Siasatan 1MDB : Pasukan Petugas Khas Rujuk Pendakwa Raya

Kuala Lumpur, 16 Julai 2015 – Berhubung laporan portal The Malaysian Insider bertarikh 16 Julai 2015 di bawah tajuk “Gani Patail should withdraw from 1MDB task force, say former A-G, lawyers” bahawa tidak wajar Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menganggotai Pasukan Petugas Khas yang sedang menyiasat kes berkaitan 1MDB, Pasukan Petugas Khas ingin menjelaskan, siasatan kes ini sememangnya dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia sebagai agensi penyiasat yang berkaitan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia mempunyai skop siasatan masing-masing mengikut peruntukan undang-undang negara. Justeru, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Polis Negara dan Gabenor Bank Negara Malaysia adalah ketua yang bertanggungjawab di peringkat siasatan masing-masing.

Tidak timbul isu Tan Sri Abdul Gani Patail atas kapasiti sebagai Peguam Negara Malaysia, mencampuri dan mempengaruhi urusan siasatan. Sebaliknya, selaku Pendakwa Raya, Tan Sri Abdul Gani Patail hanya dirujuk untuk mendapatkan panduan dan nasihat undang-undang bagi memastikan siasatan dikendalikan secara holistik dan mengikut undang-undang. Perbincangan antara agensi diadakan dari semasa ke semasa untuk tujuan penyelarasan secara kolektif bagi memastikan kelancaran proses siasatan.

Ini merupakan satu amalan biasa yang biasa diambil oleh mana-mana agensi penguatkuasa berkaitan kes-kes yang disiasat. Pemberian panduan dan nasihat undang-undang sedemikian dalam kes 1MDB adalah sama dan selaras dengan amalan lazim dalam semua kes yang disiasat.

Dalam hal ini, Peguam Negara amat peka tentang bidang kuasanya sebagaimana diperuntukkan dalam Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah.

Sebagaimana telah disebutkan dalam kenyataan-kenyataan media sebelum ini, siasatan membabitkan kes 1MDB ini akan dijalankan dengan telus, bebas dan profesional. Justeru, Pasukan Petugas Khas juga berharap semua pihak meletakkan keyakinan dan kepercayaan ke atas Pasukan Petugas Khas ini

TAN SRI ZETI AKHTAR AZIZ
GABENOR BANK NEGARA MALAYSIA

TAN SRI KHALID ABU BAKAR
KETUA POLIS NEGARA MALAYSIA

TAN SRI ABU KASSIM MOHAMED
KETUA PESURUHJAYA SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my