya bukan mudah meluruskan tulang yang bengkok dan tidak elok dibiarkan terus bengkok. Maksudnya, Kaum Adam kena tahu cara terbaik untuk mendidik isteri. Proses mendidik pula memakan masa yang panjang, mungkin juga bergantung kepada fizikal emosi si isteri yang bersedia untuk dididik. Menurut Muhammad,   antara kaedah yang boleh diamalkan  bagi melembutkan hati isteri termasuklah mendidik isteri agar mendekatakan diri  serta mentadabbur Al-Quraan , mengajak isteri untuk sama-sama  hadir ke majlis ilmu serta memberi  teguran yang membina jika isteri melakukan  sebarang kesilapan.Setiap individu yang berkahwin mengimpikan satu kehidupan yang bahagia kerana rumahtangga yang bahagia menjadikan penghuni-penghuninya dapat hidup dalam suasana tenang, harmoni dan selesa. Kebahagiaan rumahtangga dapat diraih apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 Julai 2016
\"2016-07-25\"
Scroll to Top