Seribu Niat

SETIAP amalan itu bermula dengan niat seperti mana Sabda Baginda SAW, mafhumnya: “Setiap amalan itu bermula dengan niat, setiap  urusan  itu dengan apa yang diniatkannya” (HR Bukhari). Ini merupakan hadith yang pertama yang ditulis dalam kebanyakan kitab-kitab hadith, termasuk dalam kitab Hadith 40 karangan Imam Nawawi RA.

Dalam satu hadith, ada disebut Baginda SAW besabda mafhumnya, “Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, nescaya Allah SWT akan menunaikan seribu hajatnya di Hari Akhirat”. Seribu niat yang dimaksudkan ialah dalam kehidupan biasanya kita ada seribu niat dalam sehari. Bermula di awal pagi, kita bangun, kita solat, kita bekerja sebenarnya kita ada niat dalam setiap perkara itu ada niatnya samada kita sedar atau tidak.

Mafhum Sabda Baginda SAW, “Binasalah orang yang suka menangguh-nangguh kerja”. Sikap tidak elok sebegini amat tidak baik kerana orang sebegini sebenarnya tidak memiliki niat yang baik. Orang yang suka menangguh-nangguh kerja ini juga sebenarnya termasuk di kalangan orang yang tidak merancang dalam hidupnya dan duduk dalam zon selesa. Bagi seorang isteri yang tidak mahu berubah dan merasakan dirinya tetap disayangi oleh suaminya walau apa sahaja yang dibuatnya, termasuk tidak menjalankan tugasnya, isteri sebegini tidak merancang untuk hidup bahagia bersama suaminya kerana kesabaran suaminya pasti ada had dan mungkin suatu hari nanti akan mengambil tindakan drastik menceraikannya. Dalam rumah tangga, iblis akan cuba untuk meruntuhkan kebahagiaan suami isteri yang dibina agar dengan itu rumahtangga tersebut berkecai melalui pelbagai tipu daya dan muslihat. Justeru itu suami isteri perlu merancang hidup mereka agar mempunyai seribu niat yang baik untuk membina sebuah rumahtangga yang bahagia. Oleh kerana itu, seseorang itu perlu sentiasa memiliki niat, seribu niat merancang dalam hidupnya dalam segenap aspek agar mendapat kejayaan dunia dan akhirat.

Namun niat semata tidak mencukupi. Apabila kita telah berniat maka hendaklah kita mengamalkan apa yang kita niatkan itu tadi, laksanakan dengan sekadar kemampuan yang ada. Ada orang yang sekadar berniat untuk menjadi baik, berubah ke arah lebih baik namun tidak melakukan bersungguh-sungguh apa-apa untuk menjadi sepertimana yang diniatkan maka itu tidak memberi manfaat. Sebab itu kita dipesan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an, mafhumnya: Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)” (Surat al-Insyirah, ayat 7).

Setelah berniat, maka perkara seterusnya yang perlu ada ialah melaksanakan dengan ikhlas. Namun apabila dikatakan ikhlas, bukan bermakna tiada ganjaran duniawi. Seorang ustaz yang mengajar anak-anak al-Qur’an, bukanlah bermakna  hanya kerana beliau ikhlas mengajar maka kita tidak perlu membayar sebarang wang kepadanya, atau seorang ibu yang ikhlas menjaga cucu-cucunya ketika anak dan menantunya pergi bekerja, maka si anak sepatutnya turut memberikan ganjaran dan habuan kepada ibunya dan tidak menganggap keikhlasan ibunya itu memadai. Mungkin sesekali hantar ibunya mengerjakan umrah, atau setiap bulan memberi wang kepada ibunya walaupun tidak diminta oleh ibu. Apa yang kita faham dengan ikhlas? Ikhlas ialah berbuat sesuatu kerana Allah, dalam ertikata lain dia ingat Allah ketika berbuat perkara tersebut. Dan orang yang “ingat kepada Allah” ini sudah pasti mendapat ketenangan seperti mana mafhum Firman Allah SWT, “hanya dengan mengingati Allah SWT, hati menjadi tenang” (Surah al-Ra’d, ayat 28). Nikmat ketenangan inilah nikmat paling agung ynag dimiliki seseorang yang tidak mampu dibeli oleh wang ringgit. Oleh itu apabila kita melakukan pekerjaan dengan ikhlas, maka kebaikannya ialah untuk diri kita sendiri juga menjadikan kita hamba yang tenang. Berapa ramai orang yang kaya raya namun tidak tenang tetapi orang yang mungkin miskin dan tidak memiliki harta, namun dirinya tetap tenang kerana keikhlasan beliau dalam hidupnya ketika melakukan setiap perkara. Bukan bermakna mereka yang tenang itu tidak mempunyai masalah hidup, mereka mungkin memiliki banyak masalah dan kesempitan hidup, tetapi mereka mampu laluinya dengan tenang tanpa keluh kesah.

Niat juga perlu dibezakan dengan nazar. Nazar ialah niat yang dilafazkan jika sesuatu hajat itu tercapai dan ia menjadi wajib dilaksanakan. Orang yang bernazar, jangan memandang enteng kerana nazar itu umpama hutang kepada Allah SWT yang wajib ditunaikan apabila apa yang dihajatkan itu tercapai. Allah SWT akan menghukum kita di Akhirat kelak jika kita tidak melaksanakan nazar yang telah kita buat di dunia dahulu.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Disember 2015
Kongsi artikel ini di:

Hajah Mazlina Ismail

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Psikologi & Kesihatan Mental, Book of Assistance, Smart Parents dan banyak lagi.