Suami Isteri Seharusnya Melengkapi

Al Qur’an yang berulang-ulang menyebut adanya pasangan dalam alam tumbuh-tumbuhan, juga menyebut adanya pasangan dalam rangka yang lebih umum, dan dengan batas-batas yang tidak ditentukan.Sebagaimana Allah SWT  telah berfirman yang bermaksud : “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa-apa yang mereka tidak ketahui.” [Surah Yasin, ayat 36].

DALAM rancangan Pesona D’ Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada minggu lalu, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin menerangkan bahawa Allah SWT  menjadikan setiap sesuatu di dunia ini berpasang-pasangan supaya ia saling melengkapi antara satu sama lain. Kehidupan tidak akan seimbang jika tiada pasangan, contohnya kejadian atom, ia tidak akan stabil jika cas negatif tidak disertakan dengan cas positif. Ia saling memerlukan untuk menstabilkannya.  Begitu juga dengan kita sebagai manusia, Allah hadirkan kita di dunia dengan pasangan masing-masing,supaya kita mampu menjadi khalifah di bumi Allah ini. Kehidupan berpasangan mampu membuahkan ketenangan yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Ia membuatkan kita lebih bersemangat untuk bekerja dan beramal ibadah kepada Allah. Tentu ada falsafah dan hikmah di sebalik Allah SWT mencipatakan manusia secara berpasang-pasangan. Antaranya ialah  menunjukkan kebesaran, kekuasaan dan keindahan ciptaan Allah SWT. Jika  bumi  berbukit sahaja , tentulah tidak indah. Perlu ada lembah, sungai, laut, padang pasir dan padang rumput, hutan belantara dan  sebagainya. Dengan demikian  barulah indah bumi ini. Begitu juga dengan penciptaan manusia . Bayangkan jika manusia itu lelaki sahaja atau perempuan  sahaja di atas muka bumi ini, tentulah sunyi dan jemu serta tidak bercambah keturunan manusia.

Walaupun  manusia dijadikan  acuan yang sama, tetapi perwatakan lelaki  lebih gagah, tampan dan kuat dan ciri-ciri sebegini sesuai  baginya untuk menjadi ketua keluarga  dan pelindung pada isteri dan anaknya. Kaum prempuan pula  memiliki sifat  yang lemah lembut , cantik, menawan, inginkan  perlindungan bagi menjamin kelemahannya tidak terancam. Allah SWT berfirman “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.\” (Surah Ar-Rum,ayat  21). Betapa besar hikmahnya penciptaan lelaki dan perempuan. Ia memperindahkan hidup manusia itu sendiri, memberi ketenangan, dan ketenteraman dan kemesraan di samping menjamin kelangsungan zuriat manusia.  Manusia dijadikan oleh Allah berpasangan-pasangan dan setiap pasangan itu juga harus saling lengkap-melengkapi . Suami isteri ibarat pakaian kepada yang lain, saling melengkapi dan menutup kelemahan di antara satu sama lain, mencari kekuatan di dalam diri masing-masing dan menyalakannya ke arah positif. Segala kekurangan dan kelemahan pasangan merupakan kekuatan bersama apabila diambil secara postif dan membina.  Kerana tidak memahami konsep perkahwinan yang saling melengkapi ini jugalah, seringkali penceraian yang berlaku antara pasangan akan disusuli dengan kata-kata ‘tiada keserasian’ atau ‘tiada kesefahaman’ lagi.

Konsep saling melengkapi amat mudah. Seumpama menambah garam ke dalam lauk yang tawar, menambah gula ke dalam air yang tawar. Begitu juga dengan suami isteri. Saling menerima kelemahan masing-masing. Melengkapi kelemahan itu dengan kekuatan yang ada pada diri kita. Setiap manusia tidak sempurna.Oleh itu, menurut Muhammad, dalam sesebuah institusi rumahtangga  pasangan suami isteri tersebut disifatkan saling lengkap-melengakapi apabila berpegung teguh pada dua   prinsip. Setiap pasangan  perlu memperkukuh dan mempersiapkan diri dengan ilmu. Ia merujuk kepada  ilmu rumah tangga   yang meliputi  aspek fizikal, kerohanian, minda dan emosi.  

Sebuah perkahwinan itu mempunyai beberapa kewajiban bersama yang patut ditanggung oleh pasangan suami isteri dan ia ditentukan oleh Syariah Islam dengan jelas. Justeru hendaklah perhubungan antara suami isteri dibina atas landasan keadilan dan saling menyayangi dan tidak sesekali melangkaui batasan . Di samping itu, setiap pasangan suami isteri  harus memiliki sifat ihsan. Nilai ihsan perlu sentiasa diterapkan dalam rumah tangga bagi memastikan ahlinya  sentiasa melakukan kebaikan walau di mana kerana setiap makhluk berada di bawah pengawasan Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Mei 2017
Scroll to Top