Sepupu Rasulullah SAW Penghulu Pemuda Syurga

TIDAK ramai orang yang memiliki hubungan yang begitu akrab dengan Rasululah SAW mempunyai begitu banyak sebab dan sudut yang bersangkut dengan Rasulullah SAW. Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm jam 5.15 petang Isnin, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi mengenai Saidina Abu Suffian bin al-Harith yang mempunyai perkaitan yang begitu banyak bersangkut dengan Rasulullah SAW.
Beliau merupakan antara kanak-kanak yang lahir pada tahun yang sama dengan keputeraan Rasulullah SAW. Beliau merupakan anak kepada al-Harith bin Abdul Mutallib. Makanya, beliau adalah sepupu kepada Rasulullah SAW. Beliau juga merupakan anak susuan kepada Halimatus Sa’adiah, lalu beliau juga merupakan saudara susuan Rasulullah SAW. Beliau turut dikurniakan oleh Allah SWT rupa paras yang hampir mirip dengan Rasulullah SAW, sehinggakan beliau dikenali dengan ‘Kembar Nabi”. Abu Suffian al-Harith ini membesar dalam keluarga yang sama dengan keluarga Rasulullah SAW. Beliau juga merupakan teman baik Rasulullah SAW sepanjang 40 tahun daripada hidup Rasulullah SAW. Beliau banyak berkongsi kisah suka duka dengan Rasulullah SAW.
Bila melihatkan keakraban Abu Suffian dengan Rasulullah SAW, pasti kita merasakan Abu Suffian antara golongan terawal memeluk agama Islam. Namun, hidayah adalah milik Allah SWT dan ia sesuai mengikut apa yang Allah SWT telah takdirkan. Dalam takdir Allah, Abu Suffian bukan tergolong dalam kalangan yang terawal memeluk Islam. Bahkan, tatkala Rasulullah SAW mula menyebarkan dakwah, Abu Suffian merupakan orang pertama yang banyak memusuhi Rasulullah SAW.
Daripada seorang teman yang akrab kemudiannya bertukar menjadi musuh yang amat memusuhi Rasulullah SAW. Beliau pada ketika itu merupakan seorang pemuda gagah yang dilantik menjadi ketua pejuang kepada orang-orang Quraisy.  Beliau juga pada ketika itu merupakan seorang yang hebat sehinggakan dinobatkan antara penyair-penyair hebat di Kota Makkah. Kemuliaan, kedudukan dan pangkat yang ada pada dirinya itu telah menjauhkannya daripada hidayah Allah SWT.
Tidak ada suatu peperangan yang berlaku terhadap Rasulullah SAW kecuali Abu Suffian merupakan orang yang menggerakkannya. Abu Suffian juga terlibat dalam menyeksa para sahabat, memusuhi Islam serta menyakiti umatnya. Permusuhan Abu Suffian terhadap Rasulullah SAW bukan sekadar dengan menghunus pedang ke arah Rasulullah, bahkan dengan kepetahannya mengarang syair dan kefasihan lidahnya itu digunakan untuk menghina dan mencerca Rasulullah SAW. Perihal permusuhan Abu Suffian terhadap Rasulullah SAW berlalu 20 tahun lamanya.
Segala peperangan-peperangan besar seperti Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandak serta seluruh peperangan Abu Suffian terlibat. Sehinggalah apabila berlakunya peristiwa pembukaan Kota Makkah. Di saat orang-orang Quraisy telah mengkhianati Perjanjian Hudaibiyah. Maka Rasulullah SAW telah menggerakkan 10 ribu angkatan perang untuk masuk ke Kota Makkah.
Saat mana berita kedatangan 10 ribu tentera itu sampai ke pengetahuan Abu Suffian dan Quraisy tidak mampu lagi untuk menentang angkatan Nabi Muhammad SAW. Maka Abu Suffian menyuruh anak isterinya bersiap-siap. Lalu beliau berkata “bersiaplah kita untuk melarikan diri dan jauh daripada kekuasaan Muhammad”. Maka ketika itu, kata isterinya dengan nada memjuk “Tidakkah engkau lihat sekarang ini, seluruh banga arab dan bukan arab semuanya telaah tunduk dan hampir dengan Muhammad. Mentaatinya dan menganut agamanya. Tidakkah sepatutnya engkau orangnya yang pada saat ini telah mendapat kemuliaan hampir kepada Muhammad. Tidakkah dahulunya kalian merupakan sahabat yang sangat akrab. Tidakkah engkau boleh menghentikan permusuhan ini wahai Abu Suffian’.
Akhirnya, terdetiklah di hati Abu Suffian bahawa beliau perlu menghentikan permusuhan dengan Rasulullah SAW. Beliau juga perlu meraih kemuliaan sepertimana orang lain yang mendapat kemuliaan tatkala hampir dengan Rasulullah SAW. Lantaran itu, beliau kemudian menyuruh hambanya mempersiapkan haiwan tunggangan dan dibawa bersama anaaknya, Jaafar yang masih berusia enam tahun dengan harapan agar Rasulullah SAW akan belas kasihan melihatkan Jaar yang masih kecil.
Kemudian beliau menuju ke Abwa’ saat rombongan Rasulullah SAW masih lagi dalam perlajanan. Dihentikan tunggangannya satu batu sebelum tiba di Abwa’ dan beliau berjalan bersama Jaafar merentasi angkatan-angkatan tentera lalu menuju kea rah Rasulullah SAW. Beliau yang menutup mukanya mengelak dari dikenali kerana beliau merupakan antara yang disenarai oleh Rasulullah SAW yang boleh dibunuh ekoran jenayah yang beliau lakukan, telah menyingkap kain yang menutupi mukanya ketika di hadapan Rasulullah SAW.
Beliau saat itu terus mengucapkan dua kalimah syahadah. Tatkala sekujur tubuh Abu Suffian itu berada di dalam kilauan mata Rasulullah SAW, Baginda terus mengenali siapa yang berada di hadapannya. Insan yang dahulunya merupakan orang yang paling akrab dengannya. Maka, akhirnya Baginda menoleh ke arah lain. Tidak sanggup dan tidak mahu melihat Abu Suffian bin Al-Harith. Abu Suffian mengatakan “tatkala Rasulullah beralih, aku pergi ke arah wajahnya, Baginda kemudiannya berpaling lagi dan terus beredar”. Pada saat itu, ketahuilah Abu Suffian bahawa Rasulullah SAW tidak marah menerima kedatangannya.
Saat Rasulullah SAW berpaling daripada Abu Suffian, maka seluruh sahabat Rasulullah juga turut berpaling dan tidak mahu menyapa dengannya. Abu Suffian terus mengikut Rasulullah dari satu daerah ke satu daerah dan berada di hadapan Baginda. Rasulullah SAW tetap juga berpaling dan tidak mahu melihat wajah Abu Suffian. Begitulah rajuk seorang Nabi saat orang yang paling rapat dan akrab, sepupu dan saudara susuan berpaling tadah dan memusuhi Baginda.
Setelah Abu Suffian kecewa menanti kemaafan daripada Rasulullah SAW, Abu Suffian berkata “Demi Allah, aku dan anakku akan pergi dari sini, jauh ke tengah padang pasir dan kami bedua tidak akan makan dan minum sehinggalah Rasulullah menerima kedatangan kami”. Maka, apabila Rasulullah mendengar kata-kata Abu Suffian, Baginda lantas keluar melihat Abu Suffian dan anaknya menunjukkan riak wajah yang Baginda sudahpun menerima kedatangan mereka.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Februari 2017
\"\"
Scroll to Top